Selasa, 8 Mei 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Hollande rasmi tewaskan Sarkozy

Posted: 07 May 2012 04:32 PM PDT

Dunia

Presiden baru Perancis hadapi cabaran untuk atasi krisis hutang Eropah

PARIS: Presiden Perancis yang baru dipilih Francois Hollande kini bersiap sedia dengan tugas barunya membangunkan kerajaan dan hubungan dengan sekutunya semalam ketika pasaran dunia memerhatikani perkembangan politik zon euro itu dengan nada bimbang.

Anggota Sosialis berusia 57 tahun itu menang dalam persaingan sengit menentang Presiden Nicolas Sarkozy, disambut dengan kegembiraan oleh rakyat Perancis yang berhimpun di jalanan namun kini berdepan cabaran segera menguruskan krisis hutang Eropah. Keputusan akhir pilihan raya presiden Perancis menunjukkan Hollande menang tipis ke atas Sarkozy dengan 51.62 peratus undian atau 1.13 juta daripada 37 juta undi yang dibuang dalam pilihan raya kelmarin.

Tarikh penyerahan kuasa secara rasmi masih belum ditetapkan, walaupun ia sepatutnya berlangsung sebelum 15 Mei ini.

Bagaimanapun Hollande sudah memulakan rundingan dengan sekutu Eropah, termasuk perbincangan telefon dengan Canselor Jerman Angela Merkel.

Pasaran Asia dan euro merudum semalam di tengah kebimbangan bahawa kejayaan Hollande di Perancis dan parti pembangkang di Greece menandakan satu tindak balas ke atas langkah penjimatan untuk membendung krisis zon euro.
Hollande, berikrar memperlahankan pemotongan perbelanjaan awam Sarkozy dan berunding semula dengan pakatan fiskal Kesatuan Eropah (EU), di mana 17 anggota blok mata wang tunggal bersetuju langkah mengurangkan defisit mereka.

Pelan ekonomi Hollande menggantikan beberapa pemotongan kos Sarkozy dengan cukai lebih tinggi ke atas golongan kaya namun masih menjangka bajet berimbang menjelang 2017, walaupun pengambilan besar-besaran dalam pendidikan dan satu pulangan persaraan pada usia 60.

Pasaran bon mempunyai enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan idea kepulangan pemerintahan Sosialis, dan huru hara tidak dijangka, namun kebimbangan ke atas Paris menjurus kepada kos meminjam lebih tinggi, justeru sasaran defisit sukar untuk dipenuhi.

Dalam ucapan kejayaannya kelmarin, Hollande mengakui bahawa mata Eropah dan dunia kini bertumpu di Perancis, namun berazam melaksanakan janjinya untuk meneliti pakatan kestabilan EU untuk memfokuskan lebih lagi ke atas pertumbuhan berbanding pemotongan.

"Ini adalah misi yang kini menjadi milik saya iaitu memberi rakyat Eropah satu dimensi pertumbuhan, pekerjaan, kemakmuran dan masa depan," katanya dalam ucapan di kubu kuatnya di Tulle. – AFP/Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan