Ahad, 6 Januari 2013

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Jutawan sapu jalan

Posted: 05 Jan 2013 01:03 PM PST

Seorang jutawan hartanah bekerja sebagai tukang sapu jalan raya semata-mata kerana mahu mendidik anaknya erti kerja keras.

Yu Youzhen, 53, memiliki 17 blok rumah pangsa dan menjadi kaya hasil daripada ledakan harga hartanah.


Namun, daripada memanjakan diri dengan kekayaan yang dimilikinya dan menjalani kehidupan berfoya-foya di salun, spa atau kompleks beli-belah, wanita itu memilih bangun awal pagi enam hari seminggu untuk menyapu, membersih dan mengangkat sampah di sepanjang jalan raya yang sibuk di Wuhan, tengah China.

"Saya mahu menjadi contoh kepada anak saya. Saya tidak mahu duduk dan menghabiskan kekayaan saya," kata Yu.


Dia juga tidak mahu memberi anaknya gambaran bawa dengan menjadi kaya serta menjalani kehidupan hasil daripada kekayaan itu adalah jalan mudah untuk hidup.


"Gaya hidup seperti itu hanya akan mengancam mereka dalam jangka panjang," kata Yu.

Usahanya itu berjaya. Kedua-dua anaknya kini bekerja makan gaji. Anak lelaki menjadi pemandu bas dengan pendapatan RM1,000 sebulan sementara yang perempuan memperoleh gaji sebanyak RM1,500 dengan melakukan kerja yang tidak dinyatakan, lapor sebuah akhbar China.


Yu pula memperoleh pendapatan sebanyak RM550 sebulan sebagai tukang sapu.

"Saya sentiasa berasakan saya perlu melakukan sesuatu," kata jutawan itu yang menjadi tukang sapu sejak 10 tahun lalu selepas mendapati kekayaan menjadikan hidupnya bosan.


Dia sebelum ini menanam sayur, mengangkat hasil tanaman itu dan menjualnya sendiri di pasar.


Apabila kerajaan komunis China melancarkan pembaharuan ekonomi pada hujungan 1980-an dan membenarkan petani berniaga, Yu dan suami berjaya mengumpul wang secukupnya untuk membina tiga blok rumah pangsa lima tingkat yang kemudian disewakan.


Mereka berjaya mengambil kesempatan terhadap ledakan harga hartanah dan meluaskan 'empayar' mereka hingga mampu memiliki 21 blok rumah pangsa.


Mereka sudah menjual empat blok. Hasil jualan itu dicampur dengan pendapatan menyewa 17 blok rumah pangsa serta gaji sebagai tukang sapu sudah pasti akan membolehkan dia menjalani kehidupan selesa pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

2 pencuri bodoh ditahan

Posted: 05 Jan 2013 12:50 PM PST

Sydney Dua pencuri ditangkap selepas memasuki sebuah restoran KFC menerusi lubang yang mereka gali, bukan kedai barang kemas yang mereka sasarkan, dalam satu cubaan merompak.

Ia adalah kali ketiga mereka cuba merompak kedai barang kemas itu.


Sebelum itu mereka cuba memasukinya dengan memecahkan tingkap depan. Apabila gagal, mereka cuba pula masuk menerusi pintu belakang tetapi termasuk ke kedai haiwan yang bersebelahan kedai barang kemas itu.

Namun, mereka sempat melarikan kotak simpanan wang yang mengandungi duit AS$50 (RM160). Mereka akhirnya menebuk lubang dengan memecahkan dinding bilik air di belakang blok barisan kedai dan merangkak masuk, tetapi keluar di restoran KFC berkenaan.


Lelaki terbabit, Peter Welsh, 32, dan Dwayne Doolan, 31, dikatakan tidak mahu kecewa dengan kesilapan mereka, merompak pengunjung restoran makanan segera itu di bandar Beaudesert, barat daya Brisbane, kata polis semalam.


Mereka melarikan diri bersama-sama wang berjumlah A$2,600 (RM8,000) selepas mengancam kakitangan dengan batang besi dalam kejadian pada Tahun Baru. Polis berjaya menangkap pasangan pencuri berkenaan selepas menyerbu rumah Welsh. - DT

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Tiada ulasan:

Catat Ulasan