Ahad, 14 Oktober 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


7 cedera dirempuh peragawati mabuk

Posted: 13 Oct 2012 03:33 PM PDT

JAKARTA: Seorang model majalah dewasa berusia 25 tahun berdepan pelbagai pertuduhan selepas mencederakan tujuh orang, termasuk dua anggota polis ketika memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, kata polis.

Jurucakap Polis Jakarta, Komisioner Kanan Rikwanto berkata, Novi Amalia yang hanya berseluar dalam enggan menurut arahan polis supaya berpakaian selepas insiden itu. Dia yang memandu kereta Honda Jazz secara membuta-tuli di pusat bandar melanggar seorang penunggang basikal dan penjaja jalanan pada jam 5.30 petang Khamis lalu. "Dia yang terus memandu kemudian merempuh dua anggota polis di Taman Sari Jakarta Pusat," katanya.


Laporan media menyatakan seorang daripada anggota polis itu cuba untuk menghentikan kereta Novi selepas wanita terbabit melanggar deretan penjaja jalanan. Novi kemudian memecut kenderaannya sebelum merempuh van mini awam hingga pemandunya cedera. Dia turut melanggar seorang penunggang motosikal dan sebuah lagi van mini.

Semua mangsa cedera dan dirawat di Hospital Husada di Jakarta Pusat.


Menurut Rikwanto, polis belum mendakwa Novi kerana dia masih tidak stabil secara fizikal dan mental, selain perlu menjalani ujian psikologi terlebih dulu.


"Novi mengakui mengambil ecstasy dan meminum arak di kediamannya sebelum memandu," katanya.

Menurut keterangan saksi, Novi yang dalam perjalanan ke Ancol menanggalkan pakaian dan membuangnya keluar dari kereta.


"Dia hanya memakai seluar dalam ketika ditahan. Dia juga membuang dompetnya keluar dari kereta ketika memandu," katanya.

Jika disabitkan bersalah Novi mungkin dikenakan hukuman penjara 16 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Harry bangga galas tugas berat di Afghanistan

Posted: 13 Oct 2012 03:30 PM PDT

KABUL: Putera Harry beraksi seperti "juruterbang perang dunia kedua" selepas berhempas-pulas menyelamatkan nyawa askar Britain yang cedera di Afghanistan.

Anggota diraja itu menggalas tanggungjawab berat memerangi Taliban ketika dia menerbangkan helikopter penyerang Apache dalam misi menyelamat kecemasan.


Harry, 28, yang dikenali sebagai Kapten Wales di kalangan anggota tentera berperanan melindungi helikopter dilengkapi senjata ringan Chinook ketika kedua-duanya mendarat untuk menyelamatkan askar yang tercedera. Harry adalah sebahagian empat anggota yang diletakkan di bawah kawalan berjaga-jaga selama 24 jam sehari untuk misi menyelamat dan memusnahkan sasaran musuh. Satu sumber ketenteraan berkata: "Dia mungkin duduk di dek helikopter untuk berjam-jam lamanya sebelum menyerang.

"Ketika di udara peranannya dipelbagai. Ini bukan permainan dan Harry berada di barisan depan dalam perang yang menakutkan." Harry yang berada di medan tempur sejak sebulan lalu dikatakan cukup berbangga dapat memikul tanggungjawab diberikan kepadanya itu.


Harry diletakkan di pangkalan Kem Bastion, di mana dia berkhidmat dengan skuadron 662, Regimen 3 Tentera Udara. Risiko dihadapi Harry menjadi isu utama dibincangkan bulan lalu apabila Taliban melancarkan serangan roket ke arah Kem Bastion dan membunuh dua anggota tentera laut AS. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Tiada ulasan:

Catat Ulasan