Khamis, 1 Mac 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


12 maut dalam puting beliung

Posted: 01 Mar 2012 01:33 PM PST

Dunia

FERRELL mencari barangan peribadi milik anak perempuannya yang terbunuh dalam puting di Harrisburg, Illinois, kelmarin. - Foto REUTERS

FERRELL mencari barangan peribadi milik anak perempuannya yang terbunuh dalam puting di Harrisburg, Illinois, kelmarin. - Foto REUTERS

NASHVILLE: Puting beliung melanda kawasan tengah dan barat Amerika Syarikat semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk enam di Illinois selepas sebuah rumah diterbangkan angin dan menghempap mereka, kata pihak berkuasa.

Cuaca buruk yang melanda enam negeri bermula di Kansas dan Missouri tengah malam kelmarin turut membabitkan kawasan Tennessee dan wilayah Cumberland Plateau, kira-kira sejam dari timur Nashville, menyebabkan dua wanita di Cumberland Countydan seorang di Dekalb County terbunuh, kata pegawai agensi kecemasan.

Tiga orang di Missouri juga terbunuh dalam kejadian ribut yang melanda ketika tengah malam. Satu puting beliau menyebabkan sebuah kelab hiburan terkenal di Branson, Missouri ditutup sementara. Dua lelaki dan empat wanita maut dalam puting beliung awal pagi yang melanda Harrisburg, Illinois, sebuah bandar dengan hampir 10,000 penduduk, kata Datuk Bandar Eric Gregg yang menyifatkan kejadian ribut itu sebagai kemusnahan yang sungguh 'dahsyat'.

Di Harrisburg, enam terbunuh akibat angin kencang yang menyebabkan sebuah rumah terbalik dan menimpa sebuah rumah lain.

"Beratus-ratus rumah rosak, manakala berjuta dolar kerugian dicatatkan. Hospital turut mengalami kerosakan. Sebuah pusat beli belah dengan sekurang-kurangnya 10 kedai juga mengalami kemusnahan," kata Gregg.

Seorang kakitangan di perkhidmatan Perhutanan Amerika Syarikat Mike Hancock bersama beberapa rakannya cuba menyelamatkan mangsa dalam kejadian rumah runtuh yang menyebabkan enam orang terkorban.
"Kami cuba merangkak masuk ke dalam rumah itu tetapi ia tidak cukup stabil, seluruh tapaknya bergegar Kami terpaksa keluar dari situ," katanya.

Gabenor Illinois, Pat Quinn mengisytiharkan darurat di negeri itu, begitu juga Gabenor Missouri, Jay Nixon yang mengisytiharkan darurat di negerinya, sementara Gabenor Kansas, Sam Brownback mengisytiharkan bencana darurat di Wabaunsee County.

Pusat ramalan ribut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menganggarkan kekuatan puting beliung itu adalah EF-4, di mana ia membawa angin selaju 320 km sejam.

Kadar EF-4 meletakkan puting beliung itu setanding dengan kejadian yang membunuh 64 orang di Tuscaloosa, Alabama pada April lalu, dan satu takuk di bawah ribut Joplin dengan kekuatan EF-5 yang memusnahkan seluruh bandar Missouri. – Reuters

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tangguh program nuklear

Posted: 01 Mar 2012 01:32 PM PST

Dunia

WASHINGTON: Korea Utara bersetuju dengan Amerika Syarikat untuk menangguhkan elemen utama program senjata nuklearnya dalam keputusan mengejut yang bakal memberi laluan kepada penyambungan semula rundingan pelucutan senjata nuklear yang terhenti sejak sekian lama dengan negara penuh rahsia itu.

Pengumuman yang dibuat serentak pada Rabu di Pyongyang dan Washington diiringi ikrar bantuan makanan oleh Amerika Syarikat itu disifatkan sebagai optimis oleh penganalisis dan diplomat yang menyedari usaha itu mengurangkan ketegangan di semenanjung Korea yang berpecah.

"Ini adalah langkah konkrit yang kami pertimbangkan sebagai usaha positif pertama ke arah gencatan senjata nuklear lengkap Semenanjung Korea dalam keadaan aman," kata jurucakap Rumah Putih, Jay Carney. Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton menyifatkan ia sebagai langkah sederhana dalam arah yang tepat, sambil menambah Washington terus mempunyai kebimbangan mendalam dalam pelbagai aktiviti Korea Utara.

Korea Utara berkata ia menangguhkan ujian nuklear, pelancaran peluru berpandu jarak jauh dan pengkayaan uranium di kemudahan nuklear Yongbyon dan membenarkan pemeriksa nuklear antarabangsa kembali ke negara itu.

Namun jelas bagaimana kemasukan pemeriksa itu dibenarkan atau sama ada semua program senjata nuklear ditangguhkan. Langkah itu dibuat dua bulan selepas Kim Jong-un mengambil alih dinasti keluarganya yang memerintah Korea Utara sejak diasaskan dan sejak sekian lama bergantung kepada ancaman senjata nuklear untuk memberi keuntungan dalam urusannya dengan dunia luar.

Tetapi dasar itu juga menyebabkan sekatan oleh masyarakat antarabangsa dan menjejaskan ekonomi yang sedia lemah.
China yang menjadi tuan rumah perbincangan Amerika Syarikat dan Korea Utara membawa kepada perjanjian terbaru itu dan adalah satu-satunya kuasa yang menyokong Korea Utara, menyambut baik perjanjian pada Khamis dan berkata bahawa mereka akan memulakan rundingan damai enam pihak yang tertangguh sejak sekian lama.

"China bersedia untuk membawa semua pihak terbabit ke meja rundingan damai enam pihak berkenaan, memainkan peranan dalam mencapai keamanan berkekalan dan kestabilan di semenanjung dan juga timur laut Asia," kata jurucakap Menteri Luar, Hong Lei dalam satu kenyataan.

Rundingan pelucutan senjata terakhir adalah pada tahun 2008, membabitkan dua negara Korea, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Russia. Pyongyang mengusir pemeriksa nuklear PBB pada tahun 2009. – Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan