Kosmo Online - Dunia |
- Hosni Mubarak jatuh sakit
- Ulama Indonesia benar kad Hari Kekasih
- Hak cipta kasut terkenal dunia cuma RM30,535
Posted: Hosni Mubarak jatuh sakitSEBAHAGIAN kecil penunjuk perasaan Mesir masih berada di Dataran Tahrir di Kaherah semalam. KAHERAH - Media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam. Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi. Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan. Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit. Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni. Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh. Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma. "Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC. Bagaimanapun, duta berkenaan menegaskan: "Saya tidak mendapat maklumat mencukupi. Justeru saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca Hosni jatuh sakit." Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu. Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah. Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin. Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir. Permintaan itu dianggap sebagai satu amaran sebelum pihak tentera melarang semua bentuk perhimpunan dan mogok. Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan. - Agensi | ||
Ulama Indonesia benar kad Hari Kekasih Posted: Ulama Indonesia benar kad Hari KekasihSEORANG wanita melihat kek yang dijual sempena sambutan Hari Kekasih di sebuah kedai di Jakarta semalam. JAKARTA - Majlis Ulama Indonesia (MUI) membuat pendirian yang lebih lembut berhubung sambutan Hari Kekasih. Menurut Setiausaha MUI, Ichwan Sam, penganut Islam dibenarkan menghantar kad ucapan Hari Kekasih. "Kami memahami bahawa sambutan Hari Kekasih di negara ini tidak lebih sekadar trend yang diamalkan oleh golongan muda," kata Ichwan. "Hari Kekasih merupakan salah satu cara untuk menyuarakan rasa cinta oleh generasi baru. Ia akan lenyap selepas hari itu berlalu," tambah Ichwan. Sejak beberapa tahun lalu, MUI kerap mengeluarkan fatwa yang membidas sambutan Hari Kekasih dengan menganggapnya sebagai satu ancaman terhadap nilai-nilai Islam. Namun, sebahagian penganut Islam di Indonesia yang tidak mematuhi fatwa yang dikeluarkan MUI sebelum ini apabila ada golongan muda yang menghantar kad ucapan, coklat dan bunga kepada pasangan masing-masing sempena Hari Kekasih. Menurut Ichwan walaupun MUI mengeluarkan pendirian yang lebih lembut, pihaknya tetap mengharamkan seks bebas dan bercium antara pasangan yang masih belum berkahwin. "Ia menjadi dosa jika mereka terlibat dalam kegiatan seks bebas atau bercium antara lelaki dan wanita yang masih belum mendirikan rumah tangga," katanya. - AFP | ||
Hak cipta kasut terkenal dunia cuma RM30,535 Posted: Hak cipta kasut terkenal dunia cuma RM30,535
SYDNEY - Sejenis kasut yang dinamakan but Ugg memperoleh hasil jualan £500 juta (RM1.5 bilion) setahun dan amat popular dalam kalangan selebriti Hollywood, lapor sebuah akhbar semalam. Namun, lelaki Australia yang mencipta but tersebut, Shane Stedman tidak menjadi kaya raya dengan hasil ciptaanya itu seperti sangkaan ramai orang. Stedman, 69, menjual idea ciptaannya pada harga cuma £10,000 (RM30,535) dan dia hanya diberikan tiga pasang But Ugg baru secara percuma pada setiap tahun untuk sepanjang hayatnya. Dia menjual hak cipta but itu kepada jenama kasut dari Amerika Syarikat, Deckers pada 1983. Lebih dua dekad kemudian, but tersebut yang diperbuat daripada kulit kambing menjadi popular dan dipakai oleh ramai selebriti seperti Kate Moss, Jennifer Aniston dan Sarah Jessica Parker. Sebuah kedai di London yang menjual but itu pada kebiasaannya dipenuhi dengan wanita yang mahu membelinya pada harga lebih £120 (RM586.60) sepasang. Walaupun gagal bergelar jutawan daripada ciptaannya, Stedman dalam satu wawancara di sini baru-baru ini berkata, dia tetap berbangga kerana rekaannya menjadi fenomena global sekali gus setanding dengan kasut ciptaan pereka dari Malaysia, Jimmy Choo. "Saya berbangga kerana memainkan peranan dalam menjadikan but ini popular di seluruh dunia. Kejayaan ini adalah baik untuk Australia," kata Stedman. Dia kini menghasilkan 500 papan luncur ombak setahun di sebuah bengkel kecilnya tanpa memakai sebarang kereta mewah. Stedman tinggal di banglo tiga bilik di bandar Mona Vale, utara Sydney. Pada mulanya dia menjual but itu pada harga murah untuk para peluncur ombak memanaskan kaki mereka selepas meluncur. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan