Isnin, 25 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Bas terbalik lapan maut, 44 cedera

Posted:

Bas terbalik lapan maut, 44 cedera

KEADAAN bas yang remuk setelah terbabit dalam kemalangan yang mengakibatkan lapan maut di Gospic, Croatia kelmarin.


ZAGREB, Croatia - Lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 44 orang cedera apabila sebuah bas dari Republik Czech yang membawa lebih 50 penumpang merempuh halangan berhampiran sebuah terowong di sini kelmarin.

Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di sebatang jalan raya yang menuju ke satu destinasi pelancongan terkenal di bandar Adriatic, Split.

"Sebuah bas dengan nombor pendaftaran Republik Czech merempuh halangan keselamatan dan terbalik dekat terowong di Sveti Rok, 230 kilometer dari Zagreb," kata Direktorat Penyelamat dan Perlindungan Nasional.

Media tempatan melaporkan, tujuh mayat mangsa ditemui, sementara mangsa kelapan dikeluarkan tidak lama kemudian daripada bangkai bas.

Duta Republik Czech ke Croatia, Karel Kuhnl dipetik akhbar Jutarnji List sebagai berkata, pemandu bas maut dalam kemalangan itu. Sementara pembantunya cedera dan dimasukkan ke hospital.

"Semasa kemalangan, semua penumpang sedang tidur," kata Kuhnl.

Menurut pasukan penyelamat, mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital berhampiran bandar Gospic. Tiga mangsa yang cedera parah iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak dibawa oleh helikopter tentera ke Zagreb.

Seorang jurucakap agensi pelancongan, Martin Vasulin berkata, semua penumpang bas merupakan warga Republik Czech. - AFP

Morsi Presiden baharu Mesir

Posted:

Morsi Presiden baharu Mesir

MOHAMED MORSI melambai kepada penyokongnya pada satu perhimpunan di Kaherah pada 20 Mei lalu.


KAHERAH - Calon pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden negara demokratik Mesir yang pertama oleh jawatankuasa pilihan raya semalam selepas beliau menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi pada pusingan kedua pilihan raya Presiden yang berlangsung minggu lalu.

"Pemenang pilihan raya Presiden Mesir pada 16 dan 17 Jun ialah Mohamed Morsi Eissa Al-Ayat," kata ketua suruhan jaya pilihan raya, Faruq Sultan.

Menurutnya, Morsi memperoleh 13,230,131 undi berbanding 12,347,380 undi yang diperoleh Shafiq.

Sekitar 51.8 peratus daripada lebih 50 juta pengundi berdaftar keluar membuang undi pada pilihan raya tersebut.

Morsi, 60, bakal menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir 16 bulan lalu.

Namun, majlis tentera yang memerintah sejak kejatuhan Mubarak telah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir.

Langkah tersebut dilihat akan memaksa Morsi bekerjasama dengan tentera sebelum boleh merombak perlembagaan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini bagi meraikan kemenangan Morsi.

Mereka bersorak "Tuhan Maha Besar!" sambil mengibarkan bendera Mesir.

"Kemenangan ini merupakan hasil keazaman rakyat Mesir yang mahu suara mereka didengari," kata seorang jurucakap Morsi.

Sementara itu, Shafiq belum mempamerkan sebarang reaksi berhubung kemenangan Morsi.

Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya memberitahu, beliau akan menawarkan diri untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Morsi.

Morsi sebelum ini memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir.

Beliau turut berjanji akan membentuk pentadbiran inklusif yang dapat memuaskan hati pelbagai lapisan masyarakat Mesir termasuk golongan minoriti Kristian di negara berkenaan. - Agensi

Bintang K-pop adakan konsert terbesar di Hong Kong

Posted:

Bintang K-pop adakan konsert terbesar di Hong Kong



HONG KONG - Beribu-ribu peminat tidak melepaskan peluang menonton konsert besar-besaran K-pop yang diadakan di sini kelmarin.

Konsert tersebut merupakan bukti terbaharu lonjakan populariti muzik pop dari Korea Selatan itu.

Dikenali sebagai Bank Muzik, acara tersebut membariskan empat penyanyi popular Korea Selatan dan merupakan konsert K-pop terbesar pernah berlangsung di pulau berkenaan.

Kumpulan pop lelaki, TVXQ dan penyanyi comel, IU merupakan antara artis yang menyanyi dan menari di hadapan lautan peminat pada konsert itu.

"Saya berasa amat gembira kerana Hong Kong mampu menganjurkan konsert K-pop secara besar-besaran seperti ini.

"Saya juga sangat gembira kerana budaya Korea memiliki pengaruh di seluruh dunia," kata penyanyi kumpulan wanita popular, Wonder Girls yang turut beraksi pada konsert berkenaan.

Konsert gemilang kelmarin menyusul selepas beberapa kumpulan pop Korea Selatan seperti Girls' Generation dan 2PM mengadakan persembahan di sini pada tahun ini.

Tiket untuk siri konsert Bank Muzik habis dijual di Tokyo, tahun lalu dan amat popular di Paris pada awal tahun ini.

Selepas Hong Kong, konsert berkenaan akan diadakan di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) lewat tahun ini.

Drama televisyen filem Korea Selatan bersama muzik K-pop semakin popular di seluruh Asia menerusi fenomena yang disebut Hallyu atau gelombang budaya Korea. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan