Selasa, 2 April 2013

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Tentera AS hantar jet kalis radar

Posted:

Tentera AS hantar jet kalis radar

Tentera AS hantar jet kalis radar

GAMBAR fail menunjukkan dua buah jet F-22 Raptor milik tentera Amerika Syarikat terbang dekat Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam pada 4 Ogos 2010.REUTERS


SEOUL - Tentera Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan, pihaknya telah menghantar beberapa buah jet kalis radar, F-22 Raptor ke Korea Selatan.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada latihan ketenteraan yang melibatkan kedua-dua buah negara.

Seorang jurucakap tentera AS di Korea Selatan berkata, kepada agensi berita AFP, sebanyak dua buah jet F-22 Raptor tiba di Korea Selatan kelmarin bagi menyertai latihan ketenteraan yang akan berakhir pada 30 April depan.

Jet-jet pejuang itu berlepas dari pangkalan udara AS di Okinawa, Jepun.

Walaupun ia bukan kali pertama F-22 Raptor telah digunakan di dalam latihan tahunan ketenteraan namun kehadiran jet tersebut meningkatkan kemarahan Korea Utara.

Korea Utara telah mengancam untuk menyerang pangkalan tentera AS di rantau Pasifik sebagai reaksi balas terhadap penyertaan AS dalam latihan ketenteraan Foal Eagle.

Sebelum ini, tentera AS menghantar sebanyak dua buah pesawat pengebom nuklear B-2 Stealth terbang di ruang udara Korea Selatan.

Penghantaran pesawat itu pada minggu lalu itu adalah bagi memberi mesej kepada Korea Utara bahawa AS komited untuk mempertahankan Korea Selatan daripada sebarang serangan.

Pesawat-pesawat yang tidak boleh dikesan dengan radar itu dibuat selepas Korea Utara memutuskan talian komunikasinya dengan Korea Selatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini turut melakukan sekatan barang mewah ke negara itu selepas rejim Pyongyang melancarkan ujian nuklear ketiga pada bulan Februari lalu.

Korea Utara kini dipimpin Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 30-an selepas bapanya, Kim Jong-il meninggal dunia pada April tahun lalu. - Agensi

Jamalul Kiram temui ketua biskop Filipina

Posted:

Jamalul Kiram temui ketua biskop Filipina

Jamalul Kiram temui ketua biskop Filipina


JAMALUL KIRAM keluar dari pejabat Persidangan Biskop Katolik di Manila semalam.-AP


MANILA - Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III telah bertemu dengan Ketua Persidangan Biskop Katolik (CBCP), Jose Palma lapor akhbar dalam talian Philippine Daily Inquirer semalam.

Jamalul Kiram tiba di pejabat ketua tersebut pada kira-kira pukul 3 petang untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai CBCP yang diketuai Palma.

Dia ditemani penasihatnya, Pastor 'Boy' Saycon.

Jamalul Kiram telah menghantar sejumlah pengikutnya yang diketuai oleh adiknya, Azzimuddie Kiram ke Lahad Datu, Sabah bagi menuntut negeri itu yang didakwa milik nenek moyang mereka.

Para pengikut Jamalul Kiram itu kemudian bertempur dengan anggota-anggota pasukan keselamatan Malaysia sehingga menyebabkan pertumpahan darah berlaku.

Kumpulan Jamalul Kiram itu menyerahkan kepada Palma beberapa dokumen termasuk tuntutannya ke atas Sabah dan isu hak asasi manusia berhubung layanan buruk terhadap imigran Filipina.

"Saya akan membaca dokumen itu. Saya juga berjanji akan mendapatkan nasihat daripada pihak yang lebih mengetahui tentang pemerintahan (berhubung isu-isu itu)," kata Palma.

Jurucakap Jamalul Kiram, Abraham Idjirani berkata, pertemuan itu diatur oleh Pengerusi Sukarelawan Menentang Jenayah dan Rasuah, Dante Jimenez.

Turut menghadiri pertemuan itu ialah anak perempuan Jamalul Kiram, Jacel Kiram.

Menurut Idjirani, Jamalul Kiram cuba untuk meyakinkan Palma berhubung tuntutannya ke atas Sabah. - Agensi

Aceh mahu bendera baharu

Posted:

Aceh mahu bendera baharu

Aceh mahu bendera baharu


SEBAHAGIAN penduduk mengibarkan bendera kumpulan pemisah di depan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh semalam.- AP


BANDA ACEH, Indonesia - Beribu-ribu penduduk Aceh berarak semalam bagi menuntut supaya bendera kumpulan pejuang pemisah dijadikan bendera rasmi wilayah itu, kata polis.

Jurucakap polis tempatan, Kolonel Gustav Leo berkata, kira-kira 3,000 orang menyertai tunjuk perasaan yang bermula di Masjid Baiturrahman di bandar ini sebelum mereka berarak ke bangunan Dewan Perwakilan Rakyat.

Para penunjuk perasaan itu mengibarkan bendera kumpulan pejuang pemisah tersebut yang berwarna merah.

Mereka turut mengarak sebuah bendera gergasi kumpulan berkenaan.

Pada minggu lalu, Majlis Perundangan Aceh telah meluluskan undang-undang kecil mengenai penggunaan bendera tersebut yang sebelum ini merupakan simbol Gerakan Kebebasan Aceh.

"Bendera ini kebanggaan kami, kami tidak boleh menunggu lagi untuk menyaksikan ia berkibar di bumi kami," kata penganjur perhimpunan tersebut yang hanya dikenali sebagai Indra.

Undang-undang Indonesia melarang penggunaan bendera dan simbol fahaman kumpulan pemisah.

Aceh yang merupakan sebuah negara yang diduduki empat juta penduduk pernah dilanda peperangan dengan tentera Indonesia sejak tahun 1976.

Lebih 15,000 orang telah mati dalam peperangan itu sebelum perjanjian damai dimeterai antara pemerintah Indonesia dengan kumpulan Gerakan Aceh Merdeka pada tahun 2005. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan