Kosmo Online - Dunia |
- William dan Catherine tiba di Singapura
- Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut
- Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom
William dan Catherine tiba di Singapura Posted: William dan Catherine tiba di Singapura
SINGAPURA - Putera William dan isterinya, Catherine tiba di negara ini semalam bagi memulakan lawatan ke Asia Tenggara dan Asia Pasifik sempena pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II. Dalam lawatan selama sembilan hari itu, Duke dan Duchess of Cambridge akan singgah ke Malaysia, Kepulauan Solomon dan Tuvalu. Catherine turut dijadual memberi ucapan pertamanya di luar negara sebagai tanggungjawab rasmi beliau dalam kerajaan monarki Britain. Acara pertama pasangan popular itu adalah melawat Taman Botanikal Singapura di mana sekuntum bunga orkid akan dinamakan sempena nama mereka. Taman orkid itu juga mempunyai bunga yang dinamakan sempena nama Ratu Elizabeth II yang kali terakhir melawat Singapura pada tahun 2006 dan nama ibu William, Puteri Diana yang maut pada tahun 1997 dalam satu kemalangan kereta di Paris. "Tujuan lawatan ialah bagi meraikan sambutan pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II," kata Setiausaha Peribadi Duke and Duchess of Cambridge, Jamie Lowther-Pinkerton. William dan Catherine yang berkahwin pada April tahun lalu akan berada di sini hingga Khamis. Mereka kemudian akan ke Malaysia dan melawat Kuala Lumpur serta Sabah bermula 13 hingga 15 September ini. Di Malaysia, Catherine dijangka menyampaikan ucapan kepada kakitangan dan pesakit dalam satu program kesihatan. - AFP | |
Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen maut Posted: Ketua nombor dua Al-Qaeda di Yemen mautSANAA - Ketua nombor dua rangkaian Al-Qaeda di Yemen, Saeed Al-Shihri dan enam orang bersamanya di dalam sebuah kereta maut dalam satu serangan udara kelmarin, kata beberapa pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Yemen. Beberapa pegawai tentera berkata, Saeed yang merupakan warga Arab Saudi dan pernah berperang di Afghanistan sebelum dipenjarakan selama enam tahun di penjara tentera AS di Teluk Guantanamo mati terkena tembakan peluru berpandu di wilayah Hadramaut, selatan Yemen. Peluru berpandu itu dipercayai ditembak oleh sebuah pesawat kawalan jauh AS atau dron. Kematian orang kanan Al-Qaeda itu disahkan oleh dua pegawai kanan AS. - AP | |
Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bom Posted: Menteri Pertahanan Yemen selamat dalam serangan bomSANAA - Menteri Pertahanan Yemen, Mohammed Nasser Ahmed terselamat dalam satu serangan bom kereta semalam yang menjadikan konvoinya sebagai sasaran. Insiden itu bagaimanapun membunuh 13 orang termasuklah tujuh pengawal keselamatan. Serangan itu berlaku selepas sehari laman web Kementerian Pertahanan mengumumkan bahawa pemimpin kedua Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP), Saeed Al-Shihri terbunuh dalam satu operasi ketenteraan di timur negara tersebut. "Menteri Pertahanan menjadi sasaran," kata seorang pegawai keselamatan, sambil memberitahu tiga lagi mangsa yang terbunuh masih belum dapat dikenal pasti. Agensi berita Saba melaporkan satu letupan kuat menggegarkan kawasan sekitar bangunan pejabat kerajaan. Pada Mei lalu, AQAP mengaku bertanggungjawab atas satu serangan berani mati di Sanaa yang mengakibatkan hampir 100 orang askar terbunuh. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan