Dunia
ANGGOTA penyelamat Pakistan dibantu penduduk memeriksa lokasi pesawat Bhoja Airline yang terhempas, semalam.
Nahas penerbangan Bhoja Airline ketika cuaca buruk dekat IslamabadISLAMABAD: Pesawat penumpang Boeing 737-200 milik Bhoja Airline terhempas ketika cuaca buruk dekat markas tentera udara Chaklala tidak jauh dari ibu negara, Islamabad, menyebabkan 127 orang terbunuh.
Kawasan kemalangan juga beberapa kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto, kata Menteri Pertahanan, Chaudhry Ahmed Mukhar yang mengesahkan peluang tipis untuk penumpang terselamat.
Kebakaran berlaku selepas pesawat terhempas. Api marak dan pesawat itu musnah sama sekali. Kami datang dengan anggota bomba dilengkapi lampu suluh dan lebih ramai anggota penyelamat dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Saifur Rehman, Pegawai unit menyelamat polis,
Laporan lain menyatakan 131 maut manakala satu lagi menyatakan 122 terbunuh dalam nahas udara kali ini.
Hujan lebat dan angin kencang melanda kawasan sekitar ibu negara ketika nahas berlaku pada 6.40 petang waktu tempatan.
Sumber lapangan terbang berkata, pesawat B4-213 Bhoja Airline itu dijadual mendarat di lapangan terbang Islamabad pada 6.50 waktu tempatan tetapi hilang hubungan dengan menara kawalan 10 minit sebelum itu dan terhempas ketika mendekati destinasi.
Pesawat itu dalam perjalanan dari bandar terbesar Karachi ke Islamabad dan ada kemungkinan kapal terbang itu terkena petir menyebabkannya terbakar, kata pegawai.
Seorang pegawai unit menyelamat polis, Saifur Rehman, berkata pesawat terhempas di perkampungan Hussain Abad, kira-kira tiga kilometer dari lebuh raya utama Islamabad.
"Kebakaran berlaku selepas pesawat terhempas. Api marak dan pesawat itu musnah sama sekali. Kami datang dengan anggota bomba dilengkapi lampu suluh dan lebih ramai anggota penyelamat dalam perjalanan ke tempat kejadian," kata Saifur.
"Tiada peluang untuk sesiapa selamat. Jika ada yang selamat, itu satu keajaiban. Pesawat itu musnah keseluruhannya," kata pegawai polis, Fazle Akbar, yang dipetik akhbar Dawn.
Siaran televisyen menunjukkan bangkai pesawat itu termasuk sebahagian enjin dan sayap dekat sebuah bangunan. Anggota penyelamat menggunakan lampu suluh ketika memeriksa tempat kejadian.
Stesen televisyen juga melaporkan bahawa semua hospital sekitar Islamabad dan bandar Rawalpindi diarah bersedia menerima mangsa pada bila-bila masa selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
Seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Benazir Bhutto dilihat menangis dan menjerit 'dua anak perempuan saya sudah mati' manakala orang lain mengerumuni papan tanda melihat senarai nama penumpang pesawat terbabit.
Antaranya termasuk Zarina Bibi yang cuba mendapat maklumat sama ada suaminya adalah penumpang Bhoja Airline itu.
"Dia menelefon saya sebelum berlepas dari Karachi tetapi saya tidak tahu sama ada dia naik pesawat itu atau yang lain," kata Zarina yang hampir menitiskan air mata.
Nahas udara terakhir di Pakistan juga adalah yang paling buruk berlaku pada Julai 2010 apabila sebuah pesawat Airbus A321 milik Airblue terhempas di kawasan berbukit bertentangan Islamabad, menyebabkan 152 orang maut.
Siasatan pihak berkuasa menyalahkan juruterbang kerana mengubah haluan ketika cuaca buruk. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan