Kosmo Online - Dunia |
- Pasangan Mesir berkahwin di Dataran Tahrir
- Pusat pentadbiran Mesir lumpuh
- Legenda gitaris rock meninggal dunia
Pasangan Mesir berkahwin di Dataran Tahrir Posted: Pasangan Mesir berkahwin di Dataran TahrirDR. AHMED ZAAFAN dan Ola Abdel Hamid melangsungkan perkahwinan merekadi Dataran Tahrir, Kaherah kelmarin. KAHERAH - Satu pasangan pengantin, Dr. Ahmed Zaafan dan Ola Abdel Hamid melangsungkan perkahwinan di lokasi para penunjuk perasaan anti-Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Dataran Tahrir, Kaherah kelmarin. Majlis perkahwinan mereka dihadiri lebih 300,000 orang yang terdiri daripada keluarga mereka dan para penunjuk perasaan. Menurut pasangan itu, mereka melangsungkan perkahwinan selepas 10 hari berada di dataran tersebut bagi menuntut peletakan jawatan Hosni sebagai presiden. "Saya berasa bimbang kerana ibu bapa saya mungkin tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan kami. Namun, saya berasa gembira kerana penduduk Mesir dan Arab menjadi saksi perkahwinan saya," kata Dr. Ahmed berusia 29 tahun. Isterinya itu menyatakan bahawa dia tidak dapat mencari satu tempat yang lebih sesuai selain dataran tersebut sebagai lokasi majlis perkahwinannya. "Saya amat gembira mengenai idea untuk mengadakan majlis perkahwinan di dataran ini yang menjadi saksi kelahiran semula negara kami," katanya yang berusia 22 tahun dan graduan sains komputer. Lokasi itu menjadi tempat penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut supaya Hosni yang memerintah selama 30 tahun meletakkan jawatan kerana gagal memajukan taraf hidup rakyat selain dakwaan pentadbirannya yang korup. Sejumlah orang bersorak apabila pasangan itu sah selepas majlis akad nikah berakhir. Pasangan tersebut menyatakan pemilihan dataran itu sebagai lokasi majlis perkahwinan adalah sebagai lambang keazaman mereka untuk memastikan tuntutan penunjuk perasaan dipenuhi. Seorang aktivis penunjuk perasaan anti-Hosni berkata: "Kedua-dua mereka memilih untuk melangsungkan perkahwinan di depan berjuta-juta penduduk Mesir yang memperjuangkan kebebasan. Semoga Tuhan memberkati perkahwinan mereka." - Agensi | ||
Pusat pentadbiran Mesir lumpuh Posted: Pusat pentadbiran Mesir lumpuhSEJUMLAH penunjuk perasaan menyekat laluan masuk ke kompleks Mugamma el-Tahrir di Kaherah semalam. KAHERAH - Para penunjuk perasaan menutup laluan masuk ke kompleks pusat pentadbiran di Kaherah, Mugamma el-Tahrir semalam. Tindakan itu menyebabkan para pekerja tidak dapat pergi ke pejabat tersebut sekali gus menyebabkan perkhidmatan pentadbiran terjejas. Kompleks tersebut menempatkan 14 jabatan dengan lebih 18,000 orang pekerja. "Para penunjuk perasaan menghalang kami masuk," kata seorang pekerja yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal. Dia hanya dapat berlegar-legar dalam jarak 20 meter dari bangunan tersebut bersama rakan sekerjanya. Penunjuk perasaan berikrar akan menguasai Dataran Tahrir sehingga Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan. Khemah para penunjuk perasaan dilihat semakin banyak di Mugamma. Para penunjuk perasaan itu mula berhimpun di dataran berkenaan buat pertama kali pada 25 Januari lalu. Kompleks Mugamma sudah ditutup selama 14 hari sebelum ini. Walaupun kehidupan kembali normal di sini selepas pihak berkuasa mengarahkan bank kembali dibuka, sejumlah penunjuk perasaan masih berhimpun di dataran tersebut. Akhbar Al-Ahram semalam melaporkan bahawa sebahagian kompleks Mugamma telah dibuka buat sementara waktu. Para pekerja dan orang ramai diminta menggunakan pintu belakang untuk memasuki bangunan Mugamma el-Tahrir. "Mereka (para penunjuk perasaan) sepatutnya bersurai. Adalah tidak adil untuk menyusahkan urusan orang lain. Saya perlukan dokumen untuk bekerja di Arab Saudi," tegas seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad. Walaupun Hosni sudah menyatakan beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya, penunjuk perasaan dilihat masih tidak mahu berganjak dari dataran berkenaan. Sementara itu, berpuluh-puluh orang mengelilingi seorang lelaki yang ditangkap bersama satu tin minyak petrol. Dia didakwa cuma membakar kompleks pentadbiran tersebut. Lelaki itu diserahkan kepada beberapa anggota tentera yang kemudian membebaskannya. - AFP | ||
Legenda gitaris rock meninggal dunia Posted: Legenda gitaris rock meninggal dunia
LONDON - Legenda penyanyi rock yang juga bekas gitaris kumpulan Thin Lizzy, Gary Moore (gambar) meninggal dunia semasa tidur pada Sabtu lepas. Sebuah akhbar melaporkan, penyanyi berusia 58 tahun itu baru memulakan percutian enam hari di sebuah hotel mewah di kawasan peranginan Costa del Sol, Sepanyol. Punca kematian Moore masih tidak dapat dipastikan manakala rakan-rakannya berkata, mereka terkejut mendengar berita tersebut. "Saya sukar mempercayainya (kematian Moore). Dia amat cergas, dia bukan penyanyi rock bermasalah seperti terbabit dengan dadah, dia seorang yang sihat," kata pemain gitar Thin Lizzy, Eric Bell. Penyanyi rock itu meninggal dunia beberapa jam selepas dia mendaftar masuk ke Hotel Kempinski di Estepona, Costa del Sol bersama seorang teman wanitanya. Bilik suite di hotel mewah tersebut mencecah £3,500 (RM17,119) untuk penginapan satu malam. Teman wanita Moore, yang berusia dalam lingkungan 30-an, dilapor berada dalam keadaan 'amat sedih' dan dia 'tidak berhenti menangis' ekoran kematian legenda tersebut. "Mereka merancang untuk makan di sebuah restoran selepas mendaftar masuk tetapi ia ditutup. Mereka makan hamburger dan sandwic di bar hotel kami dan minum sebotol champagne," kata seorang pekerja hotel berkenaan. "Dia kelihatan sihat apabila meninggalkan bar itu sekitar pukul 11 malam," tambahnya. Sementara itu, satu bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian penyanyi itu dilakukan semalam di bandar Malaga, Sepanyol. Moore yang dilahirkan di Belfast, Ireland Utara, mula bermain gitar seawal usia lapan tahun selepas mendapat inspirasi daripada bintang legenda, Elvis Presley, kumpulan The Beatles selain menyaksikan Jimi Hendrix melakukan persembahan di bandar kelahirannya. Dia kemudian mula mencipta nama melalui sebuah kumpulan tempatan, Skid Row pada tahun 1960-an. Pada tahun 1973, Moore menyertai band Thin Lizzy. Namun, kerjaya Moore bersama Thin Lizzy tidak panjang dan dia meninggalkan kumpulan itu selepas empat bulan bersama mereka. Moore seterusnya bergiat aktif secara solo dalam tempoh panjang. Penyanyi itu mencipta banyak lagu popular selepas kembali solo. Antara lagu popularnya ialah Parisienne Walkways pada 1979 dan Out in the Fields dalam tahun 1985. Antara lagu lain yang menaikkan namanya termasuk Wishing Well, Empty Rooms dan Still Got The Blues. Sebagai pemain gitar, Moore banyak memasukkan unsur irama blues dalam lagunya. Pengaruh blues jelas dilihat dalam lagu-lagunya terutama sekali Still Got The Blues yang telah dilihat sebanyak 6,821,254 kali di laman YouTube. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan