Isnin, 9 Julai 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Korban banjir kilat di Rusia cecah 150 orang

Posted:

Korban banjir kilat di Rusia cecah 150 orang

PEMANDANGAN sekitar bandar Krymsk, selatan Rusia, yang ditenggelami air banjir semalam.


KRYMSK, Rusia - Angka kematian akibat banjir kilat yang melanda rantau Krasnodar di selatan Rusia meningkat kepada 150 orang, kata seorang jurucakap polis semalam.

Jurucakap berkenaan, Ivan Sengerov berkata, kawasan paling teruk terjejas adalah di sekitar bandar ini yang dihuni oleh 57,000 orang.

Menurutnya, seramai 139 mayat telah ditemui di bandar berkenaan.

Setakat ini, katanya, hampir 29,000 orang di seluruh kawasan terjejas di selatan Rusia terputus bekalan elektrik dengan lebih 5,000 buah rumah ditenggelami air bah.

Banjir kilat itu turut mendapat perhatian Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Kelmarin selepas melawat kawasan banjir di Krasnodar, Putin, 59, mengarahkan satu siasatan segera dilakukan bagi memastikan sama ada langkah mencukupi telah diambil untuk menghalang kematian 150 orang dalam bencana itu.

Beliau berkata, dana khas akan digunakan untuk membina kediaman baharu untuk mangsa banjir tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, ramai mangsa banjir di Krymsk menyuarakan kemarahan terhadap pihak berkuasa kerana tidak menghulurkan bantuan ketika kediaman mereka digenangi air dalam tempoh beberapa jam.

Bencana tersebut yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat, berlaku pada Jumaat lalu.

"Tiada orang datang ke jalan tempat kami tinggal untuk menghulurkan bantuan. Kami sangat memerlukan bantuan," kata seorang pesara wanita di sini, Lidiya Polinina kepada agensi berita AFP menerusi telefon.

"Rumah kami tenggelam hingga ke siling," tambahnya.

Seorang lagi penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Tatyana mendakwa air bah melimpah ke kediaman mereka dengan cepat.

"Rumah kami digenangi air dalam masa lima hingga 10 minit," katanya. - Agensi

Rumah tangga Cruise sukar temui bahagia

Posted:

Rumah tangga Cruise sukar temui bahagia

TOM CRUISE mendukung anak perempuannya, Suri ketika tiba di sebuah restoran di Rom untuk makan malam bersama Katie Holmes pada 16 November 2006.- REUTERS


NEW YORK – Seorang bekas pengurus dan mentor Tom Cruise menyatakan, dia tahu dari awal lagi bahawa perkahwinan hero filem Top Gun itu dengan Katie Holmes tidak akan berkekalan, lapor akhbar dalam talian MailOline kelmarin.

Membuka mulutnya untuk kali pertama sejak dia memeterai kontrak dengan Cruise sejurus selepas hari jadi ke-18 aktor berkenaan, Eileen Berlin berkata, dia menyalahkan zaman perasaan marah yang lama dipendam, trauma zaman kanak-kanak dan tiga keruntuhan rumah Cruise pada masa lalu sebagai punca kegagalan perkahwinan mereka.

Bercakap kepada akhbar MailOnline pada minggu lalu, wanita berkenaan memberitahu, semasa kanak-kanak, Cruise atau nama penuhnya Thomas Cruise Mapother IV menghidap penyakit disleksia, dibuli rakan sebaya dan kemudian ditinggalkan oleh bapanya.

Pada usia 15 tahun, Cruise memasuki sebuah institusi gereja dengan tujuan menjadi seorang paderi.

Menurut Berlin yang kini berusia 77 tahun dan menguruskan sebuah agensi pengurusan teater di sini, dia dan mendiang suaminya berkenalan dengan Cruise tiga tahun kemudian selepas dia menggugurkan nama keluarganya dan mula berkecimpung dalam dunia lakonan.

"Ibu Cruise pernah meminta supaya dia keluar dari rumahnya, saya rasa, kerana Cruise mengalami masalah ketagihan alkohol semasa remaja," kata Berlin.

"Wanita itu berkahwin semula dengan Cruise menyimpan perasaan marah dan benci terhadap bapa kandungnya kerana meninggalkan dia dan tiga saudara perempuannya.

"Setiap kali saya melihat Cruise, dia akan ditemani wanita tetapi dia tidak kekal dengan seorang teman wanita. Cruise seperti mahu membuktikan sesuatu atau mungkin dia cuma mahu dirinya disayangi," tambah bekas pengurus tersebut.

Jelas Berlin, Cruise seperti membina tembok dalam hatinya untuk mengelakkan perasaan sebenarnya daripada diketahui orang lain.

"Apabila anda semakin rapat dengannya dia akan menutup dirinya kepada anda. Saya pasti wanita yang pernah dikahwininya terpaksa berdepan dengan tembok ini," ujar Berlin.

Menurutnya, hubungan profesional mereka berkahir pada 1983 tetapi dia dan Cruise saling menghubungi selepas itu.

Cruise, 50, berpisah dengan isterinya Holmes pada hujung bulan lalu. Mereka memiliki seorang anak perempuan berusia enam tahun, Suri Cruise. – Agensi

Pilihan raya Libya dianggap berjaya

Posted:

Pilihan raya Libya dianggap berjaya

ORANG ramai meraikan kejayaan pilihan raya kebangsaan sambil menyaksikan pertunjukan bunga api selepas pusat mengundi ditutup di Benghazi malam kelmarin.


TRIPOLI/BENGHAZI - Rakyat Libya melahirkan rasa lega setelah pilihan raya umum pertama dalam tempoh 60 tahun yang berlangsung kelmarin, berjalan lancar di sebalik beberapa insiden keganasan dan bantahan terpencil.

Pentadbiran peralihan Libya dan kuasa Barat menganggap proses demokrasi tersebut berjaya walaupun dua kematian dilaporkan semasa proses mengundi berlangsung.

Keputusan awal pilihan raya tersebut yang diadakan bagi memilih 200 anggota dewan perhimpunan Libya, dijangka diketahui hari ini.

Antara isu yang menanti anggota dewan termasuk kebangkitan kumpulan Islam dan tuntutan kuasa autonomi oleh penduduk di timur Libya termasuk di sini.

Dewan itu akan berfungsi sebagai Parlimen sementara Libya sehingga satu lagi pilihan raya diadakan tahun depan .

Di Tripoli, orang ramai bersorak gembira dengan pertunjukan bunga api diadakan di ibu kota Libya itu bagi meraikan kejayaan pilihan raya tersebut.

Penduduk bandar raya Benghazi pula itu melepaskan tembakan grenad ke arah laut bagi melahirkan kegembiraan mereka.

Malah di bandar kelahiran bekas diktator Libya, Muammar Gaddafi, penduduknya turut menarik nafas lega selepas proses pengundian berjalan lancar.

Sirte mengalami banyak kerosakan selepas menjadi lokasi pertempuran paling sengit pada tahun lalu ketika bandar berkenaan digempur oleh kumpulan-kumpulan penentang Gaddafi.

"Tuhan Maha Besar, ini zaman kebebasan, Sirte kini bebas," kata seorang wanita tempatan ketika meraikan kejayaan pilihan raya tersebut bersama keluarganya.

Mengulas berhubung pilihan raya tersebut, suruhanjaya pilihan raya Libya menyatakan, seramai 1.6 juta atau 60 peratus daripada 2.8 juta pengundi berdaftar telah membuang undi dalam pilihan raya kelmarin.

"Tidak kira siapa pun yang akan diumum sebagai pemenang nanti, pemenang pertama pilihan raya ini adalah rakyat Libya," kata pengerusi suruhanjaya pilihan raya, Nuri Al-Abbar pada satu sidang media kelmarin.

Sekitar 3,700 calon bertanding dengan Parti Keadilan dan Konstruksi yang dinaungi pegerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan parti liberal Al-Watan dilihat berpeluang memenangi pilihan raya tersebut. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan