Selasa, 20 September 2011

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


54 maut gempa di sempadan India

Posted:

54 maut gempa di sempadan India

54 maut gempa di sempadan India

Dinding rumah di Bhaktur, Nepal runtuh akibat gempa bumi yang berlaku kelmarin.


GUWAHATI - Sejumlah askar dan anggota penyelamat mencari mangsa-mangsa kejadian gempa bumi semalam dalam hujan di perkampungan di banjaran Himalaya.

Gempa bumi yang sekuat 6.9 pada skala Richter itu menyebabkan 54 orang terbunuh di India, Nepal dan Tibet yang dikuasai China.

Pusat gempa bumi itu adalah di Shangri-la, negeri Sikkim, India.

Gegaran gempa bumi yang berlaku malam kelmarin boleh dirasai di New Delhi yang terletak kira-kira 804.67 kilometer dari pusat kejadian.

Awan tebal menghalang beberapa helikopter penyelamat terbang dekat kawasan yang terjejas akibat gempa bumi.

Menurut jurucakap polis sempadan India-Tibet, Deepak Pandey, gempa bumi tersebut melonggarkan struktur tanah menyebabkan tanah runtuh akibat hujan.

"Kami sudah menyelamatkan lebih 400 orang sejak malam kelmarin," katanya.

Angka kematian terkini mungkin mengambil masa selama beberapa hari untuk disahkan.

Gambar-gambar di televisyen menunjukkan sejumlah orang di bandar utama negeri Sikkim, Gangtok duduk di tepi jalan di bawah payung dalam hujan lebat selepas mereka enggan memasuki rumah masing-masing kerana takut gegaran susulan.


BEBERAPA penduduk semalam melihat kerosakan akibat gempa bumi di Bhaktur, Nepal


"Orang ramai masih lagi panik," kata seorang penduduk di Gangtok, Pawan Thapa menerusi telefon kepada wartawan agensi berita Reuters.

Kedai-kedai, pejabat dan premis perniagaan ditutup di Gangtok dan kawasan berdekatan dengan bandar itu.

Gempa bumi itu berlaku pada pukul 6.10 petang waktu tempatan dan gegarannya dirasai di lima buah negara termasuk Bangladesh dan Bhutan.

Lebih 1,000 askar China dihantar untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

Antara yang maut itu ialah dua orang di Bihar manakala enam lagi di negeri Bengal Barat.

Seramai tujuh orang mati di Nepal, tiga daripadanya menemui ajal selepas sebuah dinding di Kedutaan Britain di Kathmandu runtuh ke atas sebuah kereta dan motosikal.

Tujuh orang mati dan ratusan kehilangan tempat tinggal di Tibet, China.

Sejumlah gempa bumi telah melanda utara dan timur India pada tahun ini tetapi tiada yang menyebabkan kerosakan atau kecederaan.

Pada 2001, satu gempa bumi melanda negeri Gujarat, India menyebabkan 19,700 orang mati selain mengakibatkan kerosakan di Pakistan. - Agensi

Parti Lanun menang 15 kerusi Parlimen Berlin

Posted:

Parti Lanun menang 15 kerusi Parlimen Berlin

Parti Lanun menang 15 kerusi Parlimen Berlin


SEJUMLAH penyokong Parti Lanun menjerit kegembiraan selepas mengetahui keputusan pilihan raya Berlin di Berlin kelmarin.


BERLIN - Parti Lanun yang ditubuhkan pada 2006 dan mempunyai lebih 50 anggota menang 15 kerusi dalam pilihan raya Parlimen Berlin, lapor sebuah akhbar semalam.

Parti itu menang sembilan peratus daripada undi yang kebanyakannya daripada pengundi berusia di bawah 30-an.

Ia pada asalnya berkempen untuk perlindungan perkongsian fail dan data di Internet sebelum berkempen dalam isu pendidikan dan hak asasi manusia.

Selepas keputusan diumumkan, seorang anggota parti tersebut yang menjadi calon, Andreas Baum memberitahu stesen televisyen ZDF: "Kami mempunyai hak untuk bekerja."

Parti itu sebelum ini tidak pernah menenangi kerusi dalam pilihan raya parlimen di peringkat Persekutuan.

Pengerusi parti itu, Sebastian Nerz berkata, buat masa kini, anggota-anggota parti tersebut bekerja secara sukarela.

Menurutnya, parti tersebut mahu menjadi setelus-telusnya, berjuang menghapuskan paten dan mengehadkan kawalan hak cipta yang dimiliki oleh sesuatu pertubuhan.

Dalam pilihan raya itu, Parti Kristian Demokrat yang disertai pemimpin Jerman, Angela Merkel menduduki tempat kedua.

Parti Sosial Demokrat menduduki tempat pertama dalam pilihan raya itu. - Agensi

Padah menyamar untuk program TV

Posted:

Padah menyamar untuk program TV

Padah menyamar untuk program TV


BEN BOYCE menyamar sebagai juruterbang di Lapangan Terbang Auckland, New Zealand pada Sabtu lalu.


WELLINGTON - Seorang lelaki yang menyamar dirinya sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan dan cuba untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Auckland di New Zealand mungkin merupakan sebahagian daripada lawak jenaka untuk satu program televisyen.

Bagaimanapun, polis New Zealand mendakwa perkara itu bukannya satu gurauan.

"Percubaan untuk melanggar keselamatan lapangan terbang perlu diambil perhatian yang serius," kata seorang pegawai polis, Andy Lovelock dalam satu kenyataan.

Polis berkata, seorang lelaki memasuki pekarangan lapangan terbang dengan memakai pakaian seragam juruterbang dan lencana perak di topi pada Sabtu lalu.

Dia juga didapati membawa beg bimbit yang besar.

Polis memberitahu, lelaki itu cuba memasuki kawasan larangan sebelum dia dikejar oleh kakitangan-kakitangan di lapangan terbang tersebut dan melarikan diri dengan menaiki sebuah van Toyota berwarna hitam.

Juruterbang itu, Ben Boyce yang menyedari kesilapannya berkata dalam satu kenyataan: "Saya meminta maaf berhubung semua masalah yang telah berlaku.

"Kami tidak berhasrat untuk melanggar peraturan atau menyebabkan sebarang kebimbangan atau kerisauan. Ia merupakan satu percubaan gurauan yang kami menerima sepenuhnya sebagai berlaku di tempat yang silap."

Dia dan seorang deejay radio, Bryce Anthony Casey dan penerbit program televisyen, Andrew Logan Robinson dihadapkan ke sebuah mahkamah semalam ekoran kejadian itu.

Menurut dokumen mahkamah, kesemua mereka didakwa di bawah Akta Penerbangan Awam.

Mereka didakwa memasuki satu kawasan keselamatan di lapangan terbang tersebut walaupun mengetahui ia merupakan satu kesalahan.

Ketiga-tiga mereka dibenarkan diikat jamin dan diminta tampil di mahkamah pada 18 Oktober depan. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan