Jumaat, 7 Jun 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


EDL bakar masjid

Posted: 06 Jun 2013 08:45 AM PDT

London: Sebuah masjid di utara bandar raya ini musnah dalam kebakaran dan dikhuatiri ia menjadi sasaran serangan balas terhadap pembunuhan anggota tentera Britain, Drummer Lee Rigby, baru-baru ini.

Kebakaran bermula awal pagi dan polis melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada anggota Liga Pertahanan Inggeris (EDL) bertanggungjawab.


Polis dari unit Antikeganasan mengetuai siasatan berkenaan selepas grafiti dengan perkataan EDL ditemui diconteng pada masjid itu.

Akibat kejadian itu, sebahagian daripada bangunan masjid milik Persatuan Kebajikan Brawani Somalia itu runtuh dan polis mengesyaki ia berpunca daripada perbuatan khianat.


Penghuni di dua bangunan berhampiran masjid itu berjaya diselamatkan sementara seorang wanita dirawat di tempat kejadian.


Beberapa masjid di Britain menjadi sasaran serangan selepas pembunuhan Lee Rigby di Woolwich, dua minggu lalu.

Foto

BOMBA memadamkan masjid yang terbakar di utara London awal pagi semalam.

Foto

ANGGOTA bomba memeriksa tempat kejadian.

Foto

MASJID yang musnah perlu dibina semula.

Polis berkata, mereka sudah mula berunding dan bekerjasama rapat dengan masyarakat Somalia dan Islam bagi memberikan sokongan.


Ali Abu, 30, dari badan kebajikan Britsom berkata: "Kami terkejut dengan apa yang berlaku. Kami mengecam serangan itu. Keadaan amat serius ketika ini dan kami kecewa dengan serangan terhadap masyarakat kami yang cintakan keamanan." Fiyaz Mughal dari Faith Matters, kumpulan yang mengawasi kegiatan antipenduduk Islam berkata: "Serangan itu mungkin ada kaitan dengan kegiatan antipenduduk Islam memandangkan masjid itu tidak jauh dari Woolwich dan ia aktif menganjurkan kegiatan Islam. Grafiti EDL juga ditemui di masjid itu." - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Paris Jackson cuba bunuh diri

Posted: 06 Jun 2013 08:37 AM PDT

Los Angeles: Paris Jackson, anak perempuan ikon pop, Michael Jackson dikejarkan ke sebuah hospital di California selepas cuba membunuh diri, kata sumber keluarga.

Remaja berusia 15 tahun itu cuba mengelar pergelangan tangan kanannya dengan pisau pemotong daging dan menulis nota membunuh diri, menurut laman web selebriti, TMZ.

Paris yang bapanya meninggal dunia pada 2009 diletakkan di bawah perhatian pakar sakit jiwa selama 72 jam di hospital, kata sumber itu yang turut berkata, remaja itu mengalami tekanan dan pernah dilapor menimbang untuk membunuh diri.

"Dia cuba mengelar dirinya. Dia merasakan dia perlukan bapanya. Dia pernah dirawat kerana tertekan. Ini umpama tangisan mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, keadaannya baik ketika ini," kata sumber itu yang enggan namanya disiarkan.


Seorang jurucakap syerif berkata, pihaknya bergegas ke sebuah rumah di Calbasas dekat Los Angeles, tempat keluarga Jackson tinggal selepas menerima panggilan mengenai 'keadaan kesihatan.' Dia enggan mengesahkan identiti orang yang dibawa ke hospital.


Paris menulis dalam laman Twitternya beberapa kali Selasa lalu, termasuk; "Semalam, semua masalah saya kelihatan begitu jauh. Kini, ia seperti akan kekal' dan 'Saya hairan mengapa air mata berasa masin?"

Dalam satu kenyataan neneknya, Katherine berkata: "Menjadi remaja 15 tahun yang sensitif adalah sukar, tidak kira siapa anda. Ia lebih rumit lagi apabila anda kehilangan orang paling rapat dengan anda. Paris secara fizikalnya sihat dan kini mendapat rawatan perubatan yang sesuai. Harap anda dapat menghormati privasinya dan keluarga kami."

Ibu Paris, Debbie Rowe dan bekas isteri Raja Pop itu berkata: "Kami menghargai semua tumpuan diberikan kepada Paris ketika ini dan penghormatan terhadap privasi keluarga itu,"

TMZ melaporkan, Paris menelefon talian bunuh diri dan orang yang menyambut panggilannya memaklumkan kepada perkhidmatan kecemasan.

Ia menyiarkan rakaman audio panggilan 911 itu dengan orang yang menjawab panggilan itu kedengaran berkata: "Dos berlebihan. Syerif sudah dimaklumkan."
Paris dibawa keluar dari rumah keluarganya di Calabasas dengan pengusung.

Menurut TMZ, remaja itu mengelar lengan kanannya dan memakan pil Motrin, ubat yang digunakan untuk mengurangkan pening kepala dan sakit gigi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan