Jumaat, 1 Jun 2012

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Media kena bayar RM30,000

Posted: 01 Jun 2012 01:20 PM PDT

Dunia

SEORANG lelaki melukis gambar bendera Mesir pada lengan rakannya ketika berdiri di hadapan grafiti menggambarkan bekas Presiden Mesir yang digulingkan Hosni Mubarak di Kaherah, semalam. - Foto AFP

SEORANG lelaki melukis gambar bendera Mesir pada lengan rakannya ketika berdiri di hadapan grafiti menggambarkan bekas Presiden Mesir yang digulingkan Hosni Mubarak di Kaherah, semalam. - Foto AFP

5,000 polis, 2,000 askar kawal sesi perbicaraan Hosni Mubarak

KAHERAH: Stesen televisyen Mesir akan menyiarkan secara langsung keputusan dan hukuman ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, anak lelaki dan ketua keselamatannya dalam perbicaraan bunuh dan rasuah, lapor media rasmi.

"Media asing akan dikenakan bayaran antara AS$7,000 (RM21,000) dan AS$10,000 (RM30,000) untuk membeli siaran liputan," lapor agensi berita rasmi MENA yang memetik kenyataan ketua Kesatuan Radio dan Televisyen Mesir, Tharwat al-Mekki, sebagai berkata.

Media asing akan dikenakan bayaran antara AS$7,000 (RM21,000) dan AS$10,00 (RM30,000) untuk membeli siaran liputan. - Agensi berita rasmi MENA

Beberapa sesi keterangan pertama perbicaraan yang bermula Ogos lalu disiarkan secara langsung tetapi Ketua Hakim, Ahmed Rifaat, mengarahkan kamera dikeluarkan sebelum saksi mula memberi keterangan.

Mubarak dan ketua keselamatannya didakwa dengan tuduhan membunuh berhubung pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat selama 18 hari yang menumbangkan pemerintahannya pada 11 Februari 2011.

Beliau juga berkongsi tuduhan rasuah dengan dua anaknya, Alaa dan Gamal.
Perbicaraan diadakan dalam akademi polis yang pernah dinamakan sempena nama Mubarak di pinggir bandar raya Kaherah.
Pada pembukaan keterangan, yang disiarkan secara langsung di Mesir dan luar negara, Mubarak membuat penampilan pertama sejak penyingkirannya dengan tiba di atas pengusung.

Kamera memfokus beliau secara dekat ketika Mubarak terbaring manakala Alaa dan Gamal cuba menghalang bapa mereka daripada pandangan orang ramai.

Pengawal keselamatan berkata, 5,000 anggota polis dan 2,000 anggota tentera ditugaskan menjaga sesi esok dan mengangkut Mubarak dari hospital tentera, lokasi beliau ditahan. Mubarak akan tiba di akademi dengan helikopter perubatan.

Bekas presiden berusia 84 tahun itu, yang menerima rawatan kerana masalah jantung, disorong memasuki kandang defendan di atas pengusung dalam sesi keterangan sebelum ini, dan selalunya dilindungi selimut.

Alaa dan Gamal, kedua-duanya memakai seragam penjara, berdiri di sebelah bapa mereka, kadang-kadang dilihat berbisik kepadanya apabila Mubarak kelihatan tidak mendengar apa yang dikatakan hakim atau saksi.

Mubarak, Menteri Luarnya, Habib al-Adly, dan enam komander polis berdepan hukuman mati jika disabitkan bersalah. Kira-kira 850 penduduk maut dalam kejadian itu.

Pemerhati berkata, keputusan mungkin memberi impak kepada pusingan kedua pilihan raya pada 16 dan 17 Jun ini antara calon Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri, Ahmad Shafiq, yang berikrar tidak akan meneruskan pemerintahan kuku besi Mubarak. – AFP


Suu Kyi gesa dunia bantu Myanmar

Posted: 01 Jun 2012 01:13 PM PDT

Dunia

BANGKOK: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, menerima tepukan gemuruh pada ucapan pertamanya di depan penonton antarabangsa semalam, tetapi segera menukar tumpuan daripada dirinya kepada keperluan rakyat Myanmar dan bagaimana dunia boleh membantu.

Di sebalik baru membuat kemunculan selepas 24 tahun terpinggir, bekas tahanan politik itu tampil selesa bercakap di Forum Ekonomi Dunia di Bangkok yang menyaksikan beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengamalkan skeptikal sihat terhadap proses pembaharuan Myanmar.

Ini bukan kali pertama Suu Kyi mendesak kewaspadaan dunia dalam mendekati Myanmar tetapi ini kali pertama beliau mengutarakan sentimen di luar negara sejak menjadi pemimpin demokrasi negaranya pada tahun 1988. Ucapan itu disiarkan secara langsung ke beberapa negara.

Pendidikan asas dan latihan vokasional langkah penting memupuk pembaharuan politik dan kerja bagi menamatkan kadar pengangguran tinggi belia Myanmar. - Aung San Suu Kyi, Pemenang Hadiah Nobel Keamanan

Graduan Oxford dan tahanan politik sejak sekian lama itu juga menggembirakan penonton dengan bercerita mengenai ketibaannya di Bangkok, penerbangan antarabangsa pertama pemimpin pembangkang Myanmar itu dalam masa lebih dua dekad.

Bulan depan, Suu Kyi, 66, akan melihat perubahan Eropah, dengan lawatan ke lima negara termasuk England dan Norway, yang menyaksikan beliau akan menerima secara rasmi Hadiah Nobel Keamanan, 21 tahun selepas memenanginya.

Pengasas forum, Klaun Schwab, memperkenalkan Suu Kyi sebagai antara personaliti paling luar biasa abad ini.

Suu Kyi menghabiskan 15 daripada 22 tahun dikenakan tahanan dalam rumah oleh bekas rejim tentera, dan ketika dalam tahanan beliau sekali sekala bercakap dengan dunia menerusi mesej audio dan video. Beliau dibebaskan selepas Myanmar mengadakan pilihan raya pada tahun 2010 dan dilantik sebagai ahli Parlimen April lalu.
Suu Kyi memulakan lawatan antarabangsanya minggu ini. Misi lawatannya membincangkan bagaimana dunia dapat membantu Myanmar.

Berpakaian sutera biru pucat dengan perhiasan bunga putih di kepala, Suu Kyi menyenaraikan pendidikan asas dan latihan vokasional langkah penting untuk memupuk pembaharuan politik dan kerja untuk menamatkan kadar pengangguran tinggi belia Myanmar. – AP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan