Selasa, 8 Februari 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wakil Ikhwan bukan berunding

Posted: 07 Feb 2011 09:20 AM PST

KAHERAH: Pertubuhan paling berpengaruh di Mesir, Ikhwanul Muslimin, menafikan mereka berunding dengan rejim Hosni Mubarak seperti dilaporkan media antarabangsa.

Sebaliknya, pertubuhan itu berkata, mereka bertemu wakil kerajaan sekadar menyampaikan tuntutan pembangkang terhadap Presiden Mesir itu.


Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammad Ghanem, berkata tuntutan revolusi rakyat itu berjaya disampaikan dalam pertemuan dengan Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman.

"Saya menegaskan tuntutan majoriti rakyat dan selagi ia tidak dipenuhi, tiada apa yang boleh dilakukan sehinggalah Hosni berundur daripada kekuasaannya," katanya kepada Press TV, semalam.


Kerajaan Mesir pimpinan Hosni kini berdepan tuntutan untuk dibubarkan sejak dua minggu lalu.


Bagaimanapun, diktator Mesir itu setakat ini masih enggan mengalah dan bertegas mahu menamatkan mandatnya pada September ini, sempena pilihan raya umum presiden.

Ikhwanul Muslimin menghantar wakilnya bertemu Omar dalam usaha awal menyelesaikan kemelut yang melanda Mesir.


Sebelum ini pun, Ikhwanul Muslimin menolak pelan pembaharuan dicadangkan kerajaan kerana terbukti Kaherah gagal memenuhi banyak tuntutan dibuat rakyat.

Tuntutan asas pembangkang sejak awal adalah pengunduran Hosni daripada jawatannya.


Berjuta-juta warga Mesir turun ke jalan raya mengadakan protes sejak 25 Januari lalu bagi mendesak Hosni berundur.


Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh dalam pelbagai kejadian keganasan setakat ini, manakala beribu-ribu lagi cedera. - Press TV

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

AS tak mahu Hosni undur segera

Posted: 07 Feb 2011 09:19 AM PST

WASHINGTON: Rumah Putih mengambil jalan selamat apabila enggan membayangkan bila Presiden Hosni Mubarak akan berundur daripada kekuasaannya.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata hanya Hosni tahu tarikh sebenar dia akan melepaskan kuasa di Mesir.


"AS tidak boleh menentukan tarikhnya, tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah memberitahu Hosni bahawa masa untuknya membuat perubahan di Mesir adalah sekarang," katanya.

Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, pula berkata memaksa Hosni berundur tergesa-gesa akan merumitkan lagi keadaan di Mesir.


"Malah, pemergian Hosni akan memberi kesan signifikan ke atas proses reformasi yang dimulakannya," katanya kepada media sekembali dari persidangan keselamatan antarabangsa di Munich, Jerman, semalam.


Kata Hillary, Hosni juga wajar diiktiraf atas tindakannya melakukan reformasi walaupun ia tidak memenuhi kehendak rakyat Mesir.

"Ketika ini, kerajaan AS memberi fokus kepada peralihan kuasa yang tersusun di Mesir berbanding mendesak Hosni berundur tergesa-gesa," katanya. - AP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan