Jumaat, 13 April 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ibu miliki kerakyatan AS, pencalonan tokoh Salafi terbatal

Posted: 06 Apr 2012 12:59 PM PDT

Dunia

ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.

ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.

KAHERAH: Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, mengesahkan bahawa ibu kepada salah seorang calon popular untuk jawatan presiden, Hazem Abu Ismail, 50, adalah warga Amerika dan dengan sendirinya menyebabkan penyertaan beliau terbatal.

Pembatalan pencalonan Ismail dijangka meningkatkan peluang kepada tokoh pilihan Ikhwanul Muslimin Khairat el-Shater. Beliau sebelum ini disifatkan sebagai pesaing terdekat el-Shater.

Keputusan semalam dijangka menimbulkan kemarahan penyokong Abu Ismail, seorang peguam dan penceramah agama yang dianggap calon paling menyerlah sebagai presiden dan menerima sokongan meluas golongan ultra konservatif, Salafi. Pengumuman itu juga dianggap memalukan bagi Abu Ismail, yang menggunakan retorik anti Amerika dalam ucapannya dan menolak pergantungan Mesir kepada Washington. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau berulang kali menafikan khabar angin bahawa ibu beliau sudah meninggal dunia, memiliki kerakyatan Amerika.

Untuk bertanding jawatan presiden seseorang calon dikehendaki mendapatkan pengesahan daripada ahli parlimen atau parti. Jika tidak, beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30,000 tandatangan daripada penduduk awam di seluruh Mesir.

Minggu lalu Abu Ismail menyerahkan dokumen pencalonan, bersama tandatangan daripada kira-kira 150,000 penduduk, lima kali ganda melebihi jumlah yang diperlukan.

Selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu, Mesir memperkenalkan undang-undang menetapkan bahawa calon yang bertanding, pasangan dan ibu bapa mereka tidak boleh mempunyai kerakyatan negara lain, kecuali Mesir.
Suruhanjaya itu bagaimanapun belum secara rasmi membatalkan pencalonan Abu Ismail kerana proses penapisan calon belum lagi dimulakan.

Abu Ismail kini berusaha mencari jalan untuk terus bertanding. – AP

Kerajaan Yaman bunuh 100 pejuang al Qaeda

Posted: 06 Apr 2012 12:52 PM PDT

Dunia

SANAA: Pasukan kerajaan Yaman membunuh lebih 100 pejuang al Qaeda sejak dua hari dalam tindakan keras terhadap persembunyian pejuang di selatan negara itu, kata Kementerian Dalam Negeri kelmarin.

Tentera berdepan dengan pertempuran sengit di selatan wilayah Abyan dan Lahj untuk mengalahkan pejuang.

Kawasan itu mengalami pertempuran hebat sejak beberapa minggu selepas dua serangan berturutan ke atas pangkalan tentera Yaman. Kementerian Dalam Negeri berkata, serangan udara dan darat menggegarkan pejuang yang cuba beralih berdekatan laut. Pihak berkuasa berikrar meneruskan kempen mereka.

Angka kementerian ini bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Associated Press berkata, hampir 50 pejuang terbunuh sejak beberapa hari pertempuran di selatan Yaman.

Kenyataan itu tidak memberikan sebarang maklumat mengenai pejuang dan tidak memaklumkan sebarang kematian di kalangan tentera.
Al Qaeda dan kumpulan lain mengambil kesempatan terhadap kemelut politik yang berlaku selama setahun di Yaman dengan mengambil alih kebanyakan kawasan di selatan negara, malah menawan beberapa bandar utama dan pekan.

Kebangkitan Yaman, yang diilhamkan dengan pemberontakan Arab di Asia Barat, memaksa pemimpin yang sudah lama memerintah Presiden Ali Abdullah Saleh melepaskan jawatan pada Februari.

Penggantinya Abed Rabbo Mansour Hadi, kemudian dilantik sebagai Presiden dalam pilihan raya negara.

Hadi berikrar memerangi al Qaeda sementara menyusun semula angkatan tentera di mana penyokong setia Saleh dan anggota keluarganya masih memegang jawatan penting.

Al Qaeda cawangan Yaman yang turut dikenali sebagai al Qaeda Semenanjung Arab, satu pergerakan yang paling berbahaya. – AP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan