Khamis, 31 Mei 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pelacuran dijangka subur menjelang Euro 2012

Posted:

Pelacuran dijangka subur menjelang Euro 2012

Pelacuran dijangka subur menjelang Euro 2012

GAMBAR yang dirakamkan pada 16 Mei 2012 ini menunjukkan seorang pekerja sosial mengedarkan kondom kepada seorang pekerja seks di Kiev, Ukraine.


KIEV, Ukraine - Industri pelacuran Ukraine dijangka menarik ramai pelanggan dan meraih keuntungan semasa kejohanan bola sepak Euro 2012.

Namun, segelintir pihak memberi amaran bahawa Ukraine mempunyai kadar jangkitan HIV tertinggi di rantau Eropah Timur.

"Para pelacur Kiev bersedia untuk Euro 2012," kata sebuah laman web seks Ukraine. Malah ada antara pelacur membaca sejarah 16 pasukan yang bertanding dan maklumat asas mengenai bola sepak.

Ukraine menukar industri pelacuran daripada jenayah kepada hanya kesalahan kecil pada tahun 2006. Denda yang dikenakan cuma antara AS$10 (RM32) hingga AS$25 (RM79).

Tetapi, individu yang menjadi bapa ayam atau mengendalikan pusat pelacuran tetap boleh dikenakan hukuman melakukan jenayah.

Menurut Pakatan HIV/AIDS Antarabangsa, negara bekas Kesatuan Soviet itu mempunyai 52,000 hingga 83,000 orang pekerja seks. Seramai 11,000 pelacur beroperasi di Kiev.

Beratus-ratus ribu peminat bola sepak dijangka hadir untuk menyaksikan kejohanan tersebut yang bermula 8 Jun ini di Warsaw, Poland dan berakhir di Kiev pada 1 Julai depan.

Kumpulan aktivis wanita Ukraine yang dikenali sebagai Femen memberi amaran Euro 2012 akan meningkatkan aktiviti pelancongan seks.

Sementara itu, menurut pengendali organisasi hak pekerja seks Legalife, Olena Tsukerman, kebanyakan pelacur mungkin akan menaikkan kadar perkhidmatan, berikutan kebanjiran para peminat bola sepak yang kaya dari negara Eropah Barat. - AFP

Pemilik pusat beli-belah, empat yang lain ditahan

Posted:

Pemilik pusat beli-belah, empat yang lain ditahan

Pemilik pusat beli-belah, empat yang lain ditahan

DOHA - Peguam Negara Qatar, Ali bin Futeis Al-Murri kelmarin mengarahkan supaya individu yang terlibat dalam pengurusan sebuah pusat beli-belah yang terbakar dan membunuh 19 orang mangsa, kebanyakannya kanak-kanak ditahan.

Al-Murri mengarahkan penahanan pemilik pusat beli-belah Villagio, pengurus dan timbalan pengurusnya. Waran tangkap juga dikeluarkan ke atas timbalan pengarah keselamatan pusat beli-belah terbabit dan pemilik pusat jagaan kanak-kanak Gympanzee yang terletak di tingkat satu.

Kebakaran tersebut meragut nyawa 13 orang kanak-kanak dan empat orang guru. Laporan media bagaimanapun tidak memperincikan apakah tuduhan yang telah difailkan ke atas lima orang suspek berkenaan.

Laporan berkaitan arahan penahanan tersebut timbul beberapa jam selepas sanak saudara dan rakan-rakan mangsa mengadakan majlis memperingati mereka yang terbunuh.

Kembar tiga yang berasal dari New Zealand dan adik-beradik berketurunan Sepanyol adalah antara kanak-kanak yang terkorban. Malah dua orang anggota bomba turut maut ketika cuba mengosongkan pusat jagaan terbabit.

Akhbar-akhbar tempatan mempersoalkan tentang pemberian lesen pusat jagaan kanak-kanak di dalam pusat beli-belah yang besar. Sementara saksi-saksi mendakwa para pekerja premis itu lambat bertindak ketika kebakaran berlaku.

Putera Mahkota, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani juga telah mengarahkan pembentukan satu jawatankuasa untuk menyiasat tragedi itu. - Agensi

Jolie bantu perangi keganasan seks

Posted:

Jolie bantu perangi keganasan seks

Jolie bantu perangi keganasan seks

ANGELINA JOLIE berjabat tangan dengan Setiausaha Luar Britain, William Hague di London kelmarin.


LONDON - Bintang Hollywood dan utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie akan berganding bahu dengan Menteri Luar Britain untuk melancarkan sebuah pasukan Britain bagi memerangi dan menghalang keganasan seksual di peringkat antarabangsa.

Majlis pelancaran tersebut yang dijadualkan semalam turut diiringi dengan tayangan filem arahan Jolie, In The Land Of Blood and Honey.

Setiausaha Luar Britain, William Hague memberitahu, inisiatif itu akan disusuli kempen diplomatik selama setahun berhubung isu tersebut.

"Keganasan seksual wujud paling banyak hingga sukar untuk kita bayangkan apabila berlaku peperangan dan konflik," jelas teks ucapan Hague.

Pasukan Britain tersebut katanya, akan melibatkan doktor, peguam, polis, pakar psikologi dan forensik selain pakar dalam menjaga serta melindungi mangsa dan saksi keganasan seksual.

Kumpulan itu yang boleh dikerahkan segera ke seberang laut akan mengumpul bukti dan keterangan untuk digunakan dalam pendakwaan, di samping menyokong misi PBB serta melatih pihak berkuasa di negara lain.

Kementerian Luar Britain menyatakan bahawa 20,000 hingga 50,000 wanita telah dirogol di Bosnia dan Herzegovina antara tahun 1992 hingga 1995. Sebanyak 50,000 hingga 64,000 orang pula dirogol Sierra Leone yang berdepan perang saudara dari 1991 hingga 2002.

Jolie yang kini merupakan utusan khas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), pernah melawat beberapa zon konflik termasuk Iraq, Darfur di Sudan dan Libya semasa era konflik pada tahun 2011.

Filem In The Land Of Blood and Honey menyorot keganasan seks yang dilakukan oleh tentera Serb. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan