Khamis, 19 April 2012

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita rebah 20 kali sehari

Posted: 18 Apr 2012 11:47 AM PDT

ASHFORD (Kent): Seorang wanita yang menghidap penyakit ganjil iaitu dia rebah setiap kali ketawa bimbang dia mungkin menurunkan sakit aneh itu kepada anak lelakinya.

Kelly Timson, 25, tidak boleh menyaksikan pertunjukan jenaka atau malah pergi ke pub bersama temannya kerana setiap kali dia ketawa, dia akan rebah. Kelly mengalami keadaan neurologi yang jarang berlaku dipanggil Cataplexy bermaksud tubuhnya mencapai tahap lumpuh sepenuhnya akibat tindak balas emosi seperti geli hati, terkejut, marah dan malah, sayang.


Hanya merenung dengan penuh kasih sayang kepada dua anaknya, Charlie, lima dan Ronnie, dua tahun menyebabkan Kelly tidak dapat bergerak atau bercakap. Dia sering rebah di lantai dan mencederakan dirinya. Pada satu ketika dia hampir lemas selepas jatuh dengan muka tersembam di sofa. Kelly mengalami hingga 20 serangan cataplexy dalam sehari dan memerlukan ibu atau adik lelaki di sampingnya setiap masa seandainya dia rebah. Kelly juga mengalami keadaan berkaitan dengan penyakitnya narcolepsy yang bermakna dia akan terlelap sepanjang hari, tanpa mengira apa yang sedang dilakukannya.

Kelly yang berasal dari Ashford, Kent berkata: "Saya tidak dapat menghitung berapa kali saya terlelap ketika makan malam. Malah, saya tidak boleh berkunjung ke restoran dengan teman lelaki kerana bimbang saya akan tersengguk di meja makan. Ia pasti memalukan.


"Pernah sekali, saya mendapat serangan cataplexy di pasar raya dan kemudian beberapa kali lagi. Saya mungkin mendapat serangan 20 kali dan saya rasa mungkin orang ramai memikirkan saya mengambil dadah atau mabuk. Setiap kali saya berdiri, saya rebah lagi.


"Ketika saya mendapat serangan saya boleh melihat dan mendengar tetapi saya tidak dapat bergerak atau bertutur langsung. Ia boleh hilang beberapa saat atau ia mungkin berakhir selama sejam," katanya. - DM




Polis serah fail 11 suspek kes penggodaman telefon

Posted: 18 Apr 2012 11:46 AM PDT

LONDON: Polis Britain yang menyiasat kes penggodaman telefon syarikat akhbar milik Rupert Murdoch memberi pendakwa raya fail 11 suspek selepas siasatan yang memakan masa lebih setahun berakhir, kata ketua pendakwa raya, semalam.

Empat wartawan, seorang pegawai polis dan enam lagi individu yang tersenarai dalam fail itu kini disemak oleh Perkhidmatan Pendakwa Raya Agung untuk dakwaan, kata Pengarah Pendakwa Raya Awam, Keir Starmer. "Kami sekarang memasuki tahap di mana kami ingin membuat keputusan sama ada untuk mendakwa suspek atau sebaliknya," katanya.


Kesalahan itu, termasuk salah laku di pejabat awam, melanggar akta perlindungan Britain, memutarbelitkan sistem keadilan, mengancam saksi dan melanggar akta kawalan kuasa penyiasatan.

Pendedahan syarikat akhbar Murdoch, News of the World mengakses secara haram peti pesanan suara pelajar sekolah yang dibunuh, selain puluhan selebriti, ahli politik dan mangsa jenayah memaksanya menutup akhbar tabloid mingguan itu Julai tahun lalu.


Starmer berkata sejumlah 43 orang yang ditahan dalam operasi siasatan penggodaman telefon Scotland Yard, bayaran haram kepada pegawai polis dan kesalahan lain di News of the World masih di bawah ikat jamin. Mereta termasuk bekas jurucakap Perdana Menteri David Cameron, Andy Coulson, bekas pengarang News of the World, Rebekah Brooks dan suaminya seorang pelatih kuda lumba, Charlie Brooks. - AFP




Tiada ulasan:

Catat Ulasan