Rabu, 16 Mac 2011

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Awan radioaktif bergerak ke Tokyo

Posted:

Awan radioaktif bergerak ke Tokyo

Awan radioaktif bergerak ke Tokyo


SEORANG kanak-kanak diimbas untuk diperiksa kadar radiasi padanya di sebuah pusat pemeriksaan di bandar Koriyama, negeri Fukushima semalam.


TOKYO - Igauan tragedi letupan loji nuklear Chernobyl di Ukarine yang mengorbankan hampir 9,000 nyawa kembali menghantui rakyat Jepun selepas awan radioaktif kesan daripada siri letupan di stesen tenaga nuklear Fukushima dibimbangi akan sampai ke ibu negara Jepun, dalam tempoh beberapa jam, lapor sebuah akhbar semalam.

Amaran itu dikeluarkan selepas kerajaan Jepun semalam membuat pengumuman bahawa radiasi dari loji nuklear milik Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) itu kini merupakan ancaman terhadap nyawa manusia.

Loji tersebut yang memiliki empat reaktor nuklear, terletak sekitar 245 kilometer dari Tokyo.

Tahap radiasi atau pencemaran radioaktif yang boleh menyebabkan kanser meningkat dengan mendadak di kawasan sekitar loji tersebut selepas reaktor No.4 terbakar semalam disyaki akibat satu letupan.

Sejak minggu lalu berlaku tiga letupan melibatkan beberapa reaktor di loji nuklear berkenaan.

Selepas kebakaran pada reaktor No. 4 berlaku, bacaan pencemaran radiasi di kawasan sekitarnya melonjak jauh melepas tahap selamat kepada 400 millisieverts sejam (mSv/j). Pendedahan radiasi yang selamat untuk manusia adalah cuma setakat 3mSv untuk setahun.

Tidak lama selepas itu, Kedutaan Perancis di sini pula memberi amaran bahawa awan radioaktif boleh sampai ke ibu negara Jepun itu dalam masa cuma beberapa jam.

Dalam nada serupa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), turut mendedahkan bahawa radiasi daripada reaktor nuklear itu telah dibebaskan ke udara.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan ketika berucap di televisyen tempatan, buat kali pertama mengakui bahawa radiasi telah tersebar dari loji nuklear Fukushima.

"Tahap radiasi itu amat tinggi dan risiko lebih banyak radiasi tersebar juga sangat tinggi," kata Kan.

"Kami sedang melakukan segala usaha untuk menghalang kebocoran radiasi itu daripada terus tersebar. Saya faham bahawa orang ramai kini bimbang tetapi saya merayu anda supaya bertenang," tambahnya.Radiasi boleh membunuh dan mengubah sel badan manusia yang menyebabkan penyakit barah. Setakat semalam, tahap radiasi yang tinggi dicatatkan di Ibaraki, sebuah bandar yang berada sekitar 128 kilometer dari sini.

Di bandar Saitama, dekat sini, tahap pencemaran radiasi yang direkodkan pula adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada normal.

Setakat ini, kerajaan Jepun telah mengkuarantin 150 orang kerana mereka dikhuatiri terdedah kepada pencemaran radiasi.

Pihak berkuasa turut mengambil langkah membersihkan pencemaran radiasi melibatkan 23 orang yang berada berhampiran loji nuklear di Fukushima.

Kerajaan Jepun meminta penduduk yang tinggal dalam lingkungan 32 kilometer dari loji nuklear Fukushima supaya tinggal di dalam rumah, menutup semua tingkap dan berhenti menggunakan penghawa dingin sebagai langkah keselamatan.

Lebih 100,000 orang dipercayai berada dalam zon tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, negara-negara luar bermula dengan China mula memindahkan rakyat mereka dari sini kerana bimbang tentang pencemaran radiasi. Setakat ini, beberapa negara asing termasuk Austria dan Perancis mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke bandar Osaka yang terletak 400 kilometer dari Tokyo.

Sementara itu, gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter yang melanda timur Jepun pada Jumaat lalu memusnahkan kawasan seluas sehingga berpuluh-puluh kilometer dan menyebabkan lebih 550,000 orang hilang tempat tinggal. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan

Posted:

Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan

Bayi terselamat selepas tiga hari di bawah runtuhan


SEORANG anggota tentera mendukung bayi berusia empat bulan yang ditemui setelah berada di bawah runtuhan selama tiga hari.


SENDAI, Jepun - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan berjaya diselamatkan selepas tiga hari berada di bawah runtuhan akibat tsunami dan gempa bumi sekuat 9 skala Richter yang mengegar Jepun pada Jumaat lalu.

Pada awalnya, sekumpulan askar dari Pasukan Pertahanan Jepun yang sedang mencari mangsa terselamat di kampung Ishinomaki terdengar tangisan seorang bayi. Selepas mengalihkan kepingan kayu, batu dan lumpur tebal, mereka akhirnya menjumpai bayi tersebut.

Bayi itu ditemui dalam keadaan sejuk, basah dan menangis. Dia dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan. Persoalan kenapa dia tidak lemas, masih menjadi misteri.

Bayi tersebut dikatakan terlepas daripada pangkuan ibu bapanya apabila ombak besar memusnahkan kediaman mereka. Keluarga malang itu percaya bahawa mereka akan kehilangan bayi itu buat selama-lamanya. Dia kemudian dipertemukan semula dengan bapanya yang dilihat sangat gembira.

Sebelum dia dijumpai, pasukan penyelamat sudah menemui sekurang-kurangnya 2,000 mayat di sepanjang pantai di wilayah Miyagi yang paling teruk terjejas.

"Penemuan bayi ini memberi semangat baru kepada pasukan penyelamat. Kami akan mendengar, melihat dan menggali dengan lebih berhati-hati selepas ini," kata salah seorang pegawai tentera terbabit. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pemberontak mahu Gaddafi dibunuh

Posted:

Pemberontak mahu Gaddafi dibunuh

Pemberontak mahu Gaddafi dibunuh


MESYUARAT para menteri luar Negara Kumpulan Lapan (G8) di Paris kelmarin gagal mencapai kata sepakat mengenai zon larangan terbang di Libya.


BENGHAZI - Kepimpinan pemberontak Libya meminta kuasa-kuasa Barat supaya membunuh pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan melancarkan serangan ketenteraan terhadap tenteranya, lapor sebuah akhbar semalam.

Jurucakap Lembaga Revolusi Kebangsaan yang memimpin kumpulan pemberontak, Mustafa Gheriani berkata, campur tangan tentera Barat perlu bagi mengelakkan lebih banyak bandar yang sebelum ini jatuh ke tangan pemberontak ditawan semula oleh Gaddafi.

"Kami memberitahu Barat bahawa kami mahu zon larangan terbang. Kami mahu serangan udara ke atas kereta kebal dan roket tentera Gaddafi. Kami mahu serangan udara ke atas kediaman Gaddafi," kata Mustafa.

"Ini adalah mesej daripada delegasi kami di Eropah," tambahnya.

Ditanya sama ada serangan ke atas kediaman pemimpin Libya itu bermakna lembaga revolusi itu mahu Gaddafi dibunuh, beliau menjawab: "Mengapa tidak, jika dia mati adakah anda akan menangisi kematiannya?"

Permintaan pihak pemberontak itu disampaikan oleh satu delegasi yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton di Paris kelmarin ketika para menteri Negara Kesatuan Lapan (G8) bersidang sama ada untuk menyokong permintaan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya atau sebaliknya.

Sementara itu, Gaddafi, 68, semalam menolak untuk berunding dengan pihak pemberontak yang dilabelnya sebagai pengganas Al-Qaeda.

Gaddafi berkata, beliau dan tenteranya akan 'berjihad' untuk menghapuskan semua pengganas tersebut.

Kenyataan tegas itu dibuat selepas tenteranya berjaya merampas beberapa bandar utama yang ditawan pemberontak termasuk Ras Lanuf dan Zuwarah, barat Tripoli. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan