Jumaat, 7 Jun 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Bales dipenjara seumur hidup

Posted: 06 Jun 2013 04:26 PM PDT

Tentera AS mengaku salah bunuh 16 rakyat Afghanistan

Washington: Seorang pegawai tentera Amerika Syarikat Sarjan Robert Bales, 39, semalam mengaku bersalah membunuh 16 penduduk kampung Afghanistan, sebagai pertukaran untuk tidak dikenakan hukuman mati.

Dalam rayuan yang dikemukakan peguamnya, Bales mengaku salah terhadap 16 tuduhan membunuh dalam satu kejadian di selatan Afghanistan tahun lalu, yang meningkatkan ketegangan hubungan tegang Amerika dan Afghanistan.

Hakim Tentera, Kolonel Jeffery Nance, menerima rayuan itu,= dan memutuskan Bales akan berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup tanpa kelayakan mendapat pengampunan.

Pendakwa sebelum ini berkata, mereka memohon Bales dikenakan hukuman mati. Peguamnya, John Browne, berkata beliau berharap anak guamnya akan dibebaskan selepas 10 tahun. Beliau akan dijatuhkan hukuman Ogos ini.

Bales kelihatan sebak ketika memberi reaksi kepada permohonan hakim di depan kamar mahkamah yang sesak di Pangkalan Lewis-McChord di selatan Seattle, barat laut Washington, untuk mengingati semula kejadian pada 11 Mac 2011.

"Saya berniat membunuh dan memang membunuh dengan menembak menggunakan senjata api sebelum membakar mangsa," kata Bales, mengulangi frasa bagi setiap 16 tuduhan membunuh yang dikenakan terhadapnya.

Ditanya mengapa beliau membunuh penduduk kampung, beliau berkata:
"Tuan, sepanjang yang saya tahu, saya sendiri bertanyakan soalan berkenaan berjuta-juta kali sejak itu. Tiada alasan dalam dunia ini mengapa saya melakukan perkara mengerikan itu."
Bercakap dengan suara mantap sebaik beliau menjawab beberapa persoalan, Bales mengingati beliau memiliki raifal M4 dan pistol 9mm.

"Saya tidak tahu senjata mana menyebabkan kecederaan tetapi saya menggunakan kedua-dua senjata," katanya.

Ditanya sama ada beliau ingat membakar mayat, Bales berkata: "Saya ingat ada bekas lampu dalam bilik, saya ingat ada kebakaran selepas kejadian tetapi untuk berkata saya ingat saya membaling bekas lampu ke atas mereka, saya tidak ingat.

Ditembak di kepala

Tujuh belas daripada 22 mangsa ialah wanita atau kanak-kanak dan hampir semuanya ditembak di kepala.

Sementara itu di Afghanistan, keputusan itu mencetuskan kemarahan anggota keluarga mangsa dan mereka yang terselamat di dalam kejadian itu yang mahu Bales dihukum mati.

"Apa yang kami mahu ialah melihat dia dihukum mati. Kami tidak mahu hukuman lain," kata seorang penduduk Afghanistan Samiullah yang kehilangan ibunya. Dua orang anak beliau cedera parah dan salah seorang daripadanya kini lumpuh kaki dan tangan.

Seorang lagi penduduk, Naeem juga cedera dalam serangan yang dilakukan Bales
"Lihatlah apa yang dilakukannya kepada saya. Saya tidak lagi dapat menggerakkan kaki dan tangan. Orang Amerika berbuat sesuka hati mereka. Hanya hukuman mati akan menyembuhkan luka kami," katanya. - AFP

Erdogan, Gul tak sekata isu bantahan

Posted: 06 Jun 2013 04:22 PM PDT

Ankara: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Abdullah Gul mempunyai pandangan berbeza mengenai bantahan besar-besaran di negara itu, menonjolkan perbalahan mereka menjelang pilihan raya tahun depan apabila kedua-duanya berpotensi bertanding sebagai presiden, kata pemerhati.

Sejak gas pemedih mata mula dilepaskan ke arah penunjuk perasaan secara aman di Dataran Taksim di Istanbul bulan lalu, merebak menjadi pertempuran ganas di seluruh negara, Erdogan mempertahankan tindakan itu.

Berdepan cabaran besar

Berdepan cabaran paling besar kepada pemerintahannya selama sedekad, pemimpin berusia 59 tahun itu menyifatkan penunjuk perasaan sebagai pelampau dan meneruskan lawatan rasmi ke Afrika Utara, berikrar keadaan di Turki akan reda sebaik beliau kembali semalam.

Ramalan itu disangkal penunjuk perasaan yang berkumpul dalam jumlah lebih besar menggesa peletakan jawatan Erdogan, menuduh beliau mengamalkan kuku besi dan melaksanakan nilai konservatif Islam di negara sekular itu.

"Amat menyedihkan dilayan seperti ini. Sukar bagi Erdogan untuk mengendurkan bahasa kasar dan sombong, yang tidak boleh diterima masyarakat," kata pakar sains politik di Universiti Galatasaray di Istanbul, Ahmet Insel, mengenai ramai penunjuk perasaan muda yang marah dengan pendirian keras Erdogan.

Pandangan cara aman
Dalam perbezaan jelas, Gul, 62, yang kerap digambarkan sebagai 'polis baik' berbanding Erdogan yang digelar 'polis jahat' menyuarakan nada lebih damai, memberi jaminan kepada penunjuk perasaan mesej mereka sudah diterima dan menggesa mereka menyuarakan pandangan dengan cara aman.

Namun Gul sendiri bukan asing kepada kontroversi dengan sejarah politik Islam dan keputusan isterinya memakai tudung mencetuskan kritikan ketika dilantik pada 2007.

Didesak memberi jawapan kepada kenyataan lebih lembut Gul kepada penunjuk perasaan, Erdogan berkata beliau tidak tahu maksud presiden, dan menegaskan demokrasi muncul daripada kotak undi. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan