Berita Harian: Dunia |
Posted: 26 Mar 2012 02:51 PM PDT Dunia Obama rayu Beijing lebih tegas halang Pyongyang teruskan program nuklearSEOUL: China meluahkan kebimbangan serius kepada sekutunya, Korea Utara, mengenai pelancaran roket yang dirancang, kata pegawai Amerika Syarikat semalam selepas rundingan antara Presiden Barack Obama dan Presiden Hu Jintao. Kedua-dua pemimpin itu bertemu sehari selepas Obama merayu supaya Beijing lebih tegas terhadap Pyongyang. Beberapa negara mengkritik keras pelancaran yang dijadualkan pertengahan April ini tetapi Korea Utara menegaskan ia cuma mahu meletakkan satelit ke orbit. Namun pembangkang berkata ia akan menguji teknologi peluru berpandu yang boleh membawa peledak.China, satu-satunya sekutu kuat Korea Utara, rakan dagang terbesarnya serta pemberi sumbangan, dilihat sebagai antara segelintir negara yang boleh mempengaruhi rejim itu. "Kedua-dua pemimpin bersetuju bekerjasama dalam memberi tindak balas kepada provokasi ini dan meluahkan kebimbangan serius kami kepada Korea Utara dan jika perlu, mempertimbangkan langkah yang perlu diambil berikutan pelancaran satelit itu," kata Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Ben Rhodes. Menyedari pengaruh China, Obama berkata, Rhodes berasa penting untuk bekerjasama dengan China dan untuk China memberikan mesej tegas kepada Korea Utara.
Beijing akan bekerjasama aktif dengan Washington dan enam pihak lain untuk menunjukkan dengan jelas kepada Korea Utara mengenai kebimbangan masyarakat antarabangsa jika mereka meneruskan tindakan provokasi itu. Forum enam pihak yang kini tergantung, dianggotai Korea Selatan dan Korea Utara, Russia, China, Amerika dan Jepun, cuba sejak tahun 2003 untuk berunding bagi menamatkan program senjata nuklear Pyongyang. Obama dan Hu bertemu sebelum bermulanya persidangan keganasan nuklear di Korea Selatan yang dibayangi pelancaran itu dan cubaan Iran membina senjata nuklear. "China tidak boleh lagi membiarkan provokasi sengaja itu, ia juga sekadar kata-kata provokatif tetapi tindakan provokatif luar biasa yang mencabul norma antarabangsa," katanya. – AFP |
Keluarga Osama mungkin dipenjara Posted: 26 Mar 2012 02:50 PM PDT Dunia ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan akan mendakwa lima anggota keluarga Osama bin Laden kerana memasuki dan menetap di negara itu secara haram, kata peguam mereka semalam.Keluarga pemimpin al-Qaeda itu berada dalam tahanan Pakistan sejak Mei lalu, apabila komando Amerika Syarikat menyerbu sebuah rumah di bandar Abbottabad dan menembak mati Osama. Pakistan berang dengan serbuan itu kerana tidak dimaklumkan terlebih dulu. Pegawai menegaskan mereka tidak tahu Osama tinggal di situ tetapi Amerika tidak menemui bukti komando mereka mengetahuinya. Peguam mereka, Mohammad Amir berkata, Mahkamah akan mendakwa tiga balu Osama dan dua anak perempuannya 2 April ini apabila keterangan terhadap mereka disambung."Mahkamah sudah memberikan kelima-lima wanita berkenaan salinan kes dan bukti terhadap mereka semalam," katanya. Pakar perundangan Pakistan berkata, hukuman maksimum yang bakal diterima mereka ialah lima tahun penjara. Osama dan isterinya tinggal bersama lapan orang anak dan tiga pekerja di Abbottabad. Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rehman Malik, sebelum itu berkata kanak- kanak yang tidak terbabit dalam kes itu bebas meninggalkan Pakistan atau tinggal bersama ibu mereka sepanjang tempoh perbicaraan. Salah seorang balu Osama diketahui berasal dari Yaman dan seorang lagi dari Arab Saudi. Kerakyatan seorang lagi balunya tidak diketahui. Salah seorang saudara dilaporkan melawat Pakistan baru-baru ini untuk menggesa pihak berkuasa membenarkan mereka meninggalkan negara itu tetapi usaha itu gagal. – AP |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan