Rabu, 5 Jun 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Pentadbiran Erdogan minta maaf

Posted:

Pentadbiran Erdogan minta maaf

Pentadbiran Erdogan minta maaf

SEJUMLAH penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Dataran Taksim di Istanbul kelmarin.


ISTANBUL - Pentadbiran Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyatakan bahawa pihaknya telah mendapat pengajaran sekali gus merayu agar bantahan jalanan secara besar-besaran yang menggemparkan negara itu sejak beberapa hari lalu ditamatkan.

Protes tersebut menyebabkan Turki terjebak ke dalam krisis politik terburuk sejak sedekad lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai Amerika Syarikat memberikan tekanan kepada pentadbiran Erdogan supaya satu siasatan menyeluruh diadakan berhubung dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak polis terhadap para penunjuk perasaan.

Pada masa yang sama, sebuah kesatuan sekerja utama di Turki melancarkan mogok selama dua hari bagi membantah keganasan pihak berkuasa terhadap para penunjuk perasaan yang membantah pentadbiran Erdogan.

Pentadbiran Erdogan cuba meredakan ketegangan dengan memohon maaf kepada penunjuk-penunjuk perasaan yang cedera selain mengaku tindakan keras pasukan keselamatan ke atas orang ramai yang menyuarakan hak mereka telah menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal.

"Pemerintah mendapat pengajaran berhubung kejadian yang berlaku.

"Kami tidak berhak dan tidak boleh meminggirkan rakyat. Demokrasi tidak wujud tanpa pembangkang," kata Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc pada satu sidang akhbar.

"Saya memohon maaf kepada mereka yang cedera," tambahnya.

Menurutnya, pemerintah peka terhadap tuntutan masyarakat bandar yang berfahaman sekular yang tidak mengundi Parti Keadilan dan Pembangunan pimpinan Erdogan.

"Gaya hidup setiap orang penting buat kami dan kami peka terhadap mereka," ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menggesa rakyat negaranya supaya menamatkan bantahan tersebut.

Sekitar 300 orang cedera sepanjang lima hari protes tersebut berlangsung.

Dalam pada itu, keganasan tercetus di bandar raya Istanbul dan di ibu kota Turki di sini selama semalaman dengan polis pencegah rusuhan bertindak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan.

Kumpulan tersebut bertindak ganas dengan membakar beberapa buah kereta dan membaling batu sambil melaungkan slogan meminta Erdogan meletakkan jawatan.

Tunjuk perasaan yang merebak ke seluruh negara itu bermula selepas sekumpulan penduduk tempatan membantah rancangan untuk membangunkan semula sebuah taman dekat Dataran Taksim di Istanbul.

Rancangan yang diatur oleh Erdogan itu adalah untuk membangunkan semula dataran tersebut yang melibatkan 600 buah pokok ditebang bagi mendirikan berek tentera era empayar Ottoman.

PBB kesan senjata kimia diguna di Syria

Posted:

PBB kesan senjata kimia diguna di Syria

PBB kesan senjata kimia diguna di Syria


ASAP kelihatan dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di Aleppo, Syria kelmarin.


GENEVA - Beberapa anggota penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan mereka mempunyai asas yang kukuh bahawa senjata kimia telah digunakan di Syria.

Pendedahan itu dibuat dalam satu laporan terbaharu selepas mereka menemui beberapa mangsa, saksi dan kakitangan perubatan di negara berkenaan.

Menurut mereka, senjata tersebut digunakan dalam jumlah yang terhad.

Para penyiasat itu turut menyatakan mereka telah menerima aduan bahawa tentera Presiden Bashar Al-Assad telah menggunakan senjata tersebut.

Mereka juga menyatakan, para penentang Bashar turut menggunakan senjata yang sama.

Dalam pada itu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan, sebarang campur tangan tentera asing di Syria akan gagal sekali gus memburukkan lagi situasi di negara bergolak itu.

Bercakap pada satu sidang akhbar selepas menghadiri sidang kemuncak bersama para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) di Yekaterinburg, Putin berkata, Rusia berasa kecewa dengan keputusan EU untuk tidak melanjutkan sekatan membekalkan senjata terhadap para penentang Bashar.

Pertempuran melibatkan kumpulan penentang dengan tentera Syria bermula sejak Mac 2011 ekoran kebangkitan penduduk di Tunisia, Mesir dan Libya. Lebih 70,000 orang terbunuh dalam pertempuran itu.

Kumpulan penentang mahu menggulingkan Bashar yang gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran negara itu. - Agensi

Pemuda Perancis miliki tangan bionik

Posted:

Pemuda Perancis miliki tangan bionik

Pemuda Perancis miliki tangan bionik


SEORANG jururawat melihat Lopes mempelajari cara untuk menggunakan tangan kiri bioniknya di sebuah pusat pemulihan di Coubert, tenggara Perancis kelmarin.


PARIS - Seorang pemuda berusia 22 tahun, Florian Lopes menggunakan tangan kiri bionik yang berharga 42,000 euro (RM170,089).

Dia merupakan pesakit Perancis yang pertama menerima tangan bionik itu.

Lopes memakai tangan bionik itu selepas dia kehilangan tiga batang jari semasa menggunakan sebuah mesin pengisar pada tahun 2011.

Selepas tangan bionik itu dipasang, Lopes kini boleh memegang garpu atau membuka penutup balang.

"Saya kini boleh memotong daging atau menuang air ke dalam gelas seperti dahulu," kata pemuda tersebut.

Kos pemasangan tangan bionik tersebut dibayar oleh majikan Lopes.

Lopes kelihatan seperti memakai sarung tangan sehingga ke paras sikunya semasa dia menggunakan tangan bionik itu.

Tangan bionik itu dikeluarkan oleh syarikat Touch Bionics Scots.

Lopes belajar menggunakan tangan tersebut di sebuah pusat pemulihan di Coubert, tenggara Paris. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan