Khamis, 7 Jun 2012

Kosmo Online - Dunia

Kosmo Online - Dunia


Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117

Posted:

Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117

Fenomena transit Zuhrah muncul semula 2117

IMEJ oleh NASA menunjukkan Planet Zuhrah (bintik hitam, atas kiri) melintasi matahari kelmarin.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk di seluruh dunia memandang ke langit pada waktu siang kelmarin dan awal petang semalam di Asia untuk melihat transit Zuhrah.

Keajaiban alam tersebut berikutnya hanya akan berlaku dalam tempoh 105 tahun akan datang.

Transit Zuhrah terjadi apabila planet berkenaan melintasi di antara Bumi dan Matahari.

Penduduk Bumi dapat melihat planet berkenaan sebagai satu bintik hitam kecil pada permukaan matahari.

"Jika anda dapat melihat tahi lalat pada wajah model antarabangsa Cindy Crawford, anda pasti akan dapat melihat transit Zuhrah," kata seorang ahli Persatuan Astronomi Los Angeles, Van Webster.

Transit berkenaan berlaku selama 6 jam 40 minit bermula selepas pukul 6 petang di AS.

Mereka yang berada di Amerika Utara dan Tengah akan dapat melihat keseluruhan fenomena itu manakala penduduk di barat Asia, timur Afrika dan sebahagian besar Eropah pula akan dapat menyaksikan penghujung transit Zuhrah apabila matahari terbit.

Di Hawaii, Alaska, timur Australia dan Asia termasuk Jepun, Semenanjung Korea dan timur China, orang ramai dapat memerhatikan keseluruhan transit Zuhrah kerana fenomena itu berlaku pada siang hari.

Mereka yang tidak memiliki teleskop bersama penapis khas memilih untuk menyaksikan fenomena itu di laman web Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Laman web tersebut mencatat hampir 2 juta penonton kelmarin dengan sekitar 90,000 orang melayarinya pada sesuatu masa.

Di bandar raya ini, kali terakhir transit Zuhrah berlaku adalah 130 tahun lalu pada 1882.

"Saya berasa sangat seronok. Ini satu pengalaman yang kami tidak akan lupakan seumur hidup kami," kata seorang jurutera perisian berusia 32 tahun, Bo Tan.

Dia dan beberapa rakan sekerjanya mengambil cuti separuh hari untuk memerhatikan keganjilan alam tersebut.

Namun, orang awam yang mahu melihat transit Zuhrah dinasihatkan supaya memakai kaca mata khas atau teleskop dilengkapi penapis cahaya.

Ini kerana perbuatan memandang pada tempoh yang lama ke arah matahari akan merosakkan retina mata.

Ketika gerhana matahari berlaku pada 1970, sebanyak 145 kes retina rosak dilaporkan di AS akibat perbuatan memandang ke arah bintang tersebut tanpa sebarang peralatan keselamatan.

Transit Zuhrah berikutnya hanya akan berlaku pada tahun 2117. - Agensi

Assad lantik PM baharu

Posted:

Assad lantik PM baharu

Assad lantik PM baharu


BEBERAPA anggota pemberontak dilihat di bandar Kafranbel, Syria pada Isnin lalu.


DAMSYIK - Presiden Bashar Al-Assad semalam melantik Menteri Pertanian, Riad Hijab sebagai Perdana Menteri Syria yang baharu, lapor stesen televisyen rasmi negara berkenaan.

Beliau diberi tugas untuk membentuk pentadbiran baharu Syria.

"Presiden Assad mengeluarkan dekri meminta Riad Hijab membentuk sebuah pentadbiran baharu," kata stesen televisyen Syria.

Pelantikan tersebut dibuat setelah sebuah Parlimen baharu dibentuk selepas pilihan raya pada 7 Mei lalu yang dipulaukan oleh pihak pembangkang.

Jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdissi mengesahkan pelantikan tersebut di laman web Twitter dengan menyatakan: "Riad Hijab kini Perdana Menteri Baharu Syria dan beliau akan membentuk pentadbiran baharu."

Perkembangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat memberi amaran kepada Syria bahawa lebih 55 negara akan menguatkuasakan sekatan kewangan maksimum ke atas Damsyik.

Amaran tersebut disuarakan oleh Setiausaha Perbendaharaan Timothy Geithner.

Sekatan tersebut yang termaktub dalam Bab 7 Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membenarkan penggunaan kuasa tentera.

Washington mahu Damsyik bekerjasama dengan usaha PBB bagi menamatkan keganasan yang tercetus sejak 15 bulan lalu di negara berkenaan.

Beberapa aktivis menyatakan, sekitar 13,000 orang terbunuh selepas Assad melancarkan operasi mematahkan pemberontakan yang bermula tahun lalu.

Sementara itu di Mesir, bekas Presiden Hosni Mubarak dilaporkan berada dalam keadaan 'merbahaya' semalam.

Menurut beberapa pegawai keselamatan di penjara tempat dia ditahan di Kaherah, doktor-doktor terpaksa memberikan oksigen sebanyak lima kali untuk membantu Mubarak bernafas.

Menurut mereka Mubarak, 84, mengalami kejutan dan tekanan darah tinggi di samping kesukaran untuk bernafas.

Bekas diktator itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Sabtu lepas kerana peranannya dalam pembunuhan sejumlah penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir awal tahun lalu. - Agensi

Rantai leher penyanyi Guns N' Roses dicuri

Posted:

Rantai leher penyanyi Guns N' Roses dicuri

Rantai leher penyanyi Guns N' Roses dicuri


PENYANYI kumpulan rock Guns N' Roses, Axl Rose (kanan) beraksi pada konsert di Rotterdam pada Isnin lalu.


PARIS - Sekumpulan pencuri melarikan seutas rantai emas dan berlian milik penyanyi kumpulan rock legenda Guns N' Roses, Axl Rose yang bernilai AS$200,000 (RM639,700).

Seorang jurucakap polis memberitahu semalam bahawa kejadian tersebut berlaku ketika Rose mengadakan konsert peribadi di sini.

Kecurian pada malam kelmarin mencetuskan kemarahan penyanyi berusia 50 tahun dengan polis terpaksa dipanggil untuk menenangkan keadaan.

Rose mengadakan persembahan peribadi yang dihadiri kira-kira 100 penonton selepas beraksi di sebuah konsert di Stadium Bercy.

Dia merupakan satu-satunya anggota asal kumpulan rock tersebut yang diasaskan di Los Angeles pada 1985.

Guns N' Roses terkenal dengan beberapa lagu seperti November Rain, Patience dan Sweet Child o' Mine. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan