Ahad, 16 Januari 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Tarik sekatan ke atas Myanmar

Posted:

Tarik sekatan ke atas Myanmar

Tarik sekatan ke atas Myanmar

SENGGIGI, Indonesia 16 Jan. - ASEAN mahu Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menarik balik sekatan ke atas negara anggotanya, Myanmar setelah negara itu mengadakan pilihan raya umum dan membebaskan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi, baru-baru ini.

Langkah Myanmar mengadakan pilihan raya dan membebaskan Suu Kyi menggambarkan Myanmar sudah menggorak langkah ke arah demokrasi di negara itu, walaupun cengkaman kuasa junta tentera belum dilonggarkan.

Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa hari ini berkata, ASEAN akan terus mendesak Myanmar supaya memajukan proses demokrasi berikutan pembebasan Suu Kyi dengan membenarkan penyertaan beliau dalam sistem politik, tetapi negara-negara yang mengenakan sekatan ke atas negara itu perlu mengakui kemajuan yang dicapai di negara itu, setakat ini.

"ASEAN mahu sekatan ke atas Myanmar oleh sesetengah negara ditarik balik atau dilonggarkan dengan segera atau seawal mungkin," kata Natalegawa kepada wartawan di luar jadual mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Pulau Lombok, Indonesia.

Pembebasan Suu Kyi patut dijadikan batu loncatan untuk memajukan lagi proses demokrasi, katanya.

"Beliau boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah dan bukan orang yang menjadi masalah, dan perkembangan yang berlaku tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja," kata Menteri Luar itu.

Suu Kyi tidak mempunyai peranan politik dalam pilihan raya pada November lalu, yang berkesudahan dengan kemenangan besar sebuah parti projunta, meskipun penganalisis percaya beliau kini menjadi aset bagi jeneral pemerintah dalam usaha melonggarkan sekatan antarabangsa.

Indonesia selaku Pengerusi ASEAN pada 2011 mahu melihat kemajuan di Myanmar pada tahun ini, kata Natalegawa selepas topik tersebut menjadi antara yang paling awal dibincangkan pada mesyuarat tiga hari itu.

Sidang kemuncak ASEAN kerap dibayangi kontroversi berhubung junta Myanmar.

"Kami diberi jaminan Myanmar tidak lagi akan menjadi masalah bagi ASEAN dalam perhubungannya dengan masyarakat antarabangsa," kata Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan selepas rundingan antara menteri. - Reuters

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Cecacing Stuxnet sabotaj program nuklear Iran

Posted:

Cecacing Stuxnet sabotaj program nuklear Iran

Cecacing Stuxnet sabotaj program nuklear Iran


Gambar merakamkan loji rawatan air nuklear Iran di tengah bandar Arak, kelmarin. - AP


WASHINGTON 16 Jan. - Perkhidmatan perisikan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah bekerjasama bagi menghasilkan sejenis cecacing komputer bagi mensabotaj usaha Iran untuk membina bom nuklear.

Akhbar New York Times (NYT) semalam memetik pakar perisikan dan tentera sebagai berkata, Israel telah menguji keberkesanan cecacing komputer Stuxnet yang dipercayai telah menyebabkan satu perlima daripada alat emparan nuklear Iran terpaksa ditutup pada November lalu.

Tindakan sabotaj itu didakwa membantu membantutkan keupayaan Teheran untuk membina senjata nuklearnya yang pertama.

Ujian tersebut dijalankan di kompleks Dimona yang dikawal ketat di padang pasir Negev, iaitu kemudahan yang menempatkan program senjata nuklear Israel, satu-satunya negara kuasa nuklear di Asia Barat.

Pakar dan pegawai memberitahu NYT, usaha untuk menghasilkan Stuxnet ialah projek bersama AS-Israel dengan bantuan Britain dan Jerman.

"Untuk menguji keberkesanan cecacing itu, kita perlu mengetahui mesin-mesin yang hendak diserang.

"Cecacing itu berkesan kerana pihak Israel mengujinya," kata seorang pakar AS.

Sebelum ini sudah timbul spekulasi meluas bahawa Israel mendalangi cecacing Stuxnet yang menyerang komputer-komputer di Iran, dan Teheran pula menuduh rejim Zionis itu dan AS terlibat dalam pembunuhan dua saintis nuklear Iran pada November dan Januari lalu.

Laporan NYT itu menyusuli kenyataan Iran bahawa program pengayaan uraniumnya menunjukkan kemajuan 'sangat menggalakkan', hanya beberapa hari sebelum Teheran dan enam kuasa dunia dijadual mengadakan rundingan mengenai program nuklear republik Islam tersebut.

Serangan cecacing Stuxnet disasarkan terhadap sistem kawalan komputer yang dibina oleh gergasi perindustrian Jerman, Siemens dan lazimnya digunakan untuk mengurus sistem bekalan air, pelantar minyak, loji tenaga dan infrastruktur kritikal lain.

Kebanyakan jangkitan Stuxnet dikesan di Iran, sekali gus mencetuskan spekulasi virus tersebut juga bertujuan untuk mensabotaj kemudahan nuklear di negara itu. - AFP

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan