Rabu, 6 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Sidang Rio diramal gagal

Posted: 06 Jun 2012 03:23 PM PDT

Dunia

PRESIDEN Brazil, Dilma Rousseff (tengah) menghadiri persidangan Bumi di Istana Planalto untuk mengumumkan lokasi sidang Rio, semalam.

PRESIDEN Brazil, Dilma Rousseff (tengah) menghadiri persidangan Bumi di Istana Planalto untuk mengumumkan lokasi sidang Rio, semalam.

Pemimpin utama dunia tidak hadir undang masalah kepada Ki-moon

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berusaha untuk menyelamatkan persidangan yang dihadiri lebih 100 pemimpin dunia di Rio de Janeiro dalam masa dua minggu lagi bertujuan mengelak dunia dilanda tragedi.

Persidangan mengenai Pembangunan Mapan mengambil cabaran besar mengubah alam sekitar, dasar sosial dan ekonomi untuk berdepan dengan penduduk dunia yang sudah melebihi tujuh bilion, sumber yang semakin berkurangan dan menekan bandar raya hingga ke penghujung. Ban dan sekumpulan pakar, bagaimanapun menuduh kerajaan meletakkan kepentingan negara melebihi kebaikan sejak beberapa bulan rundingan sebelum sidang di bandar raya berkenaan bagi memperingati ulang tahun ke-20 persidangan Bumi di tempat sama.

Negara kaya dilanda krisis ekonomi dan mahu berjimat. Negara miskin merungut janji yang dibuat untuk menghulurkan lebih banyak bantuan wang tunai dan teknologi baru bagi menangani perubahan suhu, kemiskinan dan wabak penyakit, belum tertunai.

Tanpa kehadiran Presiden Barack Obama, Perdana Menteri Britain; David Cameron dan Canselor Jerman, Angela Merkel, pada majlis yang dinamakan persidangan Rio+20 itu, Ban kini berusaha melobi pemimpin supaya bersetuju dengan pelan tindakan itu.

"Kita perlu betulkan visi sama ada kita menuju ke arah kemakmuran bersama atau sama ada kita menuju ke arah tragedi kemanusiaan.
"Rundingan amat lembap. Planet ini ada hadnya dan kita perlu lakukan sesuatu untuk generasi akan datang," katanya Isnin lalu di Arab Saudi ketika menekankan isu kemarau, banjir, kekurangan makanan dan eksploitasi mineral keterlaluan memberi kesan kepada dunia.

Ban berkata, kerajaan perlu lebih fleksibel.

"Mereka perlu bersuara melebihi kepentingan negara atau kumpulan," katanya.
Persidangan itu akan menyentuh masalah sosial dan alam sekitar yang dihadapi dunia, keselamatan makanan, kesihatan
global, bandar raya yang boleh diduduki, keadaan lautan dan perubahan suhu.
Beribu-ribu muka surat cadangan bagi agenda akhir Rio+20, dikurangkan kepada 20 muka surat dalam rundingan pertama tahun lalu tetapi bertambah kepada 275 halaman dalam perkembangan terbaru.

Negara kaya dan miskin tidak bersetuju bagaimana untuk mendefinisikan ekonomi hijau dan menetapkan pelan untuk pembangunannya. – AFP


Mubarak trauma, sukar bernafas

Posted: 06 Jun 2012 03:23 PM PDT

Dunia

KAHERAH: Kesihatan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak berada dalam keadaan kritikal semalam sehingga terpaksa menerima bantuan oksigen sebanyak lima kali, berikutan masalah sukar bernafas kata pegawai keselamatan di penjara beliau ditempatkan.

Pegawai Penjara Torah di selatan Kaherah berkata, Mubarak, 84, mengalami trauma akibat terkejut, tekanan darah tinggi dan masalah pernafasan.

Masalah itu berlaku beberapa hari selepas beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup berikutan kegagalannya menghentikan pembunuhan ke atas penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat untuk menggulingkan diktator itu tahun lalu. "Pakar perubatan sudah dibawa untuk memeriksa beliau dan kami sedang menimbang untuk memindahkan Mubarak ke sebuah hospital tentera," kata beliau yang enggan mendedahkan namanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa membenarkan anak Mubarak, Gamal, berada di sisi bapanya. Seorang lagi anak Mubarak, Alaa sudah mengemukakan permohonan untuk bersama Mubarak, tetapi tidak mendapat kebenaran.

Sabtu lalu, Mubarak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tetapi Gamal dan Alaa, dibebaskan daripada tuduhan rasuah. Kedua-dua mereka bagaimanapun masih berdepan satu lagi dakwaan berasingan membabitkan salah laku perniagaan.

Walaupun rejim Mubarak tidak disenangi kebanyakan rakyat Mesir, keadaan tidak banyak berubah selepas beliau digulingkan tahun lalu dengan masalah ekonomi kucar-kacir dan tunjuk perasaan yang tidak berkesudahan. – AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan