Ahad, 14 Oktober 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Pengundi awal sokong Obama

Posted: 14 Oct 2012 12:20 PM PDT

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan pencabarnya dari Parti Republikan, Mitt Romney bersaing rapat mengikut tinjauan pendapat ketika ini tetapi calon Demokrat itu dilihat mempunyai kelebihan kerana menerima sokongan besar daripada pengundi awal.

Obama mendahului Romney dengan 59 peratus berbanding 31 peratus di kalangan pengundi awal, berdasarkan data kajian pendapat yang dikumpulkan Reuters/Ipsos.

Saiz sampel pengundi awal disifatkan kecil tetapi jurang kelebihan Obama mengatasi kadar kredibiliti kajian pendapat dengan ketepatan 10 peratus.
Ketika pilihan raya kurang tiga minggu sebelum pengundian bermula pada 6 November depan, sebanyak tujuh peratus mereka yang diselidik berkata sudah pun mengundi sama ada secara persendirian atau pos.

Kajian pendapat di talian adalah satu lagi petanda mengenai ujian awal memainkan peranan besar tahun ini berbanding 2008, dengan secara purata satu daripada tiga orang mengundi sebelum pengundian bermula.

Undian sudah dibuat dalam bentuk tertentu di sekurang-kurangnya 40 negeri.

Jentera Obama dan Romney menggesa penyokong mereka mengundi secepat mungkin supaya kempen boleh bertumpu kepada operasi dari pintu ke pintu atau panggilan telefon terhadap mereka yang masih belum memutuskan untuk mengundi.
Undian awal adalah bahagian penting dalam kemenangan Obama menentang calon Republikan, John McCain pada 2008, dan kempen beliau menyasarkan untuk mengulangi kejayaan itu tahun ini.

Kajian pendapat Reuters/Ipsos menunjukkan, usaha kempen itu berbaloi walaupun kelebihannya sedikit merosot menjelang tarikh undi bermula.

Kempen Obama mengatakan, mereka mendahului di kalangan pengundi awal di Iowa dan Ohio dan ketinggalan tipis di beberapa negeri berbanding 2008.

Ia menjangka usaha awal undian itu akan membantu kempen menepis banyak iklan negatif ketika minggu akhir sebelum 6 November.

Kita membuat pelaburan awal di beberapa negeri yang persaingan agak hebat dengan mendaftar pengundi dan meneruskan perbualan terbuka dengan mereka yang belum membuat keputusan bagi mencatat sejarah organisasi akar umbi mencapai kejayaan apabila pengundian dikira, kata jurucakap kempen Obama, Adam Fetcher.

Jentera kempen Romney pula berkata, mereka mendahului atau terikat sokongan dengan Obama di Florida, Carolina Utara, Colorado, Nevada dan New Hampshire.

Kempen itu didakwa menyaksikan lebih ramai sukarelawan mengambil bahagian selain semangat yang meningkat di kalangan penyokong Republikan sejak Romney memberi persembahan baik dalam debat menentang Obama pada 3 Oktober lalu.
Reuters

Askar Syria dituduh guna bom berangkai

Posted: 14 Oct 2012 12:19 PM PDT

Beirut: Tentera Syria menggugurkan bom berangkai buatan Russia di beberapa kawasan penduduk awam sejak seminggu lalu dalam cubaan menawan semula tempat yang dikuasai pemberontak.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), melaporkan bom itu digugurkan dari pesawat dan helikopter tentera, kebanyakannya dekat lebuh raya utara-selatan melalui bandar Maarat al-Numan.

Pemberontak menawan Maarat al-Numan minggu lalu yang memutuskan laluan dari Damsyik ke Aleppo. Tentera Syria berusaha menawan semula kawasan itu.
HRW baru-baru ini melaporkan penggunaan bom berangkap oleh Syria pada Julai dan Ogos lalu meskipun ia diharamkan kebanyakan negara.

Bom berangkai akan memercikkan beratus-ratus bom mini ke kawasan luas bertujuan membunuh seramai mungkin dan ia disifatkan jenayah perang oleh kumpulan hak asasi manusia.

Lebih 100 negara mengharamkannya tetapi Syria tidak menandatangani perjanjian antarabangsa 2010 yang melarang penggunaannya, begitu juga Russia, China dan Amerika Syarikat.

Bom mini yang digugurkan pula tidak meletup dengan segera dan menjadi punca kecederaan dan kematian orang awam selepas konflik berakhir.
Bandar yang menjadi sasaran termasuk Maarat, Tamanea, Taftanaz dan al-Tah. Bom berangkai juga digunakan di kawasan lain di wilayah Hom, Aleppo dan Lattakia selain kawasan dekat Damsyik, dakwa HRW.

Pertubuhan itu, bagaimanapun, tidak dapat memberitahu berapa ramai yang menjadi korban dan ia tidak mengetahui bila serta bagaimana Syria memilikinya.

Pertumpahan darah semakin buruk sejak dua bulan lalu tetapi kedua-dua pihak dikatakan tidak memegang kelebihan besar.

Dekat sempadan Turki pula, pemberontak dilaporkan menguasai bandar Azmarin selepas empat hari bertempur.

Bandar ini kini di tangan kami. Kami sudah kibarkan dua bendera di situ dan perang sudah tamat. Azmarin sudah kami kawal sepenuhnya, kata seorang penduduk yang enggan dinamakan.
REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan