Selasa, 6 November 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Obama berkempen pada hari terakhir di Ohio

Posted:

Obama berkempen pada hari terakhir di Ohio

Obama berjabat tangan dengan para penyokongnya di Cincinnati, Ohio kelmarin.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan pencabarnya, Mitt Romney kelmarin berkempen pada hari terakhir sebelum pilihan raya presiden berlangsung pada hari ini.

Kedua-dua mereka melawat negeri Ohio yang dianggap penting bagi menentukan kemenangan mereka pada pilihan raya tersebut.

Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan Obama dan Romney bersaing dengan sengit.

Tinjauan pendapat NBC/Wall Street Journal yang disiarkan kelmarin menunjukkan Obama memperoleh 48 peratus sokongan.

Dalam tinjauan pendapat yang sama, Romney mendapat 47 peratus sokongan.

Satu tinjauan pendapat yang dikendalikan Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan Obama memperoleh 48 peratus manakala Romney mendapat 45 peratus.

Kira-kira 30 juta orang telah mengundi di 34 buah negeri dan di Washington D.C.

Romney yang merupakan bekas gabenor Massachusetts mewakili parti Republikan.

Obama yang mewakili parti Demokrat bertanding bagi mempertahankan jawatannya bagi penggal kedua.

Presiden AS perlu memenangi 270 daripada 538 undi pemilih dan bukannya menerusi undi popular.

Setiap calon perlu menjadi pemenang di kebanyakan negeri bagi mencerahkan peluang mereka memperoleh bilangan undi pemilih yang mencukupi untuk menjadi Presiden AS. - Agensi

Kubur Arafat digali 26 November

Posted:

Kubur Arafat digali 26 November

GAMBAR fail menunjukkan kubur Arafat di Ramallah, Palestin pada 10 November 2008.


RAMALLAH, Tebing Barat - Seorang diplomat Barat semalam berkata, kubur bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat akan digali pada 26 November depan.

Kubur itu akan digali bagi menyiasat punca sebenar kematian Arafat.

Menurut sumber-sumber Palestin, kumpulan penyiasat dari Institut Fizik Radiasi, Universiti Lausanne, Switzerland telah tiba di sini bagi melakukan persediaan untuk menggali kubur itu.

Anggota-anggota kumpulan itu menemui Menteri Kesihatan Palestin, Hani Abdeen dan Menteri Kehakiman, Ali Mhanna.

Pasukan tersebut juga telah mengadakan perbincangan dengan ketua suruhanjaya Palestin yang menyiasat kematian Arafat, Tawfiq Tirawi.

Bekas pemimpin Palestin itu meninggal dunia di sebuah hospital tentera dekat Paris pada 11 November 2004.

Pakar-pakar Perancis tidak dapat mengesahkan punca kematiannya.

Ramai penduduk Palestin yakin beliau diracun Israel.

Pihak pendakwa raya Perancis membuka kertas siasatan terhadap kematian Arafat pada Ogos lalu selepas stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan hasil siasatan pakar-pakar Switzerland yang mendakwa bahan radioaktif polonium ditemui pada barang-barang peribadi milik bekas pemimpin Palestin itu.

Polonium merupakan bahan beracun yang pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko.

Litvinenko meninggal dunia di London pada 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun itu. - Agensi

153 orang berbogel untuk seni

Posted:

153 orang berbogel untuk seni

SEBAHAGIAN sukarelawan yang memakai kain jarang pada sesi fotografi Tunick di negeri San Miguel de Allende kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Seorang artis seni terkenal, Spencer Tunick merakamkan gambar 153 sukarelawan yang berbogel di negeri San Miguel de Allende, Mexico kelmarin.

Ketika Tunick merakamkan gambar itu, 153 orang termasuk wanita hanya memakai kain jarang.

Gambar itu dirakamkan sempena Festival Rangka Manusia untuk memperingati Hari Kematian.

Tunick, 44, sebelum ini terkenal dengan hasil kerja seninya yang merakamkan gambar bogel melibatkan ramai orang. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan