Kosmo Online - Dunia |
- Presiden Tunisia lari ke Jeddah
- Raja Rimba bertarung dengan Sang Bedal
- Gajah purba diklon bakal hidup semula
Presiden Tunisia lari ke Jeddah Posted: Presiden Tunisia lari ke JeddahKumpulan penunjuk perasaan Tunisia mengelak serangan selepas polis membedil bom asap ke arah mereka di Tunis semalam. TUNIS – Tunisia diselubungi huru hara dengan Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi melantik dirinya sebagai pemangku Presiden ketika tentera mengambil alih kawalan di ibu kota Tunis, serta beberapa lapangan terbang utama negara itu, lapor sebuah akhbar semalam. Terdahulu, dalam satu kenyataan, keadaan darurat telah dikuatkuasakan di Tunisia. "Pasukan polis dan tentera diberi kuasa untuk menembak mana-mana orang disyaki yang gagal mematuhi arahan atau melarikan diri daripada diperiksa," kata kenyataan itu. Perintah darurat diisytihar selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abedine Ben Ali yang pro-Amerika Syarikat (AS) tumbang dalam siri bantahan berdarah golongan pelajar pada malam kelmarin dan beliau telah meninggalkan tanah airnya. Zine al-Abedine tumbang selepas beliau memerintah Tunisia secara kuku besi selama 23 tahun. Sumber di Arab Saudi memberitahu, presiden berkenaan pada mulanya berlepas ke Perancis tetapi dilaporkan tidak diberi kebenaran memasuki negara itu oleh Presiden Nicolas Sarkozy. Menurutnya, sebuah pesawat yang membawa Zine al-Abedine selamat mendarat di kota Jeddah, Arab Saudi pagi semalam. Drama penyingkiran Presiden Tunisia itu bermula empat minggu lalu apabila bantahan golongan pelajar merebak ke seluruh negara dan akhirnya sampai ke ibu negara pada Khamis lepas. Rata-rata rakyat sudah bosan dengan pemerintahan diktator Zine al-Abedine tetapi kemuncak kemarahan mereka berpunca daripada kegagalan pemerintah mengekang kenaikan mendadak barangan keperluan asas seperti susu, roti dan gula yang amat membebankan orang ramai. Tanpa mengendahkan perintah berkurung dan janji presiden mereka untuk tidak bertanding bagi penggal keenam pada pilihan raya 2014, puluhan ribu penunjuk perasaan keluar memenuhi jalan-jalan raya di sini sejak semalam. Sebahagian mereka bertindak liar dengan memanjat bumbung, memecah masuk dan membaling batu ke arah bangunan-bangunan pemerintah terutama bangunan Kementerian Dalam Negeri. Bagaikan medan perang, kepulan asap menyelubungi ibu kota Tunisia semalam selepas polis melepaskan bom asap dan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan penunjuk perasaan. Menurut satu laporan terbaru, polis menembak mati 13 orang lagi menjadikan angka kematian sejak kebangkitan rakyat Tunisia tercetus beberapa minggu lalu meningkat kepada 80 orang. – Agensi |
Raja Rimba bertarung dengan Sang Bedal Posted: Raja Rimba bertarung dengan Sang BedalBabak pertarungan tiga ekor singa dengan seekor buaya di Botswana. GABORONE – Satu pertarungan ganas 'Raja Rimba' melawan 'Sang Bedal' dirakam oleh seorang lelaki, Tony Goldman ketika melawat kawasan safari di Botswana, dia Afrika bersama anak lelakinya, lapor sebuah akhbar semalam. Pertarungan rimba itu tercetus apabila seekor buaya cuba membaham anak singa tetapi ia diterkam, dicakar dan digigit tiga ekor singa betina yang berada berhampirannya baru-baru ini. "Buaya itu sempat menggigit seekor singa betina tetapi pemangsa tersebut mati dibaham kawanan singa betina berkenaan dalam pertarungan yang berlangsung sekitar 15 minit," kata Goldman. – Agensi |
Gajah purba diklon bakal hidup semula Posted: Gajah purba diklon bakal hidup semulaTOKYO – Gajah Mammoth yang pupus sejak beribu-ribu tahun dahulu bakal dihidupkan semula dalam masa cuma empat tahun, lapor sebuah akhbar di sini semalam. Dalam siri eksperimen mirip filem sains fiksyen The Jurrasic Park, nukleus tisu kulit dan otot Mammoth yang ditemui beku di dalam ais di Siberia akan digunakan untuk menghidupkan semula haiwan purba itu. "Masalah teknikal dalam eksperimen ini telah diatasi, kami cuma memerlukan sampel nukleus yang baik," kata seorang profesor di Universiti Kyoto yang terbabit dalam projek berkenaan, Akira Iritani. Nukleus sel mammoth itu akan dimasukkan ke dalam sel telur gajah Afrika yang akan berfungsi sebagai ibu tumpang disusuli tempoh bunting selama 600 hari. "Saya fikir kami mempunyai peluang yang cerah dengan seekor anak gajah mammoth akan dilahirkan dalam masa empat tahun lagi," katanya. – Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan