Isnin, 8 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Sophie wanita RoboCop

Posted: 07 Oct 2012 09:40 AM PDT

LONDON: Sophie Morgan boleh dianggap seorang RoboCop apabila separuh daripada tubuhnya berfungsi dengan bantuan peralatan canggih bernilai 90,000 (RM443,747).

Bagi sesiapa yang melihat Sophie, pasti akan berasa kagum.


Dari pinggang ke bawah, setiap tubuhnya disokong alat bermotor diperbuat daripada gentian karbon. Sophie, 27, mengawal pergerakan mesin itu menggunakan alat pada tangannya bagi membolehkan kakinya berjalan. Pada tiga langkah terawal, Sophie kelihatan menahan sakit tetapi dia tersenyum lebar beberapa detik kemudian. Hanya lima minit sebelum itu, dia hanya mampu duduk di kerusi roda apabila pergerakannya jadi sangat terbatas akibat lumpuh dari paras dada ke bawah.

Sophie ditimpa bencana sembilan tahun lalu apabila kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dan insiden itu merosakkan tulang belakangnya.


Selepas beberapa tahun, dia menerima kenyataan tidak akan berjalan lagi seperti sebelum ini. Namun, media semalam melaporkan, Sophie adalah antara manusia pertama mendapat faedah daripada alat dikenali sebagai Rex itu.


Rex adalah kemajuan perubatan besar pertama dicapai untuk membantu orang lumpuh sejak beberapa dekad lalu. Ia membantu pesakit termasuk yang lumpuh dari paras leher ke bawah - untuk kembali berjalan.

Dalam perkataan lain, Rex akan menamatkan penggantungan pesakit lumpuh kepada kerusi roda. Sophie - kini bertugas sebagai penyampai televisyen - mencuba Rex kali pertama pada Mei lalu.


Katanya, ia adalah pengalaman yang sukar diceritakan.

"Dengan ketinggian 1.5 meter, lantai kelihatan begitu jauh apabila memakai Rex.


"Saya berasa selamat tetapi emosi bercampur-baur dan selepas beberapa minit saya tidak percaya boleh berjalan," katanya. Pengalaman itu menyebabkan dia terus mahu mencuba Rex secara berterusan. Teman lelaki Sophie, Tom, 28, berkata sejak berkenalan lima tahun lalu, Rex membolehkan dia melihat kekasihnya berdiri untuk kali pertama. Ketika ini ada hanya 10 unit Rex dicipta dan 30 orang pernah mencubanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Aktivis desak Arab Saudi bebas Raef Badawi

Posted: 07 Oct 2012 09:35 AM PDT

KUWAIT CITY: Sebuah pertubuhan sivil Teluk semalam menggesa Arab Saudi membebaskan seorang aktivis yang ditangkap empat bulan lalu kerana membuka laman sesawang berfahaman liberal.

Setiausaha Agung Forum Teluk Untuk Persatuan Sivil, Anwar al-Rasheed, berkata Raef Badawi perlu dibebaskan kerana semua tuduhan yang dikaitkan dengannya tidak berasas. Kata Anwar, Raef dipenjara sejak Jun lalu dibicarakan di Jeddah kelmarin.


"Satu daripada tuduhannya digugurkan dan perbicaraan disambung sebulan lagi," katanya. Raef, 35, dituduh "menderhaka kepada ibu bapa" dan membuka laman sesawang liberal di Internet.

Tuduhan derhaka itu digugurkan kelmarin. Anwar menggesa badan hak asasi manusia Arab dan antarabangsa mendesak Riyadh membebaskan Raef dan membolehkan dia kembali kepada isteri dan dua anaknya. "Kami juga mendesak supaya kerajaan membayar pampasan kepada Raef kerana menahannya secara haram selama beberapa bulan," katanya. Raef mengasaskan laman sesawang itu bersama pejuang hak asasi wanita Suad al-Shammari serta aktivis lain. Laman sesawang itu mengisytiharkan 7 Mei sebagai "Hari Liberisme" di Arab Saudi serta menggesa campur tangan pihak berkuasa terhadap agama dalam kehidupan seharian dihentikan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Tiada ulasan:

Catat Ulasan