Berita Harian: Dunia |
Politik Mesir semakin tidak menentu Posted: 08 Jun 2012 04:43 PM PDT Dunia PENUNJUK perasaan bertengkar sesama sendiri mengenai calon presiden Mohammed Morsi dan Ahmad Shafiq di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. KAHERAH: Enam belas bulan selepas bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat, masa depan politik Mesir masih bergelut dengan kes mahkamah dan perbalahan terbuka antara calon. Keadaan itu mungkin menyebabkan Parlimen Mesir yang baru dilantik dibubarkan, pilihan raya presiden tidak akan diteruskan manakala Perlembagaan baru negara itu tidak dapat dirangka. Cara masalah ini diatasi akan menentukan sama ada pemerintahan tentera akan berakhir 1 Julai depan atau Mesir kembali kepada keadaan asal dengan ketegangan dan pertumpahan darah baru."Keputusan mahkamah akan meningkatkan sejuta persoalan. Apa yang kita lihat sekarang ialah kekalutan politik," kata Ahli Perundangan Ikhwanul Muslimin, Sobhi Saleh, pergerakan yang berdepan kehilangan besar jika Parlimen dibubarkan. Gabungan antara masalah politik dan undang-undang berlaku tidak sampai dua minggu menjelang pilihan raya pusingan kedua antara Ahmad Shafiq dan calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi, pada 16 dan 17 Jun ini. Pemenang akan diisytiharkan pada 21 Jun. Morsi dan Shafiq adalah dua calon yang menduduki dua tempat teratas daripada 13 calon dalam pilihan raya pusingan pertama bulan lalu. Rakyat Mesir yang tinggal di luar negara sudah mula mengundi dalam pusingan kedua ini.
"Rakyat Mesir tidak bersedia untuk pilihan raya dan mereka akan berpecah-belah. Pilihan raya perlu menjadi pentas akhir demokrasi, yang belum kita miliki," katanya kepada wartawan Selasa lalu. Dua hari sebelum pilihan raya, Mahkamah Agung Perlembagaan, akan mempertimbangkan dua kes yang berpotensi menjadikan semuanya kucar-kacir sekali lagi. Dalam satu kes, ia menilai semula keputusan mahkamah rendah mengenai undang-undang menganjurkan pilihan raya Parlimen lewat tahun lalu tidak mematuhi Perlembagaan. Jika mahkamah bersetuju, perundangan sedia ada yang menyaksikan Ikhwanul Muslimin menguasai hampir separuh kerusi akan dibubarkan dan rakyat Mesir perlu kembali mengundi untuk memilih Parlimen baru. Kes lain ialah sama ada Shafiq boleh terus bertanding atau tidak. Mahkamah akan mengeluarkan keputusan mengenai kesahihan undang-undang pengecualian politik yang diluluskan Parlimen melarang ramai tokoh rejim lama daripada bertanding dalam pilihan raya. Jika ia menyokong undang-undang itu, Shafiq terpaksa menarik diri dan pilihan raya presiden terpaksa dimulakan sekali lagi. Beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir minggu ini menuntut undang-undang itu digubal untuk menyingkirkan Shafiq. Peralihan untuk pemerintahan demokratik di Mesir memang bergelora sejak jeneral tentera, diketuai Menteri Pertahanan Mesir zaman Mubarak selama 20 tahun, mengambil alih tampuk pemerintahan daripada presiden yang disingkirkan itu Februari tahun lalu. – AP |
Tingkat tekanan ke atas Bashar Posted: 08 Jun 2012 04:41 PM PDT Dunia PENUNJUK perasaan membawa gambar Presiden Bashar al-Assad ketika mengadakan bantahan di luar kedutaan Syria di Kuala Lumpur, semalam. DAMSYIK: Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa krisis Syria akan menjadi semakin tidak terkawal jika tekanan ke atas rejim Presiden Bashar al- Assad tidak dipertingkatkan. Amaran utusan Liga Arab-PBB itu dibuat sebelum rundingan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan ketika wakil Syrianya bertemu diplomat Russia dalam cubaan memujuk Moscow menyokong penyingkiran Bashar. Annan memperbaharui gesaan kepada kuasa besar supaya memberi amaran kepada Assad 'akibat yang jelas' jika beliau tidak mematuhi enam perkara rancangan damai antarabangsa, kata seorang diplomat dalam taklimat tertutup majlis di PBB kepada AFP."Lebih lama kami tunggu, lebih gelap masa depan untuk Syria," kata seorang lagi diplomat memetik kenyataan Annan. Annan menggesa secara menyeluruh ke atas Assad. Katanya, perlu ada "keputusan sebenar dengan segera atau krisis itu akan berpusar di luar kawalan." Beliau bercakap selepas tembakan dilepaskan ke arah konvoi pemantau PBB yang cuba memasuki perkampungan Al-Kubeir untuk menyiasat penyembelihan orang awam di sana semalam.
Bukti awal menunjukkan, tentera Syria mengepung perkampungan dan militia memasuki Al-Kubeir serta membunuh orang awam secara 'kejam', Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon dipetik sebagai memberitahu Majlis Keselamatan. Damsyik menafikan bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai itu seperti mana ia berulang-kali lakukan pada masa lalu, menuding jari ke arah 'pengganas' disokong tentera asing. "Sebuah kumpulan pengganas melakukan jenayah terkutuk di rantau Hama yang meragut sembilan nyawa. Laporan media menyumbang menumpahkan darah rakyat Syria," kata media tempatan. – AFP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan