Khamis, 17 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Syria tahan tentera upahan

Posted: 17 May 2012 12:37 PM PDT

Dunia

Bashar al-Assad, Presiden Syria

Bashar al-Assad, Presiden Syria

Bashar dakwa ia bukti penentang kerajaan bukan aktivis prodemokrasi

BEIRUT: Syria menangkap tentera upahan asing yang membantu pembangkang negara itu sekali gus membuktikan tenteranya memerangi pengganas, bukannya aktivis prodemokrasi.

Presiden Bashar al-Assad mendedahkan perkara itu ketika ditemu bual kali pertama selepas hampir setengah tahun oleh stesen televisyen Russia, Rossiya-24.

Barat hanya bercakap mengenai keganasan oleh pihak kerajaan. Tiada yang diperkatakan langsung mengenai pengganas. - Bashar al-Assad, Presiden Syria

Bashar berkata, negara Barat tidak mempedulikan keganasan oleh pengganas dan akan menuntut penjelasan daripada wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan yang melawat Damsyik lewat bulan ini.

Katanya, sejak ketibaan pemerhati PBB, serangan pengganas meningkat sekalipun pertempuran secara langsung antara askar kerajaan dan musuh berkurangan.

"Negara Barat hanya bercakap mengenai keganasan oleh pihak kerajaan. Tiada yang diperkatakan langsung mengenai pengganas," katanya.

Lebih 200 pemerhati PBB ditempatkan di seluruh Syria untuk memantau perjanjian gencatan senjata, yang berulang kali dicabuli oleh kedua-dua pihak sejak ia berkuat kuasa 12 April lalu.
Selain itu, katanya, keputusan pembangkang yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Syria (SNC) untuk memulaukan pilihan raya Parlimen awal tahun ini mencemarkan nama baik SNC.

"Gesaan memulaukan pilihan raya, ia sama dengan desakan memulaukan rakyat. Bagaimana hendak memulaukan rakyat jika anda anggap mewakili mereka?

"Jadi, saya tidak rasa mereka mengutamakan kepentingan Syria " katanya dalam kenyataan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Russia.

Bashar berkata, pelampau agama dan anggota al-Qaeda dari luar negara adalah antara pasukan yang menentang kerajaannya.

"Ada tentera upahan asing, sebahagiannya masih hidup. Mereka ditahan dan kami sedia tunjukkan kepada dunia," katanya.

Temu bual terakhir Bashar adalah dengan pengacara ABC, Barbara Walters, Disember lalu. Temubual terbaru dibuat dengan media Russia kerana negara itu menjadi sekutu paling setia Syria.

Agensi berita Associated Press (PA) menyatakan, Russia menjual senjata kepada Syria dan menghalang tindakan terhadap Damsyik di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah menjejaskan lagi tentangan terhadap Damsyik ialah tindakan satu kumpulan aktivis mengancam untuk menarik diri daripada blok pembangkang atas alasan SNC sudah menjauhi semangat revolusi.

Kumpulan itu dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Tempatan (LCC) yang menuduh kepemimpinan SNC gagal berunding dengan anggota blok dan membuat keputusan sendiri dalam isu besar. – AP


Lokasi bicara Saif belum diketahui

Posted: 17 May 2012 12:34 PM PDT

Dunia

Saif al-Islam

Saif al-Islam

ICC ragui Libya boleh bersikap tidak berat sebelah

NEW YORK: Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin berkata hakim badan kehakiman itu akan memutuskan sama ada membenarkan anak lelaki Muammar Gaddafi didakwa atas tuduhan jenayah perang di Libya dan tidak di tribunal itu yang berpejabat di The Hague, Belanda.

Antara isu penting bagi ICC ialah sama ada mahkamah Libya itu mampu menjalankan perbicaraan secara bebas dan tidak berat sebelah. Timbalan duta Libya ke PBB, Ibrahim Dabbashi, menegaskan badan kehakiman negara itu bersedia mengadakan perbicaraan yang adil dan saksama untuk memenuhi piawaian antarabangsa.

Tetapi, Human Rights Watch berpendapat, undang-undang yang baru diluluskan Libya membangkitkan persoalan serius sama ada ia boleh melakukan perbicaraan secara adil.

Pendakwa, Luis Moreno-Ocampo, memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa hakim meminta pelbagai pihak menghantar laporan mengenai tindakan Libya mencabar bidang kuasa mahkamah untuk membicarakan Saif al-Islam - perbicaraan pertama sejak tribunal jenayah perang memulakan operasi.

ICC mendakwa Saif tahun lalu atas dakwaan jenayah kemanusiaan kerana peranannya dalam keganasan menghentikan pemberontakan rakyat menentang pemerintahan bapanya.
Beliau ditahan November lalu di padang pasir selatan Libya oleh militia Zintan yang enggan menyerahkannya kepada Kerajaan Peralihan Kebangsaan.

Moreno-Ocampo berkata, dia akan membentangkan pemerhatian itu kepada hakim pada 4 Jun depan dan akan mempertimbangkan sama ada Saif akan dibicarakan atas jenayah sama yang didakwa ke atasnya oleh mahkamah.

Katanya, peguam mahkamah untuk mewakili Saif berkemungkinan membentangkan pemerhatian itu.

Majlis Keselamatan, yang merujuk Libya ke ICC tahun lalu, juga diminta memberi pandangan tetapi Moreno-Ocampo memberitahu wartawan anggota majlis itu belum mahu berbuat demikian.

Sementara itu, Saif dilaporkan enggan diwakili peguam untuk mempertahankan diri daripada tuduhan bunuh dan seksa ketika pemerintahan bapanya.
Pada masa sama, tekanan juga semakin terasa di Tripoli supaya menyerahkan Saif kepada ICC.

Libya dan ICC sudah berbulan-bulan berbincang mengenai lokasi perbicaraan Saif.
Jika ICC memutuskan Libya tidak berupaya membicarakannya dan tidak memberi kerjasama, ia boleh merujuk kes itu kepada Majlis Keselamatan PBB.

"Saya mahu menjamin Majlis Keselamatan PBB bahawa Saif akan mempunyai peguam bela kerana undang-undang kami tidak membenarkan mana-mana defendan kes jenayah mempertahankan diri tanpa bantuan guaman," kata Dabbashi. – AP/Reuters


Tiada ulasan:

Catat Ulasan