Rabu, 9 Januari 2013

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Rakyat sedia terima presiden bukan Jawa

Posted: 09 Jan 2013 12:54 PM PST

Jakarta: Bekas naib presiden Indonesia, Jusuf Kalla, percaya rakyat negara itu bersedia melantik presiden yang bukan berketurunan Jawa, ketika latar belakang etnik ahli politik tidak begitu diberi perhatian pada peringkat kebangsaan.

Ketika ditemubual akhbar The Straits Times kelmarin, beliau berkata penduduk Jakarta menerima timbalan gabenor daripada etnik China, apabila melantik gabenor baru, Joko Widodo dan timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama, tahun lalu.

Walaupun kesediaan itu mungkin mengambil masa lebih panjang untuk bertukar di kalangan penduduk luar kota raya itu, Jusuf, 70, yang berketurunan Bugis dari Makasar, berpendapat cuma 30 peratus penduduk mahukan presiden berketurunan Jawa, kumpulan etnik terbesar negara itu.

Amerika Syarikat memerlukan kira-kira 250 tahun untuk menerima presiden kulit hitam, 200 tahun bermazhab Katolik. Saya yakin kita sudah bersedia menerima presiden bukan berketurunan Jawa. Saya tidak rasa kita perlukan lagi 70 tahun.

Tiga daripada lima anak saya mengahwini pasangan berketurunan Jawa. Isteri saya dari Padang. Ia bukan perkara penting lagi kerana kita semua rakyat Indonesia. Mentua presiden dari Sumatera, katanya.

Rakyat Indonesia akan melantik presiden tahun depan dan meraikan ulang tahun ke-70 kemerdekaan pada tahun 2015, manakala Jusuf ialah salah seorang rakyat bukan Jawa yang bertanding sebagai presiden.

Beliau dijadualkan bercakap di Singapura hari ini mengenai cabaran yang dihadapi rantau itu.
Jusuf juga bakal menjadi satu-satunya calon dilahirkan sebelum merdeka berkata usia bukan satu isu.

Anda sudah kurang mendengar pemimpin mesti di kalangan orang muda. Ia lebih kepada rekod dan penampilan serta karektor, katanya.

Beliau juga mengambil tahu mengenai perkembangan perkara itu sebagai pengerusi Palang Merah Indonesia dan Majlis Masjid Indonesia, menjelajah seluruh negara mentadbir bantuan kemanusiaan dan bercakap kepada penuntut dan penduduk.

AGENSI

Suhu tinggi Australia mula turun

Posted: 09 Jan 2013 12:53 PM PST

Cooma: Suhu tinggi yang mencatat rekod di seluruh selatan Australia dilaporkan sudah turun semalam, sekali gus mengurangkan bahaya kebakaran hutan berikutan cuaca panas melampau dan risiko kebakaran.

Bagaimanapun ramalan cuaca menyatakan perkembangan ini mungkin hanya bersifat sementara dan untuk tempoh singkat.

Selepas berdepan risiko kebakaran paling tinggi di dalam sejarah negara itu kelmarin, perubahan angin di negeri New South Wales yang paling teruk terjejas menyebabkan suhu turun dengan ketara.

Australia mencatatkan rekod hari paling panas pada Isnin dengan purata suhu di seluruh negara adalah 40.33 darjah Celsius, memecahkan rekod yang pernah dicatatkan pada 1972 iaitu 40.17 darjah Celsius.

Selasa adalah hari ketiga paling panas dengan suhu 40.11C. Empat daripada 10 hari paling panas di Australia direkodkan pada 2013.

Tidak diragukan lagi ini adalah suhu yang amat luar biasa panasnya, kata pengurus ramalan dan pemantau iklim biro meteorologi Australia, David Jones.

Jika anda lihat pada tahapnya, tempoh dan intensiti boleh dikatakan ia adalah paling panas dalam sejarah Australia, katanya.
Ketika suhu semakin berkurangan di selatan Australia semalam, ibu negara itu, Canberra mencatatkan penurunan daripada setinggi 36C pada Selasa kepada 28C manakala Sydney menurun daripada 43C kepada 23C.

Jones berkata, semalam juga adalah antara hari paling panas di Australia apabila suhu dihitung. Ini disebabkan keadaan terlampau panas berpindah dari kawasan berpenduduk padat di selatan ke utara dan tengah negara itu.

Biro berkenaan turut meramalkan purata suhu berlebihan sepanjang musim panas ini, meningkatkan kemungkinan bahawa kebakaran akibat kurangnya hujan di tengah dan selatan Australia sejak enam bulan lalu.

Ia akan menjadi amat mencabar, kata Jones mengenai kebakaran hutan yang mengundang bahaya.
AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan