Khamis, 31 Mei 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kim berang barang hilang

Posted: 30 May 2012 08:39 AM PDT

LOS ANGELES: Bintang siri realiti televisyen Amerika Syarikat, Kim Kardashian mencetuskan sengketa baru terhadap pengurusan bagasi di Lapangan Terbang Heathrow apabila dia menuduh petugas British Airways (BA) mencuri barangan yang 'tidak boleh diganti' dari bagasinya baru-baru ini.

Kim berkata, kakitangan lapangan terbang itu yang sudah berdepan dengan dakwaan akan menghadapi masalah menangani peningkatan jumlah penumpang pada musim Olimpik, mencuri beberapa beg tangan dan cermin mata hitam yang diwarisi daripada mendiang bapanya.

Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan baru bahawa keselamatan di lapangan terbang berkenaan mungkin kembali pada tahap longgar seperti yang pernah berlaku pada 1980-an sehingga ia digelar 'Thiefrow' berikutan kadar kecurian bagasi yang tinggi.

Supermodel, Naomi Campbell juga menuduh kakitangan BA mencuri barangan miliknya pada 2008 dan mendakwa dia adalah pejuang selepas ditangkap berikutan pertengkaran di Terminal 5.


Kim, anak peguam terkenal, Robert, yang membantu OJ Simpson terlepas daripada tuduhan membunuh, tiba di Los Angeles Jumaat lalu selepas terbang dari Nice menerusi Heathrow apabila, mendapati bagasinya lebih ringan berbanding sebelum dia menaiki pesawat.


Selepas menyiasat, dia mendapati cermin mata hitam yang diberikan oleh Robert sebelum kematiannya hilang dari begnya.

Laman web selebriiti Amerika Syarikat, TMZ.com juga mendakwa beberapa dompet mahal milik Kim juga hilang.

Kim terdahulu menulis dalam laman Twitternya: "Amat kecewa dengan British Airways kerana membuka beg saya dan mengambil barangan istimewa milik saya! Ada beberapa barangan yang amat sentimental dan tidak boleh diganti.

"Kita perlu kembali kepada zaman kita boleh mengunci beg kita. Tidak rasa selamat dan tidak ada kepercayaan. Malulah." - DM




William sedih Diana tak hadir majlis kahwin

Posted: 30 May 2012 08:37 AM PDT

LONDON: Putera William semalam mendedahkan bagaimana dia berharap ibunya, Puteri Diana hadir pada hari perkahwinannya.

Putera itu berkata, ia 'satu-satunya' hari sejak kematian ibunya dia benar-benar rasa kehilangan wanita itu dan dia berasa sedih kerana menyedari Diana tidak akan hadir melihat perkahwinannya.


William berkata demikian ketika diwawancara di Clarence House, tempat dia menginap, untuk rancangan The Jubilee Queen bersama Katie Couric yang disiarkan di Amerika Syarikat menerusi rangkaian televisyen ABC, malam tadi.

"Saya sudah menyiapkan diri saya lebih awal supaya saya bersedia dari segi mental.


"Saya tidak mahu ada kata-kata yang tidak sedap didengar atau sesuatu yang berlaku," kata William kepada Katie dalam wawancara itu sempena sambutan ulang tahun pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth.


"Ia satu-satunya hari sejak kematiannya yang membuat saya terfikir keadaan akan menjadi lebih hebat jika dia turut hadir. "Saya berpendapat dia tentu amat gembira pada hari itu dan berbangga dengan kami. Saya amat sedih kerana dia tidak berpeluang untuk mengenali Kate," kata putera berkenaan.

Harry juga merasakan ia saat yang memilukan apabila amat terasa dengan ketiadaan ibunya. Menurutnya, Diana, jika masih hidup, sudah pasti akan menyayangi Kate.


"Saya berpendapat dia akan berada di tempat duduk terbaik di dewan itu. Dia sudah pasti gembira berada di majlis itu," kata Harry.

Harry yang menjadi pengapit abangnya, juga mengaku begitu gelisah pada hari perkahwinan William.


"Semua orang gelisah. Secara jujur, segala-galanya agak kabur kerana hanya Tuhan yang tahu beberapa juta atau bilion mata yang tertumpu pada kami.


"Mujur, yang menjadi tumpuan utama ialah pasangan pengantin," kata Harry.


William juga sedar mengenai dua bilion pasang mata yang menonton majlis perkahwinannya.


"Secara jujur, ia hari yang anda rasa sungguh gembira. Pada masa sama, gementar. Saya terpaksa berkata dengan jujur. Menjadi perhatian dua bilion orang adalah sesuatu yang agak menggentarkan," katanya. - DM




Tiada ulasan:

Catat Ulasan