Isnin, 25 April 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


NATO cuba lagi bunuh Gaddafi

Posted: 25 Apr 2011 10:25 AM PDT

Dunia

3 maut, 45 cedera serangan ke atas bangunan pejabat pemimpin Libya

TRIPOLI: Serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menyebabkan pejabat pemimpin Libya Muammar Gaddafi rosak teruk disifatkan hanya boleh menakutkan kanak-kanak ketika pertempuran terus berlangsung antara pemberontak dan tentera kerajaan di Misrata, semalam.

"Ia adalah satu cubaan untuk membunuh Gaddafi," kata seorang pegawai Libya yang tidak pasti jika ada mangsa terperangkap di celah bangunan yang runtuh.Seorang daripada anak Gaddafi, Seif Al-Islam pula menyifatkan serangan bom terbabit sebagai tindakan pengecut.
"Serangan pengecut ke atas pejabat Muammar Gaddafi mungkin menakutkan dan mencemaskan kanak-kanak tetapi kami tidak akan meninggalkan medan perang dan kami juga tidak takut," katanya yang mendakwa NATO sudah 'tewas lebih awal'.

Sekurang-kurangnya tiga maut, 45 cedera, 15 daripadanya parah selepas letupan kuat menggegar bahagian tengah Tripoli sejurus tengah malam disusuli bunyi pesawat melintasi ruang udara ibu negara Libya itu.

Seorang pegawai Libya yang mengiringi wartawan di kawasan kediaman Gaddafi mendedahkan angka kecederaan dan kemusnahan.
Sebuah bilik mesyuarat yang menghadap pejabat Gaddafi rosak teruk terkena bom NATO, katanya. Sehingga kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, asap kelihatan terus berkepul dari bahagian yang terkena serangan bom, sambil disaksikan beratus-ratus penduduk sekitar.

Pesawat perang NATO sejak lewat Jumaat lalu sudah menyasarkan serangan ke atas daerah Bab Al-Aziziya yang menempatkan kompleks pejabat Gaddafi.

Sementara itu di Misrata, 215 kilometer ke timur Tripoli, pemberontak Libya mencapai kejayaan di beberapa jalan utama sejak pertempuran bermula 50 hari lalu, manakala penduduknya terus hidup dalam ketakutan.

Mereka juga berjaya menahan atau membunuh penembak curi, sekali gus membolehkan penduduk keluar membeli barang keperluan selepas terperangkap di dalam rumah. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Askar Syria bedil dua bandar kubu pemberontak

Posted: 25 Apr 2011 10:24 AM PDT

Dunia

DAMSYIK: Beribu-ribu tentera Syria yang dibantu kereta kebal, membedil bertubi-tubi sebelum memasuki bandar Daraa dan Douma. Mayat dilihat bergelimpangan di jalan raya bandar itu, semalam.

Aktivis hak asasi melaporkan, pasukan keselamatan juga menyerbu bandar Al-Muadamiyah berhampiran Damsyik, manakala Amman berkata, Syria sudah menutup sempadannya dengan Jordan.

Aktivis yang dihubungi melalui telefon berkata mereka tidak dapat menganggarkan jumlah penduduk yang terbunuh atau cedera, kerana penembak curi yang bersembunyi di bumbung bangunan, menghalang sesiapa saja keluar. Bagaimanapun, seorang saksi berkata, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh di Daraa.

Saksi itu menambah beliau berada di atas bumbung rumahnya ketika bunyi tembakan terus kedengaran di bandar yang bersempadan dengan Jordan itu.

"Bilal masjid melaungkan seruan merayu pertolongan ketika askar memasuki setiap rumah. Perintah berkurung dikuatkuasakan dan askar menembak sesiapa saja meninggalkan kediaman. Mereka juga menembak tangki air bagi menghalang penduduk mendapatkan bekalan air," katanya. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan