Jumaat, 14 Disember 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Kim Jong-un tokoh 2012 pembaca TIME

Posted: 14 Dec 2012 12:11 PM PST

Los Angeles: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mungkin dalam keadaan selesa ketika ini selepas beberapa lama memimpin sebagai pengganti bapanya, Kim Jong-il, lewat 2011.

Meskipun dikecam antarabangsa, rakyat Korea Utara menyambut meriah pelancaran roket satelit saintifik negara mereka kelmarin.

Terbaru, Kim mendapat undi terbanyak dalam tinjauan Tokoh 2012 pembaca majalah TIME selepas meraih 5.6 juta undi.

Ini tidak bermakna Kim adalah Tokoh 2012 TIME kerana ia adalah keputusan pengarang majalah itu yang akan disiarkan pada 19 Disember menerusi program bual bicara Today selain TIME.com dan Twitter.

Tinjauan di kalangan pembaca memberi peluang kepada mereka memutuskan siapa yang paling berpengaruh dari segi siaran berita pada tahun ini, sama ada secara positif atau sebaliknya.

"Memang menarik untuk mengetahui siapa yang menjadi calon pilihan pembaca kami," kata pengarang eksekutif TIME, Radhika Jones.

Nama lain yang mendapat sokongan termasuk pengacara program bual bicara The Daily Show iaitu Jon Stewart; pendatang tanpa dokumen; pemenang pingat emas Olimpik, Gabby Douglas; pemimpin Myanmar, Aung San Suu Ky dan Thein Sein; Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan Gabenor New Jersey, yang berada dalam 10 tempat teratas.
Ada ramai pembaca yang tidak menyokong Morsi tetapi majalah itu menyifatkan kemunculannya dalam senarai pembacanya menunjukkan wujud sokongan kepada beliau di kalangan pengguna media sosial.

Personaliti lain yang turut terpilih termasuk aktivis remaja Pakistan yang diserang militan Taliban di Pakistan, Malala Yousafzai berada di tempat ke-15.

Penyanyi Korea Selatan, Psy yang terkenal menerusi lagu Gangnam Style yang kini video paling banyak ditonton di YouTube, di tempat ke-17. Agensi

Panglima NATO yakin rejim Bashar tumbang

Posted: 14 Dec 2012 12:02 PM PST

Moscow: Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak dijangka dapat bertahan lama, kata pegawai kanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam.

Knud Bartels, Jeneral Denmark yang mempengerusikan Jawatankuasa Tentera NATO berkata, pertubuhan itu kini merangka pelan untuk mengawal bekalan senjata kimia Syria sekiranya Bashar meletak jawatan atau dipaksa berundur.

"Anda boleh kata saya mungkin beranggapan bahawa Bashar akan hilang kuasa. Cuma, saya percaya itulah kenyataannya," kata Bartels selepas satu mesyuarat di sini.

Menjawab soalan mengenai strategi konflik di Syria, beliau berkata kebimbangan utama NATO adalah mengenai keselamatan Turki, jiran Syria.

Minggu lalu, NATO bersetuju menghantar peluru berpandu Patriot ke Turki sebagai melindunginya daripada ancaman peluru berpandu Syria.

Selain itu, Setiausaha Agung pakatan itu, Anders Fogh Rasmussen berkata kerajaan Bashar semakin hampir digulingkan.

Sementara itu, Kementerian Luar Russia menafikan diplomat kanannya berkata Bashar semakin hilang kawalan, kenyataan yang dianggap menunjukkan Moscow mengubah pendirian menyokong Damsyik.
Timbalan Menteri Luar Russia, Mikhail Bogdanov, dipetik agensi berita negara itu berkata, ada tanda-tanda kerajaan Syria semakin hilang kawalan di banyak wilayahnya dan kemungkinan penentang menang tidak boleh ditolak.

Tetapi, Kementerian Luar Russia menegaskan, Bogdanov tidak membuat sebarang kenyataan atau temu bual khas mengenai Syria dan hanya memetik pendirian penentang Bashar ketika berucap.

Penafian itu dibuat selepas 22 jam Bogdanov membuat ulasan itu.

Russia menyertai China apabila menggunakan kuasa veto sebanyak tiga kali dalam undian di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengenakan sekatan ke atas Bashar kerana melawan pemberontakan terhadapnya sejak Mac 2011. REUTERS/AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan