Jumaat, 12 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Seorang maut bangunan parkir runtuh di Miami

Posted:

Seorang maut bangunan parkir runtuh di Miami

BANGUNAN tempat meletak kenderaan setinggi lima tingkat runtuh di Kolej Miami-Dade, Florida kelmarin.


MIAMI, Amerika Syarikat - Bangunan tempat meletak kenderaan yang masih dalam pembinaan runtuh kelmarin menyebabkan seorang pekerja terbunuh di sini, kata beberapa pegawai.

Menurut mereka, beberapa pekerja lagi cedera dalam kejadian tersebut.

Salah seorang pekerja itu berjaya diselamatkan selepas terperangkap di celah runtuhan.

Jurucakap Jabatan Bomba Miami-Dade, Griselle Marino berkata, pekerja itu diselamatkan selepas dia menggunakan telefon bimbit untuk memberitahu lokasinya kepada anggota pasukan penyelamat.

Bangunan parkir itu setinggi lima tingkat dan terletak di Kolej Miami-Dade.

Tiada pelajar yang berada di kawasan itu ketika kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi.

Empat pekerja dihantar ke sebuah hospital termasuk seorang berada dalam keadaan parah.

Tiga lagi pekerja dirawat oleh anggota paramedik.

Punca kejadian masih belum diketahui. - Agensi

Turki tahan pesawat Syria

Posted:

Turki tahan pesawat Syria

GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat penumpang Syria yang ditahan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara semalam.


ANKARA - Turki telah mengarahkan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow untuk mendarat di Ankara semalam selepas menerima laporan bahawa pesawat itu disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.

Tindakan Turki itu sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara dua buah negara jiran itu.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pihak berkuasa menahan kargo yang terdapat di dalam pesawat penumpang Syria itu kerana disyaki berbahaya.

Pesawat itu dalam penerbangan menuju ke Damsyik.

Agensi media Anatolia memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, pihaknya mengesyaki pesawat tersebut membawa kargo senjata.

"Terdapat kargo yang haram di dalam pesawat itu yang sepatutnya dilaporkan selaras dengan peraturan penerbangan awam," kata Davutoglu.

Menurutnya, kargo itu akan ditahan buat sementara waktu.

Turki menghantar dua buah jet untuk mengarahkan pesawat Airbus A-320 itu mendarat di Ankara kerana disyaki membawa senjata dan peluru.

Menurut rangkaian berita NTV, kargo yang dirampas itu dipercayai komponen peluru berpandu.

Bagaimanapun, stesen televisyen TRT membuat spekulasi bahawa kargo tersebut mengandungi peralatan komunikasi yang menuju ke Damsyik.

Pesawat itu dibenarkan untuk meninggalkan Lapangan Terbang Esenboga di sini selepas sembilan jam ditahan.

Seramai 35 penumpang berada di dalam pesawat itu.

Menurut agensi berita Interfax, seramai 17 penumpang pesawat itu ialah warga Rusia termasuk kanak-kanak.

Kedutaan Rusia di Ankara telah menghubungi pemerintah Turki untuk mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun, Davutoglu menyatakan insiden tersebut tidak akan menjejaskan hubungan antara Turki dengan Rusia.

Ketika ini Syria dilanda pergolakan ekoran kumpulan pemberontak mahu menyingkirkan Presiden Bashar Al-Assad.

Pertempuran antara para pemberontak dan tentera Syria itu berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. - Agensi

Jutawan China tawar ganti kereta buatan Jepun milik mangsa rusuhan

Posted:

Jutawan China tawar ganti kereta buatan Jepun milik mangsa rusuhan

GUANGBIAO memegang basikal di atas bumbung sebuah kereta buatan China di Nanjing kelmarin.


NANJING - Seorang jutawan China, Chen Guangbiao berjanji untuk menggantikan kereta buatan Jepun milik 43 orang rakyat China.

Sebelum ini kereta milik 43 orang itu dirosakkan oleh sejumlah penunjuk perasaan di negara ini dalam isu tuntutan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur.

Kerajaan Jepun memutuskan untuk membeli tiga daripada lima pulau kecil yang membentuk kepulauan itu daripada pemilik persendirian menyebabkan penduduk China berasa marah dan melancarkan tunjuk perasaan pada bulan lalu.

Menurut media negara ini semalam, Guangbiao menunjukkan 43 buah kereta buatan China yang dibelinya pada harga lebih AS$794,000 (RM2.4 juta) di sini pada Rabu lalu.

Jutawan berusia 44 tahun itu menawarkan kereta Geely buatan tempatan bagi menunjukkan perasaan patriotik terhadap negara.

"Saya melancarkan majlis ini (menawarkan kereta buatan China) untuk mengingatkan orang ramai bahawa semangat patriotik sepatutnya dikendalikan dengan rasional, kebijaksanaan dan disiplin," katanya.

Dia mempamerkan kereta yang telah dibelinya itu kepada orang ramai dan pemberita di sini kelmarin.

Menurut perangkaan industri, jualan kereta Jepun merudum ketika terdapat desakan supaya barang buatan negara tersebut diboikot ekoran isu tuntutan kepulauan yang tidak berpenghuni itu.

Guangbiao merupakan salah seorang daripada 400 individu yang kaya di negara ini.

Jumlah kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$740 juta (RM2.27 bilion).

Dia memperoleh kekayaan menerusi sebuah syarikat kitar semula di Nanjing. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan