Sabtu, 10 November 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta sains fiksyen

Posted: 09 Nov 2012 11:25 AM PST

LONDON: Kereta luar biasa baru ini, 'Extra Terrestrial Vehicle' sudah pasti dikagumi peminat sains fiksyen.

Kenderaan futuristik ini yang berharga 75,000 (RM375,000), dikenali juga dengan ETV adalah berdasarkan platform yang sama dengan kereta Chevrolet biasa.


Tetapi di situ sajalah persamaannya. ETV yang berinspirasikan sains fiksyen kelihatan lebih daripada kereta biasa di jalan raya.

Ia dijana oleh enjin berkelajuan tinggi 2 liter yang menyediakan 270 kuasa kuda kepada roda depan menerusi kotak gear lima kelajuan.


Ia memiliki skrin depan setinggi 1.5 meter dan pintu sayap yang akan terbuka cara automatik menerusi kawalan jarak jauh.


Di dalam, terdapat dua kamera yang akan membolehkan kereta berbentuk aneh ini diparkir dengan mudah.

Michael Vetter yang berasal dari Itali dan menguruskan The Car Factory di Florida, Amerika Syarikat, mereka dan menghasilkan kenderaan canggih ini.


Dia yang dikenali sebagai Kit Car Mike sudah menghasilkan tujuh ETV dengan satu model dipamerkan di Muzium Kereta London di Middlesex.

"ETV ini dihasilkan untuk orang yang sudah memiliki semua jenis kereta tetapi masih mencari sesuatu yang berbeza," katanya. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Budak 2 tahun parah dicekau helang

Posted: 09 Nov 2012 11:00 AM PST

LONDON: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera dengan mukanya berlumuran darah selepas diterkam seekor burung helang peliharaan di sebuah taman permainan, dekat sini, semalam.

Burung berkenaan menerkam Alfie Hall ketika dia bersiar-siar di taman itu dengan ibunya, Elysia dan beberapa anggota keluarga lain.

Kanak-kanak itu bagaimanapun bernasib baik kerana matanya terselamat.

Helang berkenaan yang sayapnya selebar 1.4 meter, turut mencekau telinga kiri kanak-kanak itu, menyebabkannya hampir putus.


Doktor terpaksa mencantumkan semula telinga itu di hospital.


Elysia, 23 berkata malam tadi: "Ia sungguh menakutkan. Burung itu kelihatan begitu besar dan kuat ketika menerkam kepala anak saya.

"Burung berkenaan mengoyakkan beberapa daging kepala Alfie, termasuk menyebabkan turisan besar berhampiran sebelah matanya yang memerlukan ia dijahit.

"Doktor memberitahu kami, dia bernasib baik kerana tidak hilang penglihatan.
"Adik saya meluru sambil menjerit dan memekik untuk mengusir burung berkenaan. Saya pula berkejar untuk mendapatkan Alfie.

"Dia begitu terkejut. Matanya bengkak dan saya dapat melihat telinganya terkoyak."

Kejadian berlaku di taman permainan di Farnborough, Hants.

Burung itu tidak mempedulikan panggilan pemiliknya yang berusia belasan tahun yang berada di situ.

"Kami pernah melihat tuan burung itu berjalan di sekitar taman bersama haiwan itu. Kali ini, dia membiarkannya terbang dan kemudian cuba memanggilnya.

"Tetapi burung itu hinggap pada pokok. Dia cuba memujuk helang peliharaannya itu tetapi burung berkenaan tiba-tiba terbang dan menerkam kepala Alfie," katanya.

Polis berkata, seorang remaja berusia 18 tahun dari Farnborough ditahan dan kemudian dibebaskan selepas disoalsiasat. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan