Berita Harian: Dunia |
Posted: 14 Jan 2011 09:16 AM PST Dunia Ruby Rubacuori MILAN: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi menghadapi siasatan kes pelacuran di Milan membabitkan seorang penari remaja kelab malam yang hadir dalam parti di kediamannya, kata pendakwa, di sini semalam. Siasatan itu menambah tekanan ke atasnya ketika beliau berusaha memperkuat kerajaan selain menghadapi tuduhan menipu cukai dan rasuah, sehari selepas mahkamah menolak undang-undang memberikannya kekebalan penuh daripada pendakwaan. Majistret berkata, mereka menyiasat tuduhan bahawa Berlusconi memberi upah untuk melakukan hubungan seks dengan Karima El Mahroug, 17, yang menggunakan nama pentas Ruby Rubacuori (Penggoda). Perbuatan memberi bayaran untuk seks dengan pelacur di bawah usia 18 tahun adalah satu kesalahan di Itali.Mereka juga meneliti sama ada Berlusconi, 74, campur tangan secara tidak wajar dengan polis selepas remaja itu ditahan kerana mencuri. Dalam kenyataan mereka, pendakwa berkata, mereka menyiasat kesalahan jenayah di villa Arcore milik Berlusconi dekat Milan antara Februari dan Mei 2010, ketika remaja itu berusia 17 tahun. Pendakwa juga sudah memberi surat saman kepada Berlusconi dan peguamnya. Peguam Berlusconi, Niccolo Ghedini membuat kenyataan menolak siasatan itu sambil menyifatkannya karut dan tidak berasas. Remaja itu memberitahu akhbar dia dibayar 7,000 euro (RM28,000) untuk hadir parti villa Berlusconi tetapi menafikan melakukan hubungan seks dengan pemimpin itu. Berlusconi yang tetap bertahan sekalipun dilanda beberapa skandal seks membabitkan pengiring sosial dan wanita muda sejak berkuasa pada 2008, mengakui kenal Ruby dan membuat panggilan telefon kepada polis untuk membantunya. Sumber berkata, polis memeriksa sebuah pejabat pegawai wilayah yang rapat dengan Berlusconi dan membawa Ruby dari balai polis itu selepas dibebaskan. Reuters |
Bank Amerika tutup akaun diplomat PBB Posted: 14 Jan 2011 09:14 AM PST Dunia NEW YORK: Beberapa bank Amerika Syarikat memberi masalah kepada diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila menutup akaun misi diplomatik, tanpa memberi penjelasan langkah itu meskipun memaklumkan ia bukan disebabkan pemegang akaun membuat apa-apa kesalahan.JPMorgan Chase & Co, yang mempunyai banyak akaun misi diplomatik dan turut terbabit dalam penutupan akaun itu, tidak memberi sebarang alasan atas tindakannya itu. Dalam surat bertarikh 30 September, ia sekadar menekankan bahawa keputusan ini tidak menjejaskan organisasi anda atau bagaimana anda mengendalikan akaun. Ia juga menekankan, akaun peribadi tidak terjejas. Penutupan itu berkuat kuasa 31 Mac depan dan hanya membabitkan akaun misi diplomatik saja. Ada pihak mengesyaki ia disebabkan tugas memantau semua akaun sejajar langkah keselamatan selepas tragedi 9/11, memakan terlalu banyak kos.Ada laporan mendakwa bank mengambil langkah itu kerana semakin sukar memantau kegiatan menghantar dan menerima wang. Bank itu mengeluarkan notis pada 30 September lalu bahawa keputusannya tidak bermaksud jahat. Ada diplomat membuat aduan kepada kerajaan Amerika kelmarin mengenai keputusan beberapa bank negara itu yang menutup akaun misi diplomatik. Mereka juga sukar untuk membuka akaun di bank baru.
Kami turut tawarkan beberapa cadangan, pendekatan pilihan yang boleh diambil untuk mendapatkan perkhidmatan tambahan perbankan, kata Kennedy sambil berkata Amerika akan terus bekerja dengan diplomat bank. AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan