Jumaat, 26 Ogos 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


PM Jepun umum peletakan jawatan

Posted: 26 Aug 2011 03:08 PM PDT

Dunia

Pengganti Kan pikul tugas berat pulih imej

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Parti Demokrat Jepun, lapor media Jepun berkuatkuasa serta-merta mengakhiri tempoh pemerintahan beliau sebagai pemimpin Jepun.

"Saya meletak jawatan sebagai presiden (parti) berkuatkuasa hari ini," katanya kepada pegawai kanan parti itu, yang dipetik akhbar Jiji. Langkah berkenaan memberikan laluan kepada pilihan raya untuk memilih Perdana Menteri keenam negara itu dalam masa lima tahun berikutan Jepun berhadapan dengan pemulihan dari gempa bumi 11 Mac lalu , tsunami dan juga krisis nuklear berterusan.

Satu pilihan raya kepimpinan bagi presiden baru parti yang kemudian akan menjadi Perdana Menteri dijangka pada Isnin ini.
Parlimen akan mengundi untuk pemimpin sebagai Perdana Menteri pada Selasa minggu depan.

"Saya akan meninggalkan jawatan perdana menteri sebaik saja seorang pemimpin baru diputuskan," kata Kan. Kan dijadualkan mengadakan satu sidang media Jumaat depan.
Selepas selamat daripada undi tidak percaya pada Jun, Kan berkata beliau akan meletak jawatan dengan syarat tiga rang undang-undang utama akan diluluskan, iaitu bajet kedua, rang undang-undang kewangan, dan peraturan yang menggalakkan penggunaan tenaga baru.

Dua rang undang-undang akhir diluluskan Jumaat lalu, memberi laluan kepadanya untuk meletak jawatan.

Sekurang-kurangnya sembilan calon akan menggantikan Kan, termasuk calon pilihan, bekas Menteri Luar, Seiji Maehara. Menteri Kewangan Yoshihiko Noda juga akan memfailkan pencalonan apabila kempen bermula Sabtu depan.

Sesiapa saja yang menang berhadapan tugas berat untuk memastikan pemulihan semula Jepun selepas perang, menyelesaikan krisis nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl 25 tahun lalu dan melindungi ekonomi negara itu dari kejatuhan yen.

Mereka juga perlu menyatukan parlimen yang berpecah dan memulihkan keyakinan pasaran Jepun boleh mengatasi perundangan yang lemah bagi memulihkan hutang dunia.

Selepas mengambil alih tugas perdana menteri Jun tahun lalu, Kan berusia 64 tahun berhadapan dengan sokongan rendah, masalah kuasa dalam DPJ dan perpecahan parlimen di mana Parti Demokratik Liberal pembangkang menghalang pelbagai rang undang-undang.

Bencana alam Jepun pada Jun lalu yang mengakibatkan 20,000 terbunuh atau hilang, memusnahkan seluruh bandar dan mencetuskan kemalangan nuklear Fukushima menguji kepimpinan dan mengundang dakwaan bahawa beliau gagal untuk bertindak balas terhadap bencana itu. – AFP


Darurat di New York, tiga negeri AS

Posted: 26 Aug 2011 01:08 PM PDT

Dunia

Taufan Irene melanda timbul panik

NEW YORK: Gabenor New York, Andrew Cuomo, mengisytiharkan darurat di seluruh negeri itu ketika ratusan ribu penduduk diarah meninggalkan kediaman masing-masing sebagai persediaan berdepan impak Taufan Irene.

"Saya menyarankan penduduk New York supaya bersedia menghadapi taufan dan bekerjasama dengan pegawai kecemasan. Dengan bekerjasama, kita akan dapat berdepan taufan ini dalam keadaan tenang dan terancang," katanya. Darurat juga diisytiharkan di Carolina Utara, Virginia dan New Jersey. Di Cape May, New Jersey, seramai 750,000 penduduk diarah berpindah tengah malam kelmarin.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, juga mengarahkan pemindahan hospital dan institusi penting lain di kawasan paling rendah di bandar raya itu.

Ramalan menunjukkan Irene bakal menjadi taufan pertama menyerang Amerika Syarikat sejak 2008, ketika taufan Ike membunuh lebih 50 orang dan menyebabkan kerugian AS$30 bilion (RM89.7 bilion).

"Bahagian timur menjadi laluan taufan ini. Kita dapat lihat impaknya," kata Pengarah Pusat Taufan Kebangsaan Amerika, Bill Read.
Taufan kategori tiga itu, diletakkan sekuat Katrina pada 2005, melanda sebahagian Bahamas dan menyebabkan tiga kematian di Haiti dan Puerto Rico.

Lovely Bay terletak di kepulauan terpencil Bahamian Acklins, dimusnahkan angin sekencang 177 kilometer sejam manakala berpuluh-puluh rumah ranap di pulau lain, kata pihak berkuasa.

Sementara itu hujan setinggi 0.30 meter dijangka turun diiringi dengan ombak besar dan bahaya.

Arahan pemindahan mandatori itu dikeluarkan kepada 200,000 penduduk di kawasan pesisiran pantai Dare dan Hyde di Carolina Utara. Penduduk di Dare dijangka tiba di tempat perlindungan khas menjelang 8.00 pagi manakala pelancong diminta meninggalkan kawasan itu secepat mungkin kerana impak Taufan Irene dijangka dirasakan hari ini.

"Taufan Irene mungkin menjadi sekali dan setiap 50 tahun yang melanda timur laut. Tingkap kaca mungkin retak di bangunan pencakar langit di bandar raya ini," kata pakar kaji cuaca bagi Accuweather, Kristina Pydynowski, yang meramalkan banyak pokok tumbang, bekalan elektrik terjejas dan kerosakan bangunan.

Taufan itu dijangka meningkat ke kategori empat sebaik melepasi Florida tengah hari semalam, sebelum ia lemah apabila melanda pantai timur.

Bloomberg meramalkan keadaan bakal menjadi seperti ribut tropika dengan hujan lebat serta angin selaju 96 kilometer sejam di New York. Amaran banjir juga dikeluarkan di beberapa kawasan termasuk daerah kewangan.

"Kita berharap yang terbaik tetapi bersedia berdepan terburuk," katanya.
Akhbar tabloid di New York menggabungkan gambar satelit besar Taufan Irene di muka depan akhbar masing-masing.

Sementara itu, penduduk di Washington turut diberi amaran akan dilanda taufan itu jika ada sebarang lencongan pada laluan Irene.

Pentadbir Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan, Craig Fugate, memberi taklimat kepada Presiden Barack Obama mengenai keadaan itu. – Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan