Selasa, 19 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ramai warga Asia hijrah ke AS

Posted: 19 Jun 2012 01:23 PM PDT

Dunia

Asia

Asia

Atasi Hispanik sebagai golongan pendatang baru terbesar di Amerika

WASHINGTON: Penduduk keturunan Asia mengatasi warga Hispanik sebagai kumpulan terbesar pendatang baru di Amerika Syarikat.

Sebahagian pakar menganggap puncanya disebabkan penurunan permintaan buruh pendatang selain tindakan pihak berkuasa negeri membanteras pendatang tanpa izin.

Pendatang tanpa izin memberi tindak balas pantas kepada keadaan ekonomi dan kemelesetan di Amerika berkemungkinan menjadi faktornya. - Jeanne Batalova, pakar demografi di Institut Dasar Pendatang, kumpulan yang menganalisis pergerakan penduduk seluruh dunia.

Pusat Penyelidikan Pew mendapati bilangan pendatang Asia bertambah 19 peratus daripada semua pendatang baru pada 2000 kepada 36 peratus pada 2010.

Kadar pendatang Hispanik pula menurun daripada 59 peratus pada 2000 kepada 31 peratus.

Sebanyak 11 peratus pendatang tanpa izin di Amerika adalah dari Asia manakala 75 peratus adalah Hispanik, menurut analisis, yang menggabungkan data kerajaan dengan tinjauan sendiri.

Hasil kajian dikeluarkan ketika perbahasan panas berhubung dasar imigresen Amerika berlangsung.
Jumaat lalu, Presiden Barack Obama, mengumumkan beliau menolak langkah mengusir pendatang tanpa izin yang masih muda. Mahkamah Agung Amerika juga dijangka mengeluarkan keputusan bulan ini mengenai undang-undang kontroversi Arizona yang memerlukan polis memeriksa status imigresen tahanan.

Ketika aspek ekonomi menjadi isu penting kepada pengundi, pendatang tanpa izin menjadi isu panas menjelang pilihan raya November ini.

Sebahagiannya mempersoalkan waktu pengumuman Obama itu. Perubahan dasar juga menyukarkan usaha pencabarnya dari Parti Republikan, Mitt Romney, untuk mengemukakan landasan imigresennya sendiri.

Kebanyakan perbahasan bertumpu kepada Hispanik, kumpulan paling mudah ditemui dan penduduk etnik minoriti terbesar negara itu.

Pakar berkata, tiada jawapan kepada pertanyaan mengapa pendatang Asia kini mengatasi Hispanik, tetapi kelembapan ekonomi Amerika mungkin memainkan menjadi faktor penting.

"Pendatang tanpa izin memberi tindak balas pantas kepada keadaan ekonomi dan kemelesetan di Amerika berkemungkinan menjadi faktornya," kata pakar demografi, Jeanne Batalova, di Institut Dasar Pendatang, kumpulan yang menganalisis pergerakan penduduk seluruh dunia.

Dasar imigresen Amerika cenderung memihak kepada buruh mahir dan penuntut, sesuatu yang dimiliki pendatang dari negara Asia yang memberi tumpuan mendalam kepada pendidikan, katanya dan pakar imigresen lain.

Pakar imigresen dan profesor undang-undang di Universiti California, Gabriel Jack Chin, berkata atmosfera yang dicetuskan dengan perubahan dalam undang-undang imigresen di beberapa negeri juga mungkin menjadi faktor.

"Saya tidak fikir ada persoalan diskriminasi memberi beberapa kesan ke atas pendatang Hispanik," kata Chin, yang meninggalkan Arizona tahun lalu kerana menentang undang-undang penahanan negeri itu.

Laporan Pew berharga kerana ia menunjukkan semua pendatang yang tiada dokumen sah tidak dibenarkan masuk bukan hanya Mexico atau Hispanik.

"Ada ramai daripadanya dari Asia dan negara lain," katanya.
– Reuters


Padah tiru berita lawan

Posted: 19 Jun 2012 01:21 PM PDT

Dunia

TOKYO: Ketua agensi berita Jepun, Jiji Press, akan meletak jawatan berpunca daripada kesilapan menghantar berita media lawan kepada pelanggannya.

Masahiro Nakata berkata, beliau akan melepaskan jawatan presiden syarikat hujung bulan ini bagi memikul tanggungjawab sebagai penyelia'.

Pengumuman dibuat selepas seorang wakilnya di biro Washington menyalin dan menghantar berita dalam bahasa Jepun kepada agensi berita Kyodo News untuk tujuan rujukan ketika menulis untuk Jiji. "Wartawan itu gagal mengubah tarikh dan berita tidak lengkap itu diberi kepada pegawai penyunting." Satu kejadian yang sama berlaku Januari lalu.

"Tindakan menyalin berita dari syarikat media lain tidak dapat dimaafkan. Saya minta maaf kepada Kyodo News dan syarikat media lain atas masalah yang menjejaskan kepercayaan kepada kami dan memberi masalah kepada orang lain," katanya lagi.

Nakata, 64, akan digantikan oleh Yutaka Nishizawa tetapi butir-butir lanjut penggantinya tidak diberi. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan