Kosmo Online - Dunia |
- Kapal hanyut dari Jepun ke pantai barat Kanada
- Keluarga sindrom 'serigala' dirawat
- Robert panjat bangunan di Jakarta
Kapal hanyut dari Jepun ke pantai barat Kanada Posted: Kapal hanyut dari Jepun ke pantai barat Kanada
WASHINGTON - Sebuah kapal pukat tunda Jepun tanpa kru yang dihanyutkan tsunami setahun lalu kini menghampiri pantai barat Kanada. Menurut laporan stesen televisyen CNN dan akhbar Vancouver Sun, kapal itu dilihat terapung kira-kira 224 kilometer (km) dari pantai British Columbia. Menurut CNN, kapal yang dilengkapi peralatan menangkap sotong itu ditemui semasa sebuah pesawat tentera Kanada melakukan rondaan. Juruterbang pesawat itu kemudian menghantar nombor pendaftaran pada badan kapal itu kepada Pengawal Pantai Jepun. Sebelum ini, kapal tersebut berlabuh di bandar Hachinohe, wilayah Aomori semasa bencana tsunami melanda pantai timur Jepun pada 11 Mac tahun lalu. "Kapal itu kelihatan berada dalam keadaan baik dan ia mempunyai jalur karat kerana terbiar selama setahun," kata seorang penyelaras maritim di sebuah pusat penyelamat di Victoria, British Columbia, Marc Proulx kepada CNN. Sementara itu, beberapa pegawai Kanada bimbang jika kapal itu boleh menghalang pelayaran kapal lain. - Agensi | |
Keluarga sindrom 'serigala' dirawat Posted: Keluarga sindrom 'serigala' dirawatBUDHATHOKI (dua dari kiri) bersama anak-anaknya, Mandira (kiri), Niraj (dua dari kanan) dan Manjura di Hospital Model Kathmandu di Nepal semalam. - AFP KATHMANDU - Sebuah keluarga yang menghidap sejenis penyakit genetik yang menyebabkan muka mereka ditumbuhi rambut tiba di sini semalam untuk menjalani rawatan. Devi Budhathoki, 37, dua anak perempuannya yang berumur 13 tahun dan lima tahun serta seorang anak lelakinya berusia 12 tahun menanggung malu kerana penyakit tersebut. Penyakit tersebut dikenali sebagai hypertrichosis yang menyebabkan rambut tumbuh antara mata dan dahi mereka. Rambut yang banyak pada muka itu menyebabkan mereka kelihatan seperti serigala. "Anak-anak saya telah berbincang mengenai kehidupan baharu sejak kami menerima maklum balas daripada sebuah hospital yang akan merawat kami," kata Budhathoki. Dia merupakan seorang petani dari sebuah kampung terpencil, Khare dekat sempadan Tibet. Pihak pengurusan Hospital Model Kathmandu bersetuju untuk merawat mereka. "Prosedur yang terbaik untuk mereka mungkin merupakan rawatan laser untuk membuang rambut," kata Dr. Shankar Man Rai yang memantau rawatan keluarga tersebut. Penyakit itu juga dikenali sebagai sindrom serigala dan sejak beberapa abad lalu, penghidapnya menjadi bahan tontonan pada pameran aneh dan sarkas. Menurut Budhathoki, anak lelakinya berasa bosan dengan sindiran daripada rakan-rakannya. "Dia (anak lelakinya) telah memberitahu rakan-rakannya bahawa dia akan kembali dengan muka baharu," katanya. Budhathoki menyatakan, anak-anaknya tidak mahu pergi ke sekolah kerana keadaan mereka itu. Dia dan suaminya, Nara juga mempunyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun dan seorang anak perempuan berumur 17 tahun. Namun, kedua-duanya tidak menghidap penyakit tersebut. - Agensi | |
Robert panjat bangunan di Jakarta Posted: Robert panjat bangunan di JakartaSALAH satu aksi Robert. JAKARTA - Warga Perancis yang diberi nama jolokan, Spiderman, Alain Robert berjaya memanjat sebuah bangunan 50 tingkat setinggi 215 meter di sini semalam. Bagaimanapun, Robert, 49, menggunakan tali dan abah-abah semasa dia memanjat bangunan Menara Bakrie itu. Sebelum ini, dia terkenal kerana memanjat sejumlah bangunan tinggi tanpa menggunakan tali dan kelengkapan keselamatan. Menurut portal berita tempo.co, dia mula memanjat pada pukul 10.25 pagi dan berjaya tiba di atas bangunan tersebut pada sekitar pukul 12 tengah hari. Dia memanjat bangunan tersebut selepas diundang oleh pihak pengurusan syarikat televisyen swasta, antv. Portal berita Gatra melaporkan, Presiden antv, Dudi Hendrakusuma, pihak berkuasa tidak akan membenarkan Robert memanjat jika dia tidak memakai peralatan keselamatan. Beliau berkata, pihak polis memberlikan kelulusan untuk memanjat tiga hari lalu. Robert diundang memanjat bangunan itu sempena ulang tahun ke-19 antv. Antara bangunan yang pernah dipanjatnya ialah Yayasan Sabah, Kota Kinabalu di Sabah; Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur; Hotel Vermont di Rio de Janeiro, Brazil dan Menara Wilis, Chicago di Amerika Syarikat. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan