Selasa, 6 November 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Taufan baru ancam New York, New Jersey

Posted: 06 Nov 2012 02:26 PM PST

New Jersey: Taufan baru diberi nama Nor'easter yang dijangka melanda timur Amerika Syarikat diramal menjejaskan usaha pemulihan daripada kesan dibadai Sandy lebih seminggu lalu.

Petanda awal ialah hujan akan mula turun hari ini sebelum menjadi semakin lebat, kata pakar meteorologi.

Keadaan dilaporkan menjadi semakin teruk kerana suhu terus panas, perkembangan tidak baik kepada 1.2 juta penduduk yang belum mendapat semula bekalan elektrik.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan melaporkan Nor'easter sebagai sistem angin tekanan rendah disusuli ribut yang menyasarkan kawasan pantai Jersey Shore.

Mereka berkata, ada kemungkinan hakisan berlaku dan kawasan berhampiran pantai boleh dinaiki air.

Dalam keadaan lain, keadaan itu tidak mungkin memberi masalah tetapi ia bukan berita baik selepas ribut Sandy baru berlalu, kata Gabenor New York, Andrew Cuomo.

"Ribut baru memberi kesan kepada kawasan yang teruk terjejas kerana Sandy," kata ketua peramal cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Bruce Terry.
Timbang berpindah

Ada juga kumpulan penduduk tertentu menimbang untuk berpindah selepas kediaman mereka dibadai Sandy meskipun sudah dibenar pulang.

Lebih 100 orang maut angkara Sandy selain menyebabkan kerugian dianggarkan AS$50 bilion (RM150 bilion).

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg membatalkan rancangan memindahkan penduduk sekali lagi.

"Ribut ini berbeza. Angin ribut ini datang dari arah berbeza," katanya sambil mengakui tidak tahu sama ada penduduk bersedia menghadapi ancaman baru itu.

Pakar meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Joe Pollina menasihatkan penduduk supaya tidak keluar rumah dan memastikan bekalan makanan mencukupi.

Setiausaha Keselamatan Jabatan Dalam Negeri, Janet Napolitano menggesa penduduk memandang serius ancaman baru.

"Semua yang mereka lakukan ketika Sandy perlu dibuat kerana Nor'easter. ada penduduk tidak mahu tinggalkan rumah," katanya. - Agensi

Militan Islam bukan ancaman kepada AS: Kajian

Posted: 06 Nov 2012 02:25 PM PST

Chicago: Ketika pilihan raya presiden bermula hari ini, kebanyakan rakyat Amerika Syarikat tidak lagi melihat kumpulan militan Islam sebagai ancaman besar kepada keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Ini berbeza dengan sikap rakyat Amerika terhadap kumpulan fundamentalis Islam selepas serangan 9/11 pada 2011 di New York.

Ia berdasarkan kajian The Chicago Council on Global Affairs (Majlis Chicago Mengenai Hal Ehwal Global) terhadap 1,800 responden pada Mei-Jun 2012.

Ia mendapati hanya 37 peratus melihat kumpulan militan Islam sebagai ancaman, berbanding 60 peratus dalam kajian sama setahun selepas 9/11, pada 2002.

Ia juga menunjukkan dua pertiga rakyat Amerika berpendapat campur tangan Amerika di Iraq dan Afghanistan gagal menyelesaikan masalah keganasan.

Felo majlis itu, Dina Smeltz, berkata: "Demografi penduduk Amerika banyak berubah dengan pertambahan penduduk Islam dan Hispanik selain Asia.

"Kajian ini dilakukan sebelum serangan di Benghazi, Libya apabila duta Amerika ke Libya dan tiga pengawal terbunuh. Ada kemungkinan peratusan itu naik jika kajian baru dibuat sekarang.
"Paling penting pelbagai etnik di negara ini tidak lagi prejudis terhadap orang Islam atau kumpulan ekstremis yang dikaitkan dengan mereka," katanya ketika ditemui BH selepas menyampaikan kertas kerja, 'Apakah Dasar Luar Negara Yang Dikehendaki Rakyat Amerika dan Kaitannya Dengan Pilihan Raya Presiden Amerika', di sini semalam.

Presiden Barack Obama memutuskan tentera Amerika akan keluar Afghanistan pada 2014.

Kepada soalan kempen Afghanistan tidak berbaloi untuk Amerika, 75 peratus penyokong Bebas setuju, manakala Demokrat (68 peratus) dan Republikan (55 peratus).

Malah, 28 peratus Republikan mahu tentera Amerika kekal di Afghanistan berbanding Demokrat (11 peratus) dan Bebas (16 peratus) selepas 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan