Selasa, 20 September 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bencana alam halang bantuan

Posted: 19 Sep 2011 04:55 PM PDT

Dunia

Gempa bumi India ragut 63 nyawa

GUWAHATI (India): Hujan dan tanah runtuh menyukarkan usaha mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi 6.9 magnitud di wilayah terpencil Himalaya yang merentangi India, Nepal dan Tibet yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 63 orang, kata media dan polis semalam.

Seramai 35 mangsa terbunuh yang disahkan polis di kawasan Shangri La, timur laut negeri India, Sikkim yang juga pusat gempa dalam kejadian malam kelmarin. Jabatan Geologikal Amerika Syarikat menyatakan, gegaran dirasai hingga ke Bhutan selepas ia menggegarkan sempadan Sikkim dan Nepal kira-kira jam 6.10 petang Ahad waktu tempatan.

Pusat gempa terletak 60 kilometer di barat laut Gangtok, dengan kedalaman 19.7 kilometer. Gempa bumi itu diikuti dengan dua gegaran susulan yang kuat.

Perdana Menteri India, Manmohan Singh mengarahkan mesyuarat kecemasan Pihak Berkuasa Bencana Kebangsaan manakala Setiausaha Kabinet, Ajit Seth, berkata pasukan tentera udara membawa pasukan penyelamat dan bantuan kecemasan ke Sikkim.

Bagaimanapun, tanah runtuh dan hujan lebat melambatkan usaha tentera, penyelamat serta pasukan perubatan untuk menghulurkan bantuan. Orang ramai memenuhi jalan dari lapangan terdekat ke Sikkim yang terletak 100 kilometer.
Lebih banyak kematian dilaporkan berhampiran Nepal dan wilayah China, Tibet.

Kabus tebal menghalang helikopter melakukan kerja menyelamat di kawasan terbabit dan pihak berkuasa berkata kematian mungkin meningkat.

Ribuan tentera membantu usaha menyelamat mungkin tidak boleh sampai di tempat kejadian sehingga Selasa (hari ini) kerana laluan ke pergunungan tersekat.

"Keadaan nampaknya tidak baik. Saya dapat berasakan jumlah kematian dan mangsa cedera meningkat," kata pegawai pasukan pengurusan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New Delhi.

Sekurang-kurang dua maut di negeri Bihar, selatan Sikkim manakala enam mati di Bengal barat. Hujan berterusan selama empat hari di kebanyakan bahagian Sikkim dan suhu di zon gempa kira-kira lapan darjah Celsius.

Ribuan penduduk yang kediaman mereka musnah berlindung di pusat perlindungan kerajaan di Gangtok. Lebih 100 orang cedera sementara ratusan pelancong kebanyakan warga India terperangkap di jalan utama negeri ke Bengal barat di selatan.

Di NEPAL, polis berkata, penunggang motosikal dan anak perempuan berusia lapan tahun antara tiga terbunuh apabila dinding Kedutaan Britain di Kathmandu yang terletak 270 kilometer ke barat pusat gempa runtuh dan menghempap kereta dan motosikal.

"Dua lagi mangsa mati dalam kejadian berasingan di timur Nepal," kata jurucakap polis nasional Binod Singh kepada AFP.

Gegaran turut dirasai sehingga New Delhi di India selain Bangladesh yang turut menggegarkan bangunan. Sekurang-kurangnya 10 orang cedera ringan dan sesetengah bangunan mengalami kerosakan. – Reuters/ AFP


Pejuang mara ke Bani Walid

Posted: 19 Sep 2011 04:52 PM PDT

Dunia

PEJUANG revolusi  Libya menunjukkan peluru yang tidak meletup  dilepaskan oleh  tentera  pro-Gaddafi yang ditemui ketika  mengepung  bandar Bani Walid.

PEJUANG revolusi Libya menunjukkan peluru yang tidak meletup dilepaskan oleh tentera pro-Gaddafi yang ditemui ketika mengepung bandar Bani Walid.

Gaddafi, anak dipercayai bersembunyi di bandar padang pasir: Kenshil

BANI WALID: Pertempuran hebat berlaku di sini semalam ketika pejuang rejim baru menyerang bandar padang pasir di mana salah seorang anak lelaki Muammar Gaddafi Seif al-Islam, dipercayai bersembunyi, kemungkinan bersama bapanya, kata pemerintah Libya.

"Pejuang revolusi mara ke Bani Walid pagi ini dan bertempur dengan hebat," kata seorang pegawai kanan dalam Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdullah Kenshil, kepada AFP. Kenshil berkata, pertempuran dengan tentera upahan Gaddafi untuk menguasai bandar ini, satu daripada beberapa kubu pemimpin diktator itu di tenggara Tripoli, "sedang berlaku dan mungkin dapat diselesaikan dalam dua hari lagi."

Pegawai NTC berkata, Seif al-Islam, anak lelaki paling berpengaruh pemimpin Libya yang digulingkan itu, dilihat di sini dan ada kemungkinan bapanya juga berada di bandar padang pasir itu.

"Seif al-Islam dilihat di Bani Walid, ia hampir 100 peratus pasti, manakala bapanya, berada di sana juga; kami 70 peratus pasti," kata Kenshil kepada AFP, menambah mereka hanya dipertahankan tentera upahan.

"Mereka yang berjuang di Bani Walid tidak semestinya briged Gaddafi, yang mana anggotanya menyertai tentera NTC," kata Kenshil, menambah "ada tentera upahan dari Chad, Niger dan Togo, menurut mayat yang kami temui."
Gaddafi, anak lelakinya Seif al-Islam dan ketua perisikan Abdullah al-Senussi masih bebas sejak pemberontak menguasai Tripoli 23 Ogos lalu. Mereka dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah ke atas kemanusiaan.

Kelmarin, tentera NTC diserang selepas mara ke bandar ini. Anggota media melaporkan mereka mendengar letupan kuat dan tembakan bertalu-talu dari dalam
bandar dan roket meletup berhampiran kedudukan NTC di pinggirnya.

"Kami berundur kerana diserang dengan bom bertalu-talu oleh tentera yang setia dengan Gaddafi di kedudukan kami," kata Kenshil, menambah rundingan sedang dilakukan untuk perpindahan kira-kira 50,000 orang awam di bandar itu.

Tentera pro-NTC turut meneruskan perjuangan mereka ke Sirte tengah hari semalam selepas berkumpul semalaman, kata seorang koresponden AFP yang menyertai tentera NTC di timur bandar ini di pantai tengah Mediterranean Libya. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan