Utusan Online - Luar Negara |
Posted: Wanita China diperdagangkanBEIJING 24 Jan. - Semakin ramai wanita China diperdagangkan ke Asia Tenggara, Eropah dan Afrika oleh sindiket jenayah antarabangsa sebelum dipaksa terjebak dengan pelacuran, lapor sebuah akhbar tempatan hari ini. Akhbar China Daily memetik seorang pegawai kanan polis sebagai berkata, kebanyakan wanita terlibat berasal dari keluarga miskin di kawasan pedalaman dan mereka diperdaya sindiket yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan atau kononnya ditawarkan menyambung pengajian di luar negara. Menurut Ketua Jabatan AntiPerdagangan Manusia di Kementerian Keselamatan Awam, Chen Shiqu, kebanyakan kes perdagangan manusia dikategorikan sebagai kes domestik dengan wanita dari kawasan miskin seperti wilayah Yunnan dan Guizhou di barat daya China, dibawa ke bahagian lain negara itu sebelum dipaksa berkahwin. "Bagaimanapun, trend memperdagangkan wanita China oleh sindiket jenayah ke negara luar untuk bekerja sebagai pelacur kini dilaporkan meningkat," katanya seperti yang dilapor akhbar China Daily. Laporan akhbar itu menjelaskan, Shiqu tidak memberikan angka rasmi wanita terlibat, tetapi menambah polis telah menyelamatkan 15 wanita China yang dibawa masuk ke Republik Demokratik Kongo untuk aktiviti pelacuran pada November lalu. Dua suspek rakyat China turut ditahan ketika itu. Shiqu memetik statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengatakan sebanyak 5,453 wanita dari China yang disyaki bekerja sebagai pelacur di Malaysia telah ditahan dari Januari hingga November tahun lalu. China merupakan destinasi serta pusat perdagangan manusia dengan laman web Projek Antara Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Perdagangan Manusia menyatakan, perdagangan wanita merentasi sempadan di negara ini semakin meningkat. Menurut satu data 2010 yang dikumpulkan oleh projek PBB itu, wanita-wanita China biasanya diseludup masuk ke Thailand, Malaysia, negara-negara Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat (AS). - AP | ||
Posted: Kroni Abidine ditahan polis
TUNIS 24 Jan. - Polis Tunisia mengambil tindakan tegas terhadap sekutu-sekutu Presiden yang disingkirkan dengan mengenakan tahanan rumah ke atas dua pegawai berpangkat tinggi dan menahan ketua sebuah stesen televisyen swasta kerana didakwa cuba memperlahankan usaha Tunisia ke arah demokrasi. Langkah yang diambil ke atas kroni dan penyokong setia Presiden Zine El Abidine Ben Ali itu dibuat ketika demonstrasi jalanan berlarutan di ibu negara ini dan usaha kerajaan sementara yang lemah untuk mengawal gelombang bantahan yang berterusan. Beratus-ratus penunjuk perasaan kebanyakannya dari wilayah selatan ibu negara Tunisia, berhimpun bagi mendesak penyingkiran rejim Ben Ali yang memerintah selama 23 tahun. Agensi berita negara TAP melaporkan, Presiden Hannibal TV, Larbi Nasri ditahan bersama anak lelakinya atas dakwaan 'pengkhianatan besar' dan berkomplot menentang keselamatan negara. Stesen televisyen itu yang merupakan satu daripada saluran popular bagi liputan sukan serta rancangan temu bual hangatnya, dilapor hampir menghentikan penyiaran. Menurut TAP, Nasri yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan isteri Ben Ali, Leila Trabelsi, didakwa menggunakan salurannya untuk 'mencetuskan revolusi di kalangan remaja bagi menggagalkan, mengakibatkan kekacauan, menghasut bantahan dan menyiarkan maklumat' yang bertujuan memperdayakan orang ramai. Laporan TAP menyatakan, tujuan utamanya adalah untuk mengembalikan pemerintahan diktator Ben Ali. TAP turut melaporkan, dua penasihat bekas Presiden iaitu Abdallah Kallel dan Abdelaziz Ben Dhia kini sedang menjalani tahanan rumah dengan polis dikatakan sedang mengesan lelaki ketiga, Abdelwaheb Abdallah. Kallel yang juga Presiden Senat dan bekas menteri dihalang daripada meninggalkan negara sejak Ben Ali ke luar negara, sementara Ben Dhia pula merupakan penasihat berpengaruh bekas Presiden itu. Penahanan tiga individu itu dialu-alukan sebahagian penduduk Tunisia yang menyifatkan mereka sebagai 'orang kanan' Ben Ali yang sentiasa menggalakkan Presiden itu menindas rakyat. - AP |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan