Kosmo Online - Dunia |
- Bilionair Perancis serah dua arca bersejarah China
- Lapan askar maut dalam serangan bom tepi jalan di selatan Thai
- Bekas gabenor Mexico dipenjara di Amerika Syarikat
Bilionair Perancis serah dua arca bersejarah China Posted: Bilionair Perancis serah dua arca bersejarah China
BEIJING - Seorang bilionair di Perancis, Francois-Henri Pinault menyerahkan semula dua buah arca tembaga yang dirampas daripada Istana Musim Panas Beijing ketika Perang Candu kedua pada tahun 1860, kelmarin. Dua buah arca berbentuk kepala haiwan berusia 150 tahun itu pernah menimbulkan kontroversi pada 2009 apabila ia dilelong oleh firma lelongan Christie oleh Pierre Berge. Pierre Berge merupakan rakan kongsi kepada pereka fesyen terkenal Perancis, mendiang Yves Saint Laurent yang meninggal dunia pada tahun 2008. Sebelum itu, arca berupa kepala arnab dan tikus tersebut adalah milik Yves Saint Laurent. Seorang wakil daripada China pada awalnya telah mendahului bidaan dengan tawaran harga AS$18.2 juta (RM57.5 juta) untuk setiap satu arca tersebut. Bagaimanapun dia kemudian enggan membayarnya atas alasan artifak itu adalah sebahagian daripada warisan negara dan telah dibawa keluar secara haram. Pinault mendedahkan bahawa dia telah memiliki dua arca tembaga daripada Berge dan akan menyerahkannya kembali kepada China. Bilionair itu berbuat demikian pada Jumaat lalu pada satu majlis yang berlangsung di Muzium Nasional China dekat Dataran Tiananmen, China. - AFP | ||
Lapan askar maut dalam serangan bom tepi jalan di selatan Thai Posted: Lapan askar maut dalam serangan bom tepi jalan di selatan ThaiLOKASI letupan bom yang mengorbankan lapan tentera di Yala, Thailand. HAT YAI - Lapan anggota tentera terbunuh semalam dalam satu serangan bom tepi jalan di wilayah bergolak di selatan Thailand, kata polis. Jurucakap polis, Kolonel Metha Singhasena berkata, kumpulan pemisah meletupkan bom itu di daerah Krong Pinang, wilayah Yala semasa kenderaan tentera melalui sebatang jalan. Menurut Singhasena, sepuluh anggota tentera menaiki sebuah trak pelbagai guna dan sebuah kenderaan berperisai selepas selesai membuat rondaan pada pagi semalam. Katanya, bom yang disembunyikan di permukaan jalan memusnahkan trak itu dan mengorbankan lapan tentera. Dua pegawai cedera dan seorang lagi hilang. Dua orang penduduk kampung juga cedera dalam serangan berkenaan. Lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah selatan Thailand yang mempunyai majoriti penduduk Islam sejak penentangan orang Islam tercetus pada 2004. Serangan di selatan negara itu berlaku hampir setiap hari, walaupun kerajaan berusaha untuk berunding dengan kumpulan-kumpulan pemisah baru-baru ini. - AGENSI | ||
Bekas gabenor Mexico dipenjara di Amerika Syarikat Posted: Bekas gabenor Mexico dipenjara di Amerika Syarikat
BANDAR NEW YORK - Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun ke atas seorang bekas gabenor Mexico kerana bersubahat melakukan pengubahan wang haram hasil jualan dadah. Mario Villanueva Madrid, 65, yang pernah mentadbir wilayah Quintana Roo sejak 1994 sehingga 1999 didakwa bersubahat melakukan pengubahan wang haram berjumlah jutaan dolar. Dia berbuat demikian sebagai suapan daripada seorang pengedar dadah, Juarez melalui beberapa akaun bank di AS dan lokasi-lokasi lain. Madrid mengaku bersalah di mahkamah pada Ogos lalu. Terdahulu, dia pernah ditangkap di Mexico pada tahun 2001 dan disabitkan dengan kesalahan jenayah terancang serta rasuah. Madrid kemudian diekstradisikan ke AS pada Mei 2010. Seorang peguam pendakwa raya memberitahu, hukuman yang dijatuhkan pada Jumaat lalu turut merangkumi tempoh hukuman penjara selama enam tahun yang telah dijalani Madrid di Mexico sebelum ini. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan