Berita Harian: Dunia |
Lapangan terbang Moscow kena bom Posted: 24 Jan 2011 02:44 PM PST Dunia TV Russia menyiarkan rakaman keadaan selepas letupan di lapangan terbang Domodedovo, semalam. MOSCOW: Pengganas dituduh bertanggungjawab meletupkan bom di dewan ketibaan dan berlepas lapangan terbang terbesar Russia semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh dan lebih 130 lagi cedera. Saksi memberitahu radio Russia, letupan bom itu turut memusnahkan kawasan tuntutan bagasi di lapangan terbang Domodedovo, Moscow. "Satu letupan berlaku hari ini (semalam) di dewan ketibaan lapangan terbang Domodedovo," kata jawatankuasa penyiasat Russia. Jurucakapnya, Vladimir Markin, berkata siasatan sudah dilancarkan terhadap keganasan itu.Seorang lagi pegawai, Tatyana Morozova, memberitahu agensi berita Interfax bahawa letupan juga berlaku di kawasan tuntutan bagasi, keganasan pertama yang berlaku tahun ini di kawasan bandar Russia. Sumber keselamatan berkata, letupan berlaku di dewan berlepas antarabangsa. Media melaporkan, kepulan asap dilihat di kawasan tuntutan bagasi dan ramai yang berlari keluar dari pintu kecemasan lapangan terbang itu. "Ramai yang cedera kerana melecur antara yang berlari. Anggota perubatan dilihat membawa sisa daging manusia yang diletak pada pengusung dan troli," kata seorang saksi dikenali sebagai Andrei kepada radio City FM. Sergei Lavochkin yang berada dekat dewan ketibaan menunggu rakan dari Cuba, memberitahu televisyen Rossiya 24: "Saya dengar letupan kuat dan jeritan. Selepas itu, ramai yang berlari keluar." "Ini adalah serangan pengganas berdasarkan maklumat awal," kata Presiden Dmitry Medvedev kepada pegawai keselamatan dalam sesi yang disiarkan secara langsung. "Lapangan terbang itu penuh dengan asap," katanya, Lapangan terbang Domodedovo dibina pada 1964, terletak 42 kilometer ke tenggara Moscow dan melayan 22 juta pengguna tahun lalu. Umumnya, ia dianggap lapangan terbang paling moden Moscow tetapi prosedur keselamatannya sudah pun dipertikaikan. Pada 2004, dua penyerang bunuh diri berjaya menaiki pesawat di Domodedovo dengan membeli tiket daripada petugas lapangan terbang. Penyerang wanita terbabit meletupkan bom ketika pesawat di udara menyebabkan 90 orang maut dalam dua penerbangan. – AP/Reuters Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komen |
Al-Jazeera dedah tawaran serah Baitulmaqdis kepada Israel Posted: 24 Jan 2011 02:43 PM PST Dunia DUBAI: Perunding Palestin pada 2008 menawarkan untuk menyerahkan sebahagian besar timur Baitulmaqdis dalam rundingan damai dengan Israel, saluran berita Al-Jazeera melaporkan kelmarin, memetik 'dokumen rahsia'.Ketua perunding Palestin Saeb Erakat, bagaimanapun, menyangkal laporan rangkaian televisyen berpusat di Doha itu, menyatakan kepemimpinan Palestin tiada 'apa yang mahu disembunyikan' dan menolak kebanyakan butir laporan berkenaan sebagai 'penipuan'. Al-Jazeera melaporkan kawasan Baitulmaqdis yang ditawarkan membabitkan penempatan haram Yahudi sudah dibina termasuk French Hill, Ramat Alon dan Gilo serta Jewish Quarter dan sebahagian Armenian Quarter di bandar lama Baitulmaqdis. Israel, tambah saluran satelit Arab itu, tidak menawarkan apa-apa sebagai balasan dalam apa yang digelar 'tawaran bersejarah' dari penduduk Palestin, dalam dokumen di mana akhbar The Guardian, Britain turut mendedahkan perkara yang sama.Al-Jazeera berkata tuntutan itu muncul dalam satu pertemuan Jun 2008 di Baitulmaqdis di antara Condoleezza Rice, ketika itu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Menteri Luar Israel ketika itu Tzipi Livni dan bekas Perdana Menteri Palestin Ahmad Qorei serta Erakat. "Cadangan terakhir ini mungkin membantu dalam proses pertukaran," Qorei dipetik sebagai berkata dalam 'Dokumen Palestin'. "Kami mencadangkan bahawa Israel menduduki semua penempatan di Baitulmaqdis kecuali Jabal Abu Ghneim (Har Homa)," katanya dalam dokumen dipetik oleh saluran berita itu.
Namun "pihak Israel enggan menerimanya, malah enggan meletakkan Baitulmaqdis dalam agenda, lebih-lebih lagi menawar balas tawaran Pihak Berkuasa Palestin (PA) itu," kata laporan berkenaan. Qorei memberitahu Livni dalam pertemuan Jun 2008, tiada rundingan boleh dibuat berhubung penempatan Yahudi di Tebing Barat, menurut Dokumen Palestin. Laporan itu muncul ketika kuasa dunia mencari jalan memujuk Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan selepas rundingan damai langsung tertangguh September lalu berikutan langkah Tel Aviv untuk meneruskan rancangannya membina penempatan haram. Washington kelmarin berkata ia sedang mengkaji 'tawaran Palestin' berkenaan. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan