Rabu, 18 Julai 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mayat Gaddafi dipersenda

Posted: 17 Jul 2012 10:30 AM PDT

TRIPOLI: Rakaman video menjijikkan yang kelihatan menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dijadikan tempat untuk melepaskan geram muncul di Internet, semalam.

Dalam video yang dimuatnaikkan ke YouTube menunjukkan pemberontak yang marah terhadap bekas pemimpin itu menggunakan mayat diktator berkenaan seolah-olah sebagai anak patung untuk dipersenda. Rakaman itu disedari selepas seorang aktivis antikerajaan Syria mengaitkannya dalam Twitter bagi tujuan mengancam Presiden Bashar al-Assad. Video sepanjang seminit itu, yang kesahihannya tidak dapat disahkan, dipercayai dirakam pada 20 Oktober lalu, hari Gaddafi ditangkap dan dibunuh oleh tentera pemberontak.


Ia menunjukkan suasana sambutan yang kecoh sambil beberapa pemuda menjerit dan bersorak di sebelah van mengandungi mayat yang menyerupai Gaddafi.

Mayat itu tidak berbaju dan dilitupi darah serta terkulai.


Seorang pemberontak dilihat menggerak-gerakan kepala mayat itu sambil bercakap dalam bahasa Arab, seolah-olah mengajuk bekas pemimpin Libya itu.


Beberapa lelaki lain dilihat merakamkan kejadian dengan telefon bimbit masing-masing.

Mayat Gaddafi kemudian di bawa keluar dari van itu dan ditempatkan di atas tempat kelihatan seperti pengusung.


Selepas video itu dimuatnaikkan, aktivis antikerajaan Syria, Sami Al Hamwi menulis dalam Twitter mengenainya: "Seseorang perlu menghantar ini kepada Bashar." Rakaman itu yang kemudian disiarkan oleh akhbar Huffington Post, adalah yang paling jelas setakat ini berhubung suasana yang menyelubungi kematian Gaddafi.

Ia disiarkan kurang dua minggu selepas pilihan raya demokratik pertama Libya yang nampaknya akan dimenangi oleh parti liberal sekular.


Gaddafi memerintah Republik Arab Libya selepas menggulingkan Raja Idris dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 1969.


Tunjuk perasaan menentang beliau bermula pada Februari 2011 berikutan kebangkitan rakyat di Mesir dan Tunisia. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Pemandu bas sambut kanak-kanak tujuh tahun jatuh dari tingkat tiga

Posted: 17 Jul 2012 10:11 AM PDT

BROOKLYN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terselamat hasil tindakan pantas seorang jiran.

Keyla McCree merangkak keluar dari tingkap rumahnya dan menari sambil menyanyi di atas penghawa dingin sebelum dia jatuh dari bangunan di Coney Island.


Bagaimanapun, pemandu bas, Steve St Bernard, 52, yang menanti di bawah dengan menadah tangan, berjaya menyambut dan menyelamatkan kanak-kanak itu.

"Saya tidak putus-putus berdoa supaya dapat menyambutnya. Saya berada betul-betul di bawahnya," kata lelaki itu. Saksi memberitahu polis, kanak-kanak autistik itu menolak penutup penghawa dingin apartmennya.


Dia merangkak keluar menerusi ruang kosong sekitar jam 2 petang, memeranjatkan orang ramai dengan menyanyi dan menari di luar tingkat tiga bangunan itu.


Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu berdiri sebelah kaki dan bergerak pada tepi penghawa dingin berkenaan dengan puluhan orang menanti di bawahnya.

St Bernard yang baru saja habis kerja berkata, dia mendengar jeritan orang ramai dan bergegas ke tempat kejadian.


"Saya melihat seorang kanak-kanak perempuan berdiri di atas penghawa dingin. Saya berkata dalam hati: 'Biar saya menyelamatkannya dan saya tiba tepat pada masa untuk menyambutnya apabila dia terjatuh.'" Dalam rakaman video selama seminit itu, St Bernard kelihatan berusaha mencari kedudukan yang tepat di bawah kanak-kanak itu. "Saya bukan wira. Sesiapa saja akan melakukannya," kata lelaki itu.

Bapa empat anak itu berkata, seorang anaknya berusia sama dengan kanak-kanak berkenaan. Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit, Saleema McCree berkata, anaknya selamat.


"Langsung tidak ada calar padanya. Lelaki itu berjaya menyambutnya. Ia satu keajaiban," kata wanita itu. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/18


Tiada ulasan:

Catat Ulasan