Berita Harian: Dunia |
Posted: 11 Sep 2012 04:19 PM PDT Beijing berang Tokyo beli pulau rebutan Beijing: Perebutan wilayah antara China dan Jepun semakin memuncak semalam ketika Beijing menghantar kapal peronda berhampiran kepulauan Laut China Timur bagi menunjukkan kemarahan berhubung usaha Tokyo membeli sebahagian besar kawasan daripada pemilik persendirian. Ketibaan dua kapal peronda daripada Pengawasan Marin China ke kepulauan itu bertujuan mengukuhkan tuntutan China, kata agensi berita rasmi Xinhua. Agensi marin itu ialah pasukan separa tentera yang kapalnya dilengkapi senjata ringan dan Xinhua berkata ia termasuk rancangan mengawal kedaulatan China di kepulauan itu.Kepulauan berbatu itu, dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China, menjadi punca pertelagahan berulang kali antara kedua-dua negara dan juga dituntut oleh Taiwan. Perbalahan itu semakin memuncak beberapa bulan ini, sebahagiannya disebabkan gabenor Tokyo mencadangkan pembelian pulau itu dan membangunkan ia. Diiktiraf pemilik pulau Kerajaan Jepun mengumumkan perjanjian minggu ini dengan keluarga Jepun yang diiktiraf sebagai pemilik kepulauan itu. Ketua Setiausaha Kabinet, Osamu Fujimura, memberitahu kerajaan memperuntukkan 2.05 bilion yen (RM78 juta) bagi pembelian untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan Senkaku. Stesen penyiar tempatan, NHK, berkata kerajaan dan keluarga berkenaan menandatangani perjanjian itu semalam. Beijing, bagaimanapun berang, dengan Perdana Menteri Wen Jiabao, antara yang memberi amaran China tidak akan berundur daripada tuntutannya. Kementerian Luar China kelmarin berkata dalam satu kenyataan: "Jika Jepun bertegas mengikut cara mereka, ia akan menanggung semua akibat serius yang menyusul." Jepun kawal selama 40 tahun Jepun mengawal kepulauan itu selama 40 tahun, apabila Amerika Syarikat melepaskan kawalannya selepas Perang Dunia Kedua. Namun Beijing melihat pembelian itu sebagai penghinaan kepada tuntutannya dan cadangan diadakan rundingan pada masa lalu. Kemarahan Beijing diiringi laporan panas dalam media China. Akhbar tabloid Beijing Morning Post menyiarkan muka penuh gambar warna salah satu pulau dengan tajuk: Kepulauan Diaoyu Wilayah China. China semalam juga mula menyiarkan laporan cuaca marin bagi kepulauan itu. - AP |
Posted: 11 Sep 2012 04:16 PM PDT PBB sifatkan konflik kemanusiaan krisis terbesar Geneva: Bilangan pelarian yang meninggalkan Syria melepasi 250,000 orang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, menyifatkan masalah kemanusiaan berpunca daripada konflik itu sebagai krisis terbesar. "Perangkaan terbaru menunjukkan lebih suku juta pelarian Syria (253,106) sudah berdaftar di wilayah sekeliling negara itu, atau menantikan pendaftaran," kata jurucakap agensi Pelarian PBB (UNHCR), Adrian Edwards. Hakikat 100,000 rakyat Syria membanjiri negara jiran dalam masa sebulan menjadikan ia pertambahan luar biasa krisis ini.Di Jordan, yang menyaksikan Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Guterres, mengiringi wakil khas agensi itu, aktres Angelina Jolie, menempatkan 85,197 pelarian berdaftar, dengan 35,961 lagi menantikan pemprosesan. Jolie dikawal tentera Jolie tiba di Jordan petang kelmarin dengan dikawal tentera Jordan. Beliau melawat keluarga Syria tidak berumah yang baru-baru ini menyeberangi sempadan. Pelakon itu dijangka melawat kem pelarian Al-Zaatri lewat semalam dan mengunjungi Raja Abdullah, Perdana Menteri Fayez Tarawneh dan Menteri Luar, Nasser Judeh. Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu mengukuhkan semula aktivitinya di Homs, wilayah memiliki 2.2 juta penduduk yang menyaksikan hospital dibanjiri pesakit. "Krisis kemanusiaan menjadi bertambah buruk. Keperluan utama berkaitan dengan penjagaan kesihatan, bantuan makanan, perlindungan, air dan pendidikan. Masalah kesihatan "Usaha mempercepatkan bantuan kemanusiaan diburukkan dengan musim sejuk yang semakin dekat," kata jurucakapnya, Tarik Jasarevic, pada sidang akhbar di Geneva, sambil menambah bilangan penduduk yang memerlukan bantuan mencecah 550,000. Kekurangan penjagaan kesihatan menjadi antara masalah terbesar, dengan cuma separuh daripada 12 hospital awam di Homs masih beroperasi dengan kapasiti yang semakin berkurangan. Hospital yang boleh memuatkan 350 katil musnah. "Ada laporan hospital di Latakia kehabisan stok ubat barah, manakala hospital lain kekurangan ubat terutama antibiotik, bius, ubat trauma dan diabetes," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan