Selasa, 10 Mei 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Tripoli kembali bergegar

Posted: 10 May 2011 01:16 PM PDT

Dunia

NATO lancar siri serangan terbaru

TRIPOLI: Pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan satu siri serangan terbaru ke atas ibu negara Libya dengan sekurang-kurangnya lapan letupan besar kedengaran sepanjang awal pagi semalam, manakala dua serangan dilancarkan berhampiran pejabat media beberapa jam sebelum itu, kata saksi.

Laporan menyatakan, empat letupan kedengaran sejurus selepas jam 2 pagi semalam, menggegarkan tingkap sebuah hotel yang menempatkan sekumpulan wartawan, sebelum disusuli dua lagi letupan. Bunyi siren dan jeritan kedengaran selepas serangan, disusuli tembakan raifal dan senjata berat, ketika pesawat terbang melintasi ruang udara bandar raya itu.

Awal kelmarin, saksi melaporkan mendengar dua letupan di ibu negara Libya itu ketika pesawat melintas di atasnya, manakala asap kelihatan berkepul berhampiran pejabat stesen televisyen Libya dan agensi berita JANA.

Seorang pegawai berkata sekurang-kurangnya satu serangan terkena sebuah bangunan yang pernah dibom 30 April lalu dan menempatkan beberapa pejabat pertubuhan awam.

Seorang pengawal berkata bangunan itu terkena serangan kira-kira jam 11 malam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Sementara itu, seorang doktor di Pusat Pembedahan Plastik dan Rawatan Melecur di kawasan Shariah Zawiya di Tripoli berkata, seorang pesakit muda cedera terkena serpihan kaca dari tingkap yang pecah akibat salah satu serangan.

Wartawan tidak dibenarkan pergi ke lokasi serangan dikatakan berhampiran sebuah bangunan yang pernah digunakan sebagai pejabat perisikan tetapi kini menempatkan kementerian pertanian.

Letupan berlaku selepas ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin kesuntukan masa dan akan 'menyedari bahawa tiada lagi masa depan untuk beliau dan rejimnya.'

Pada 1 Mei lalu, anak Gaddafi, Seif al-Arab, dan tiga cucunya terbunuh dalam satu serangan di rumahnya di Tripoli. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Sedia runding walaupun rakyat tidak suka'

Posted: 10 May 2011 01:15 PM PDT

Dunia

BAITULMAQDIS: Israel tidak menolak mengadakan rundingan dengan kumpulan Palestin, Hamas walaupun sentimen rakyat negara Yahudi itu tidak memihak kepada pertemuan sedemikian.

Presiden Israel, Shimon Peres berkata bekas presiden Palestin, Yasser Arafat juga dibenci oleh ramai rakyat Israel, tetapi rundingan dengan Allahyarham mampu menghasilkan perjanjian Oslo.

"Semasa saya mula berunding dengan Arafat, ramai yang berkata kami hanya mensia-siakan masa," Peres memberitahu laman web berita Israel, Ynet, semalam. "Saya rasa pertemuan dengan Hamas akan dianggap sia-sia juga. Namun bagi saya nama rakan dialog tidak penting, apa yang penting ialah kandungan rundingan itu sendiri."

Israel sebelum ini berkata ia tidak akan mengadakan rundingan dengan Hamas, dan kumpulan Palestin itu yang menguasai Semenanjung Gaza juga berkata ia tidak mahu mengadakan rundingan dengan Israel.

Peres, yang berkongsi anugerah Keamanan Nobel 1994 dengan Arafat berikutan perjanjian Oslo, berkata demikian selepas Hamas secara mengejut memeterai perjanjian perpaduan dengan saingannya Fatah yang diketuai presiden Palestin Mahmud Abbas.

Perjanjian perpaduan Hamas-Fatah itu cetuskan kemarahan di Tel Aviv dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran kepada Abbas untuk memilih perpaduan dengan Hamas atau rundingan damai dengan Israel.
Bagaimanapun Peres berkata perjanjian perpaduan itu tidak harus menjadi isu.
"Jika mereka mahu bersatu padu, biarkanlah mereka," katanya kepada Ynet. – Agensi

INFO: Kronologi perbalahan Fatah-Hamas

  • Januari 2006 - Hamas memenangi pilihan raya Pihak Berkuasa Palestin
  • Mac 2006 - Kerajaan Hamas ditubuhkan, AS dan EU menggantungkan hubungan dengan Pihak Berkuasa Palestin
  • Februari-Mac 2007 - Fatah dan Hamas bersetuju membentuk kerajaan perpaduan bagi menamatkan perbalahan
  • Jun 2007 - Hamas merampas kuasa di Gaza, kerajaan perpaduan dibubar, Fatah diusir dari Gaza dan Israel mengetatkan sekatan ke atas Gaza.

  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan