Selasa, 19 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Kapal angkasa China berlabuh di Tiangong-1

Posted:

Kapal angkasa China berlabuh di Tiangong-1

KAPAL angkasa Shenzhou-9 (kanan) mendekati Tiangong-1 di angkasa lepas semalam.


BEIJING - China menamatkan misi berlabuh automatik di angkasa lepas semalam sebelum tiga angkasawan di dalam sebuah kapal angkasa memasuki sebuah modul yang mengorbit Bumi.

Kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas pada Sabtu lepas dan membawa angkasawan wanita pertama China bercantum dengan modul angkasa lepas Tiangong-1.

Misi berkenaan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen China.

Ini kali ketiga China melakukan misi berlabuh secara automatik selepas dua misi serupa dilaksanakan pada November tahun lalu.

Namun, misi kali ini berbeza kerana membawa bersama tiga angkasawan ke Tiangong-1.

Mereka terdiri daripada Komander Jing Haipeng, Liu Wang dan angkasawan wanita pertama China, Liu Yang.

Matlamat utama misi selama 13 hari itu adalah untuk melakukan prosedur berlabuh secara manual.

China turut merancang menyiapkan pembinaan sebuah stesen angkasa lepas di orbit Bumi menjelang 2020.

Matlamat tersebut memerlukan tekonologi berlabuh yang sempurna seperti yang pernah dilakukan kapal angkasa lepas Amerika Syarikat dan Rusia dalam tahun 1960-an.

Teknik berkenaan sukar dikuasai kerana melibatkan dua kapal angkasa yang berada di orbit sama dan berputar mengelilingi Bumi pada kelajuan beberapa ribu kilometer sejam.

Kapal angkasa dan stesen berkenaan perlu bercantum perlahan-lahan bagi mengelakkan kedua-duanya berlanggar dan berkecai. - Agensi

Anggota polis Pakistan diarah atasi perut buncit

Posted:

Anggota polis Pakistan diarah atasi perut buncit

DUA anggota polis yang berperut buncit mengawal sebatang jalan raya di Karachi semalam.


ISLAMABAD - Seorang ketua polis Pakistan telah mengarahkan 175,000 anggotanya mengamalkan diet, kata beberapa pegawai semalam.

Akhbar-akhbar tempatan menganggap arahan itu adalah sebagai 'pertempuran memerangi perut buncit'.

Seorang jurucakap polis, Nabila Ghazanfar berkata, Ketua Polis Punjab, Habibur Rahman telah mengarahkan supaya anggota-anggotanya memakai seluar yang mempunyai ukuran pinggang tidak lebih 96 sentimeter.

"Saya sedang berdiet dan jika saya boleh melakukannya mengapa tidak anda?" kata jurucakap tersebut yang memetik kenyataan Habibur kepada para pegawainya pada bulan lepas.

Menurutnya, kira-kira 50 peratus anggota polis di Punjab mempunyai berat badan berlebihan.

Akhbar The News melaporkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di bandar Rawalpindi berjumlah lebih 77 peratus.

Polis menyatakan, anggota-anggota tersebut diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan berat badan.

Ia menjelaskan anggota-anggota yang dilihat terlalu gemuk tidak akan diberikan tugas di barisan depan bermula pada 1 Julai depan.

"Sejumlah pegawai polis mengunjungi gimnasium, berjoging dan melakukan pelbagai senaman termasuk banyak berlari untuk menjadi kurus," kata jurucakap tersebut. - AFP

Pakaian Katy Perry cetus kontroversi

Posted:

Pakaian Katy Perry cetus kontroversi

PAKAIAN yang dipakai Perry semasa membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di Toronto kelmarin.


TORONTO, Kanada - Bintang pop Katy Perry mencetuskan kontroversi semasa dia membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di sini, lapor akhbar The Sun kelmarin.

Penyanyi itu muncul dengan memakai pakaian ketat dan jarang.

Perry, 27, memakai pakaian seksi tersebut ketika dia menyanyikan single terbarunya, Wide Awake.

Dia memenangi dua anugerah termasuk Artis dan Kumpulan Antarabangsa Pilihan pada majlis berkenaan yang berlangsung kelmarin.

Selain Perry, anugerah berkenaan turut membariskan beberapa artis popular seperti Carly Rae Jepsen, Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus dan kumpulan LMFAO.

Jepsen merangkul tiga anugerah iaitu Video Terbaik, Video Paling Kerap Ditonton dan Video Pilihan untuk lagu popularnya, Call Me Maybe.

Bieber yang banyak memberi sokongan kepada penyanyi senegara dengannya itu turut memuji kejayaan Jepsen.

Jepsen juga menyanyi bersama Flo Rida dalam majlis tersebut.

Bieber turut menyanyikan lagu All Around the World dalam anugerah itu.

Dia turut memenangi anugerah muzik video terbaik menerusi lagu Boyfriend.

LMFAO merancakkan lagi acara berkenaan apabila beraksi lincah di pentas selepas mereka menerima Video Antarabangsa Terbaik untuk Artis Berkumpulan bagi lagu popular mereka, Sexy And I Know It. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan